Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini berkata perbahasan belanjawan 2006 di Dewan Undangan Negeri pada masa ini berlangsung dalam suasana amat kucar-kacir.

Beliau berkata ada kalangan ahli Dewan itu menunjukkan sikap "bodoh", dan masing-masing ingin tunjuk samseng, termasuk meninggikan suara dan tidak mengendahkan arahan Speaker supaya duduk.

"Nak tunjuk samseng, nak tunjuk geng (puak), nak tunjuk deras (tinggi) suara dengan bodoh," katanya dalam Kuliah Mingguannya di Kota Bharu hari ini.

"Dalam dewan, Speaker menjadi orang tengah dalan perbahasan tetapi tidak dipatuhi oleh ahli dewan, dengan masing-masing cuba tunjuk samseng. Speaker suruh duduk pun tidak mahu duduk, malah masing-masing mahu tunjuk suara yang kuat (tinggi)," katanya.

Menurut laporan Bernama, Nik Aziz berkata, sikap angkuh itu sukar dikawal, malah ada di antara mereka tidak mahu bertolak ansur dengan peraturan yang ditetapkan dewan.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan minggu ini menjadi medan "perang mulut" yang hangat apabila pihak penyokong kerajaan PAS dan pembangkang, Barisan Nasional, masing-masing mengambil kesempatan dalam perbahasan belanjawan yang sedang berlangsung, untuk menyerang satu sama lain dengan pelbagai dakwaan.

Persidangan Dewan Undangan Negeri yang ditangguhkan semalam akan disambung semula selama dua hari, mulai Ahad ini.