Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Gimik Datuk Seri Jamal Md Yunos membawa 15 van jenazah, keranda dan berpakaian seperti penggali kubur di depan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam kelmarin, semata-mata mahu menuntut penjelasan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata gimik keranda itu bersesuaian dengan dakwaan penyelewengan dana peruntukan Skim Mesra Usia Emas dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor yang dibawa oleh Jamal.

"Apa yang Jamal beritahu adalah meminta (menteri besar) jelaskan kepada rakyat mengapa skim yang niatnya baik tapi pelaksanaannya mengecewakan.

"Itu yang dia bawa keranda itu, untuk beritahu yang keranda itu sesuai dengan skim kerajaan negeri untuk bagi orang meninggal," kata Noh dalam sidang media di Bukit Jalil malam tadi sebagai mengulas tindakan Jamal pada Isnin yang membawa keranda di hadapan pintu masuk SUK, Shah Alam.

Pemuda PKR semalam membidas tindakan beberapa pemimpin Umno yang membawa keranda dan menggunapakai van jenazah ke ke bangunan SUK Selangor.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin tindakan Jamal dan penyokongnya itu telah menyebabkan kesulitan dalam beberapa urusan jenazah.

Kelmarin, Jamal tiba di pintu masuk utama SUK kira-kira jam 11 pagi bersama 15 kereta jenazah sebelum mengusung keranda dan cuba memasuki perkarangan bangunan itu tetapi dihalang oleh pihak keselamatan.

Kehadiran Jamal yang juga ketua Umno bahagian Sungai Besar dan penyokongnya berhubung dakwaan penyelewengan dana peruntukan Skim Mesra Usia Emas dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor.

"Anggap sajalah Azmin ada di dalamnya ya," kata Jamal yang berpakaian seperti penggali kubur kepada hadirin.

Keadaan itu mencetuskan sedikit ketegangan apabila sebuah lagi kumpulan tampil dan tidak mahu beliau “mengganggu” kerajaan negeri sehingga berlaku perang mulut dan cabar mencabar, sebelum disuraikan oleh pihak polis.

Sehubungan itu, Afif dilaporkan menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Selangor dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, tindakan Jamal dan Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah itu membuktikan betapa Umno terus-menerus mengamalkan politik biadap, tidak matang dan tidak langsung melambangkan ciri dan budaya Islam dan Melayu.

Terdahulu Noh yang juga Menteri Kesejahtraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan hadir dalam majlis ramah mesra bersama penduduk Rumah Transit 1 Malaysia (RT1M), di Pinggiran Bukit Jali, Kuala Lumpur malam tadi.

Hadir sama timbalan menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique, Ketua Pengarah Perumahan Negara, Datuk Abdul Rahim Ishak dan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.


 

Lihat Komen
ADS