Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lembaga Pengampunan telah melupuskan petisyen yang difailkan oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketua pembangkang itu akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen, kata Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh hari ini.

Bagaimanapun, peguam Anwar N Surendran tidak mahu mengulas mengenainya, dengan berkata beliau akan menunggu pengesahan mengenai perkara itu daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan Lembaga Pengampunan telah disampaikan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad dalam kamar pagi ini dan beliau menetapkan Rabu depan untuk pengesahan lanjut.

Amarjeet memberitahu pemberita kemudiannya bahawa petisyen itu telah "dilupuskan" dan dengan itu, kedudukan perlembagaan jelas mengenai perkara itu.

Beliau berkata afidavit dari Ketua Pengarah Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, yang merupakan sebahagian daripada urusetia Lembaga Pengampunan, telah dihantar kepada keluarga Anwar.

Difahamkan bahawa satu salinan afidavit itu, yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah bahagian tersebut, Nursiah Arshad, dihantar ke mahkamah hari ini.

"Ya petisyen itu telah didengar dan dilupuskan. Keputusan itu telah disampaikan kepada mereka (keluarga Anwar) dalam bentuk afidavit. Mereka meminta masa untuk mengesahkan fakta.

"(Kedudukan) sebagai ahli Parlimen tidak lagi wujud, dia hilang kelayakan," kata Amarjeet, sambil menambah bahawa hakim memberi pemohon masa untuk pengesahan dan mendapatkan arahan daripada plaintif.

Bagaimanapun, Amarjeet, yang mengetuai Bahagian Sivil Pejabat Peguam Negara, berkata beliau akan menyerahkan kepada peguam pemimpin pembangkang untuk mengesahkan perkara itu.

Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Ahli-ahli lain termasuk Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (kanan) dan Menteri Wilayah Persekutuan  Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS