Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini membuat gimik baru dengan membawa 15 van jenazah, keranda dan berpakaian seperti penggali kubur di depan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam.

Tampil mempertikaikan beberapa program negeri, termasuk skim khairat kematian, pemimpin Baju Merah itu bahkan membawa cangkul dan berkata dalam keranda dibawanya terdapat Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

"Anggap sajalah Azmin ada di dalamnya ya," seloroh Jamal kepada hadirin di depan pintu masuk SUK sebelum mengangkat keranda terbabit dan berucap.

Bagaimanapun, bantahan beliau kali ini mencetuskan sedikit ketegangan apabila dibantah oleh sebuah lagi kumpulan yang tidak mahu beliau “mengganggu” kerajaan negeri.

Berlaku perang mulut dan cabar mencabar, antaranya seorang individu tampil berkata rakyat sudah “muak” dengan tingkah laku Jamal dan mengherdiknya supaya tidak menggangu kerajaan Selangor.

Jamal kemudian membalas sorakan itu dan mencabar individu itu untuk berdepan secara perseorangan.

Jawab menjawab berlarutan kira-kira lima minit sebelum polis tampil meleraikannya dengan mengarahkan Jamal pulang manakala kumpulan anti-Jamal diminta masuk ke perkarangan SUK.

Sementara itu, Jamal juga membangkitkan isu dana peruntukan Skim Mesra Usia Emas yang menurutnya berjumlah RM200 juta, jika dicampur dengan skim khairat kematian negeri.

"Saya sebagai rakyat Selangor ingin bertanya kepada menteri besar, di manakah jumlah peruntukan ini diperoleh? Adakah ia dari sumber yang halal?

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, (apa) yang dilakukan beberapa wakil rakyat dan penyelaras DUN mereka menggunakan peruntukan ini untuk tujuan lain bukan membantu rakyat Selangor tetapi untuk kerja kahwin mereka," dakwa Jamal.

Jamal mengugut mahu mengheret perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya Azmin gagal memberikan penjelasan.

Sementara itu, mengulas tindakan Jamal yang sering kali menyerang kepimpinan Azmin dalam isu premis perjudian ini sedangkan di Kuala Lumpur juga aktif kegiatan tersebut ini jawab Jamal:

"Saya rakyat Selangor, saya pemimpin negeri Selangor jadi saya fokus kepada Selangor.

“Di Kuala Lumpur biarlah saya tak mahu masuk orang punya kawasan," kata Jamal mengakhiri protesnya hari ini.

Lihat Komen
ADS