Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dari segi sejarahnya, dua lagi pemimpin yang telah mencalonkan diri mereka untuk bertanding jawatan naib presiden Umno - Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Samad - bukanlah calang-calang orang.

Kedua-duanya merupakan bekas menteri besar dan ketua menteri, dan masing-masing juga pernah memegang jawatan naib presiden sebelum ini.

NONE Dan kedua-dua juga berkongsi pengalaman yang serupa dalam pemilihan parti itu. Selepas memenangi jawatan naib presiden dengan undi kedua terbanyak pada pemilihan 2004, Mohd Ali kemudian mencuba nasib untuk jawatan timbalan dalam pemilihan berikutnya pada 2008.

Bagaimanapun, hasratnya tidak kesampaian selepas Lembaga Disiplin parti mendapati beliau bersalah melanggar peraturan pemilihan parti, dan sekaligus dilarang bertanding merebut jawatan tersebut.

Begitu juga dengan Mohd Isa. Pada 2004, beliau memenangi jawatan naib presiden dengan undi tertinggi. Namun, kemenangannya dibatalkan selepas Lembaga Disiplin mendapati beliau terbabit dalam politik wang. Beliau juga digantung keahliannya selama tiga tahun dari 2005 hingga 2008.

Namun Mohd Isa tidak putus asa dan sekali lagi menawarkan dirinya untuk bertanding bagi jawatankuasa yang sama pada pemilihan 2008. Beliau memperolehi jumlah pencalonan yang mencukupi tetapi gagal terpilih.

Dan dalam pemilihan bulan depan, kedua-duanya sekali lagi menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden.

Persoalannya sekarang apakah peluang mereka kali ini, apatah lagi dengan penyertaan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir untuk merebut jawatan yang sama.

NONE Setakat ini, enam orang telah mengesahkan untuk bertanding jawatan berkenaan. Selain Isa, Mohd Ali dan Mukhriz, tiga penyandang jawatan - Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal - akan mempertahan jawatan masing-masing.

Pelbagai spekulasi tercetus apabila Mohd Ali diberitakan akan dilantik sebagai senator oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Ada pihak yang menganggap ia satu usaha untuk memujuk beliau supaya mengundur diri daripada bertanding naib presiden.

Namun, sumber-sumber yang rapat dengannya menafikan perkara itu, sambil menegaskan bahawa Mohd Ali tetap akan bertanding naib presiden Umno sekalipun ditawarkan jawatan senator.

Menurutnya, tawaran tersebut tidak ada kena mengena dengan hasrat Mohd Ali untuk jawatan tersebut, tetapi sebaliknya sebagai menghargai jasa beliau mentadbir negeri itu sebelum ini.

NONE "Jawatan senator tiada kaitan dengan pertandingan jawatan tersebut. Ia adalah sebagai menghargai sumbangan beliau kepada Melaka.

"(Pada) 1 Oktober akan dibentang di DUN sebelum dilantik sebagai senator," kata sumber-sumber itu kepada Malaysiakini.

Sumber-sumber itu berkata Mohd Ali mempunyai jentera kempen yang berpengaruh termasuk di kalangan Belia 4B dan KEMAS yang rata-ratanya adalah penyokong akar umbi Umno.

Katanya lagi, bekas ketua menteri Melaka itu juga mempunyai kekuatan sokongan akar umbi khususnya di beberapa negeri yang mempunyai keahlian Umno tertinggi termasuk Melaka, Perak, Kedah dan sebahagian daripada Johor.

"Peluang beliau menang cerah. Beliau pernah bertanding naib presiden. Sewaktu beliau menjadi ketua menteri Melaka banyak perkara beliau lakukan termasuk Melaka menjadi negeri maju. Orang boleh menilai (hasil kerjanya)," kata sumber-sumber itu.

Dan selaku pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), katanya, kedudukan itu akan membolehkannya memperkuatkan agenda Melayu sepertimana yang dilakukan sewaktu beliau mentadbir Melaka sejak lebih sedekad lalu.

isa samad interview 150509 Bagaimana pula dengan Mohd Isa? Di mata ahli Umno, beliau dianggap sebagai seorang yang tidak pernah kenal erti putus asa. Beliau kembali aktif dalam arena politik tanah air apabila dicalonkan mewakili BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang pada 2009.

Bukan sahaja BN berjaya mempertahan kerusi tersebut, malah Mohd Isa menang dengan majoriti besar sebanyak 5,435 undi. Dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu, beliau sekali lagi diberi kepercayaan oleh parti untuk mempertahankan Parlimen Jempol.

Dan sekali lagi Mohd Isa membuktikan ketokohannya dengan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 8,614 undi. Walaupun jumlah majoriti itu merosot berbanding 12,320 undi pada 2008, tetapi undi yang diperolehi Mohd Isa bertambah sebanyak 5,815 undi.

Mohd Isa terus diberi kepercayaan untuk menerajui Felda - sebuah institusi perladangan terbesar di negara ini yang majoriti penerokanya merupakan penyokong terkuat Umno dalam PRU13 yang lalu.

Pemerhati politik berkata, mungkin kedudukan tersebut mendorong Mohd Isa untuk terus menawarkan dirinya bertanding jawatan naib presiden.

Walau apapun, sebagai seorang pemimpin pengalaman Umno, Mohd Isa sudah tentu mempunyai kaedah dan kelebihan dalam merancang kempen bagi mendapat sokongan perwakilan bahagian-bahagian dalam pemilihan bulan depan.

Kepimpinannya juga dilihat telah membawa Felda ke era baru ekoran penyenaraian anak syarikatnya Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang telah memberi 'durian runtuh' kepada masyarakat Felda melalui bayaran dividen daripada pemilikan sahamnya.

Mampukah kedua-dua pemimpin ini meraih sokongan di  kalangan perwakilan Umno? Jawapannya hanya akan diketahui dalam pemilihan parti itu bulan depan.

1. Sah, Mukhriz tanding naib presiden

2. 'Sertai politik bukan untuk wujud dinasti Dr M'

3. Mampukah Mukhriz 'haru-birukan' penyandang VP?

 

ADS