Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pua: Azalina bohong tentang laporan PAC dipadam
Diterbitkan:  May 18, 2016 1:12 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Tony Pua berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berbohong apabila mengatakan anggota PAC dimaklumkan mengenai baris yang dipadam daripada Laporan PAC mengenai 1MDB.

"Azalina berbohong di Parlimen bahawa Pengerusi PAC dimaklumkan atau menunjukkan anggotanya apa-apa surat daripada Bank Negara Malaysia yang menyatakan bahawa maklumat yang diberikan kepada PAC adalah sulit dan bukan untuk umum," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri itu, dalam jawapan parlimen kepada soalan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin telah menerima maklumat Bank Negara yang menyatakan semua maklumat yang diberikan adalah "sulit untuk hanya tujuan perisikan, kegunaan mahkamah atau laporan awam ".

Azalina juga berkata semua anggota PAC dimaklumkan mengenai perkara itu melalui surat ditulis oleh Ketua PAC kepada timbalan bank pusat itu pada 6 April.

Bagaimanapun, Pua berkata, jawapan Azalina adalah "mengelirukan dan pembohongan yang paling teruk berhubung perkara itu".

PAC, katanya, telah mengadakan mesyuarat terakhirnya, yang meluluskan agar laporan akhir PAC mengenai 1MDB disiarkan pada 4 April. Laporan itu dibentangkan di Parlimen tiga hari kemudian.

"Hasan tidak pernah pada bila-bila masa berkomunikasi dengan anggota-anggota PAC atas apa-apa perkembangan selepas mesyuarat pada 4 April.

"Oleh itu anggota-anggota PAC terkejut apabila mendapati, meneliti laporan yang dibentangkan, yang dua baris penting dalam laporan itu telah dipadam secara unilateral oleh pengerusi PAC," kata beliau.

Azalina: Kenyataan Pua tak benar

Bagaimanapun, Azalina dalam kenyataannya menegaskan apa yang dinyatakan oleh Pua adalah tidak benar dan tidak berasas.

Azlina berkata beliau telah memberikan jawapan dalam kapasiti sebagai menteri di jabatan perdana menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Parlimen.

"Jawapan yang diberikan saya itu adalah hasil daripada maklumat yang diberikan oleh Sekretariat PAC bahawa ahli-ahli PAC telah dimaklumkan mengenai surat pengerusi PAC kepada timbalan gabenor Bank Negara bertarikh 6 April 2016. Saya diberitahu bahawa pihak Sekretariat PAC sendiri telah menunjukkan surat tersebut kepada Pua," kata Azalina.

Jelas Azalina, sebagai ahli di dalam jawatankuasa tersebut Pua boleh mendapat penjelasan dan maklumat secara terus daripada sekretariat atau pengerusi PAC sendiri.

Bulan lalu, Pua menegaskan bahawa Hasan telah memadamkan baris tertentu daripada laporan PAC mengenai 1MDB yang amat penting untuk siasatan.

Baris itu menyebut kebimbangan Bank Negara, bahawa Good Star Ltd yang menerima AS$1.3 bilion selepas dilencongkan daripada syarikat usahama 1MDB-PetroSaudi, dimiliki oleh seseorang individu dan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan PetroSaudi seperti didakwa.

Lihat Komen
ADS