Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM mahu kemelut FGV selesai sebelum Aidilfitri
Diterbitkan:  Jun 10, 2017 8:55 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Selesaikan pada Ramadan ini juga dan jangan lebih - itu pesanan Datuk Seri Najib Razak ketika mengulas kemelut semasa melanda syarikat Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) ketika ini.

Kata perdana menteri ada tiga prinsip yang ditetapkan kerajaan untuk merungkai kemelut melanda syarikat berkaitan kerajaan itu.

Pertama, kata Najib, ia mesti mengikut undang-undang syarikat dan kedua, selaras dengan prinsip urus tadbir yang baik.

"Ketiga, untuk membuat keputusan muktamad ia mesti melalui proses yang adil," katanya pada majlis dihadiri di Felda Sungai Sayong di Kulai, Johor hari ini.

Untuk itu, kata Najib, beliau telah berunding dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad, serta Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad, sebelum melantik pihak ketiga bagi mencari penyelesaian kemelut berkenaan, iaitu Datuk Ser Idris Jala.

Kemelut FGV memuncak selepas Isa memaklumkan lembaga pengarahnya akan membuat keputusan berhubung kedudukan presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkenaan, Datuk Zakaria Arshad, pada 5 Jun lalu.

Sehari kemudian bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mengumumkan FGV akan menjalankan siasatan audit dalaman membabitkan Zakaria.

Katanya lagi, FGV juga memberikan surat kebenaran bercuti kepada tiga lagi pegawai kanan FGV dan anak-anak syarikatnya, sepanjang siasatan berlangsung.

Mereka ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha; CEO FGV Trading, Ahmad Salman Omar; dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Abd.

Demi masa depan

Bagaimanapun Zakaria dilaporkan akhbar New Straits Times sebagai berkata, beliau tidak akan berundur dan akan mempertahankan dirinya.

"Jika mereka mahu keluarkan saya, mereka boleh memecat saya dan saya akan heret perkara ini ke mahkamah," kata Zakaria.

Pada 7 Jun kerajaan mengumumkan pelantikan Idris sebagai pihak berkecuali bagi meneliti penggantungan pegawai kanak FGV terbabit.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga diminta untuk meneliti fakta kes dan mencadangkan jalan penyelesaiannya.

Kata Najib, pelantikan Idris yang diminta menjalankan siasatan berdasarkan tiga prinsip digariskan itu adalah untuk memastikan fakta-fakta diperolehi adalah tepat sebelum keputusan muktamad diambil.

"Saya nak nyatakan bahawa menjadi hasrat kerajaan supaya kemelut ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Nak diselesaikan pada Ramadan ini juga. Jangan lebih dari itu," katanya.

Dengan penyelesaian itu nanti, kata perdana menteri, kerajaan berhasrat menjadikan FGV satu badan korporat yang bernilai tinggi, mempunyai perolehan lebih besar dan nilai sahamnya jauh lebih tinggi berbanding sekarang.

"Ini semua saya sudah bincang dgn FGV untuk menentukan perancangan masa depan syarikat itu," katanya.

Untuk rekod harga saham FGV semasa mula-mula disenaraikan pada 2012 ialah RM4.55 seunit namun ia mula merudum sehingga ditutup pada harga RM1.66 semalam, 9 Jun.

Felda memiliki kira-kira 34 peratush saham FGV.

Selepas serbuan kira-kira lapan jam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beredar dengan empat kotak, beberapa bungkusan dan tiga beg tarik daripada pejabat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut membuat serbuan ke pejabat FGV pada 8 Jun dan merampas sejumlah barang.

Malaysiakini melaporkan kira-kira 40 orang difahamkan menggeledah pejabat Zakaria di tingkat 45 Menara Felda di ibu negara.

Difahamkan rampasan itu dibuat bagi melengkapkan keterangan diberi Zakaria kepada SPRM sehari sebelumnya.

Lihat Komen
ADS