Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Sabtu meminta semua pihak menghentikan pertikaian mengenai langkah membenarkan Lembaga Tabung Haji (LTH) meneruskan penyenaraian anak syarikatnya, TH Plantations Bhd (THP) di Bursa Malaysia.

Perdana Menteri berkata semua pihak harus faham dan jangan terkeliru bahawa yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah anak syarikat LTH iaitu TH Plantations Bhd dan bukannya lembaga itu sendiri yang bertanggungjawab untuk mengurus dan mengendalikan urusan jemaah haji Malaysia setiap tahun.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, tidak ada sebab kenapa anak syarikat LTH itu tidak boleh disenaraikan di bursa saham kerana THP mempunyai keupayaan dan kelengkapan untuk berniaga.

"Kerana itu ia perlu diberi peluang bersaing seperti entiti perniagaan lain dan harus menjadi sebuah syarikat perladangan yang terbaik di peringkat global," katanya.

Keuntungan yang diperolehi oleh anak syarikat itu akan menjanakan pendapatan kepada LTH dan para pemegang akaunnya juga akan menikmati dividen yang baik, katanya di majlis penyampaian Dermasiswa dan Sumbangan Perayaan anjuran Yayasan Budi Penyayang dan Pejabat Daerah Seberang Perai Utara, di Kepala Batas hari ini.

Menurut laporan Bernama , Perdana Menteri berkata daripada jumlah saham yang akan diapungkan itu, 21 peratus ditawarkan khusus kepada pemegang akaun Tabung Haji, 10 peratus kepada institusi kewangan Islam dan cuma lima peratus dibuka kepada orang awam, termasuk kepada golongan bukan Islam.

Abdullah berkata, saham majoriti masih dipegang THP yang akan mentadbir dan menguruskan syarikat berkenaan dan langkah penyenaraian itu mampu meningkatkan keupayaan operasi THP.

Mengenai tawaran saham secara terbuka sebanyak lima peratus itu, Perdana Menteri berkata, tawaran saham oleh umat Islam kepada golongan bukan Islam dalam perniagaan adalah tidak haram mengikut Islam.

"Kalau kita (umat Islam) jual kuih pun, kita jual kepada orang bukan Islam juga, tak kan haram kot?" kata beliau.

Katanya, langkah umat Islam berniaga dengan orang bukan Islam tidak menyalahi agama, malah terdapat umat Islam yang menjalankan perniagaan secara berkongsi dengan orang bukan Islam dan kaedah perkongsian itu tidaklah haram.

"Pengurusan syarikat masih di bawah Tabung Haji dan saya yakin mereka bersikap profesional kerana syarikat itu akan sentiasa dipantau pelabur dan pengawal selia pasaran saham.

"Penyenaraian ini tidak membuatkan Tabung Haji menyimpang daripada matlamat asalnya iaitu menjaga kebajikan jemaah Malaysia dan Tabung Haji telahpun diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi sebagai yang terbaik di dunia," kata beliau.

Abdullah berkata LTH akan mendedahkan secara telus segala langkah penyenaraian anak syarikatnya tanpa menyembunyikan apa-apa maklumat.

"Kita akan jelaskan semuanya secara terperinci...tiada apa yang nak sorok, buat apa nak sorok, kita akan bagi tahu semuanya," kata Perdana Menteri sambil menyifatkan status penyenaraian itu juga akan memperbaiki ketelusan dan meningkatkan amalan tadbir urus THP.

Akhir bulan lalu Tabung Haji mengumumkan cadangan penyenaraian THP, sekaligus menjadi anak syarikat pertamanya disenaraikan di Bursa Malaysia.

THP mempunyai lebih 16,227 hektar ladang iaitu kira-kira 11.7 peratus daripada keseluruhan 138,267 hektar ladang yang dimiliki kumpulan Tabung Haji iaitu antara pemilik ladang terbesar di negara ini.

Pengumuman cadangan itu telah menimbulkan kontroversi dengan beberapa pihak mempersoalkan kewajaran penyenaraian THP kerana mendakwa ia melanggar akta penubuhan Tabung Haji dan beberapa Ahli Parlimen malah membantah penyenaraian itu dan menggesa Perdana Menteri campur tangan.