DAP mahu kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk meneliti apa yang disifatkannya sebagai kemerosotan kualiti di kalangan universiti tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu mewujudkan suruhanjaya siasatan itu yang mengandungi ahli akademik yang disegani dan rakyat Malaysia yang dihormati untuk meneliti perkara itu, kata Ketua Pembangkang di Parlimen Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam ranking terkini 200 universiti terbaik yang disiarkan oleh Sisipan Pengajian Tinggi 2005 akhbar The Times di United Kingdom semalam, Universiti Malaya (UM) yang dianggap sebagai universiti terulung Malaysia, berada pada ranking 169, jatuh daripada kedudukan ke-89 tahun lepas.

Bagaimanapun UM berada pada kedudukan ke-45 dalam dua kategori lain 50 Universiti Terbaik Yang Lain Di dunia 50 Universiti Terbaik Kesenian dan Kemanusiaan.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diletakkan di kalangan 100 universiti sains terkemuka dunia.

ranking USM merosot

Lim berkata, Universiti Sains Malaysia (USM) terus menjunam sehingga terkeluar sama sekali daripada 200 ranking, setelah berada pada kedudukan 111 tahun lalu.

Menurutnya, dengan ranking itu, analisis terperinci dan muhasabah diri mengenai hala tuju serta masa depan pendidikan tinggi negara perlu dimulakan.

Lim yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ranking universiti tempatan yang mengejutkan itu seharusnya menjadi agenda utama perbahasan apabila Parlimen menyambung persidangannya pada 14 November ini.

Universiti Harvard di Amerika Syarikat mengekalkan kedudukannya sebagai institusi terulung dunia diikuti Institut Teknologi Massachusetts manakala Universiti Cambridge dan Oxford yang terkemuka di Britain masing-masing berada di tempat ketiga serta keempat.