Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas polis, Pekida bantah kemasukan abu mayat Chin Peng

Kira-kira 150 anggota Persatuan Bekas Polis Cawangan Pasir Mas dan Pertubuhan Ekonomi, Kebajikan, Ilmu, Dana dan Aman (Pekida) berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi mengadakan bantahan menghalang mayat atau abu pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dibawa pulang ke negara ini.

Mereka turut membawa beberapa sepanduk dan membakar beberapa gambar Chin Peng sebagai menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kekejaman yang pernah dilakukan bekas setiausaha agung PKM itu ketika zaman darurat di Malaysia.

Timbalan Pengerusi Pekida Kelantan Nik Lah Nik Soh berkata persatuan itu menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak membenarkan mayat atau abu Chin Peng dibawa pulang untuk disemadikan di negara ini.

"Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pihak yang cuba membawa pulang abu mayat Chin Peng," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Pasir Mas hari ini.

Ketua Persatuan Bekas Polis cawangan Pasir Mas Kamarulzaman Abdul Majid berkata kerajaan wajar mengkaji semula penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan, bagi mengekang pelbagai anasir yang cuba merosakkan negara dari dalam.

"Jika lihat di negara-negara yang mengaplikasi ISA dalam undang-undang mereka, banyak anggota politik mahupun gengster tidak berani bersuara dan melakukan pelbagai hasutan.

"Kami harap kerajaan dapat mengkaji balik penggunaan ISA dan menghukum pembelot-pembelot negara supaya ia menjadi iktibar buat generasi akan datang," katanya.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan ada desakan pihak tertentu supaya kerajaan membenarkan abu atau mayat Chin Peng dibawa ke tanah air.

Chin Peng meninggal dunia di Bangkok, Thailand Isnin lalu.

Banyak lagi pihak termasuk bekas anggota keselamatan negara membantah usaha membawa masuk mayat atau abu bekas ketua komunis itu.

-Bernama

ADS