Azimi diminta berhenti bersandiwara
Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Azimi Daim diminta supaya berhenti "bersandiwara" berhubung isu sama ada beliau akan bertanding jawatan naib ketua pergerakan itu dalam pemilihan parti September depan.
Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Azimi Daim diminta supaya berhenti "bersandiwara" berhubung isu sama ada beliau akan bertanding jawatan naib ketua pergerakan itu dalam pemilihan parti September depan.
"Semua orang tahu yang beliau tidak akan bertanding kerana menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin akan dicalonkan untuk bertanding jawatan tersebut," kata beberapa pemimpin akar umbi pergerakan itu.
Menurut mereka, Azimi telahpun secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut selepas nama Khairy disebut-sebut untuk dicalonkan mengisi jawatan tersebut.
"Datuk Azimi sepatutnya mengambil nasihat daripada ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Shahrir Samad supaya membuat persediaan untuk mempertahankan jawatan MT yang disandangnya sekarang," kata seorang pemimpin tersebut.
Dalam wawancaranya dengan akhbar
Mingguan Malaysia
baru-baru ini, Shahrir telah mencadangkan supaya ahli pemuda yang dilantik ke dalam MT, mesti mempertahankan jawatan tersebut.
Sebelum ini, Azimi yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, mengumumkan yang beliau tidak akan bertanding mempertahankan kerusi MT yang disandangnya itu.
Manakala hari ini, Azimi dilaporkan berkata beliau akan mengumumkan minggu depan sama ada mahu bertanding jawatan naib ketua Pemuda Umno September ini.
Lebih umur
Jawatan tersebut akan dikosongkan oleh Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir kerana melebihi umur 40 tahun. Sebelum ini, beberapa exco pergerakan itu, termasuk Azimi telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan tersebut.
Bagaimanapun, selepas Pemuda Umno Perak mengumumkan hasratnya untuk mencalonkan Khairy bagi jawatan tersebut, kesemua mereka telah menarik diri daripada bertanding.
Selain Perak, Pemuda Umno Kelantan juga menyokong gandingan ketua sekarang, Datuk Hishammuddin Hussein dengan Khairy untuk menerajui pergerakan tersebut.
"Kalaulah Datuk Azimi tidak mahu bertanding jawatan tersebut, apa yang hendak diumumkan lagi...semua orang sudah tahu...kecualilah kalau beliau mahu bertanding," kata seorang lagi pemimpin tersebut.
Sementara itu, 63 daripada 73 cawangan Pemuda Umno bahagian Kulim-Bandar Baharu pimpinan Azimi telah diarahkan mengadakan semula mesyuarat agung masing-masing atas sebab-sebab teknikal.
Penolong setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Datuk Ab Rauf Yusof dilaporkan berkata arahan tersebut dibuat selepas jawatankuasa pengurusan Umno mendapati terdapat pertindihan dalam mesyuarat yang diadakan sebelumnya.
Katanya, pertindihan itu berlaku apabila jumlah cawangan Pemuda Umno bahagian tersebut tidak sama dengan rekod pada Umno bahagian berkenaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.