Ibrahim Ali: Pengundi mahu saya jadi wakil rakyat
Datuk Ibrahim Ali bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Kelantan kerana mahu membawa perubahan kepada pengundi kawasan berkenaan.
Datuk Ibrahim Ali bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Kelantan kerana mahu membawa perubahan kepada pengundi kawasan berkenaan.
"Pengundi Pengkalan Pasir mahu saya menjadi wakil rakyat kerana mereka percaya saya boleh membawa pembangunan yang mereka perlukan," katanya.
Oleh itu, katanya, adalah menjadi kewajiban beliau untuk memenuhi impian pengundi Pengkalan Pasir yang memerlukan seorang pemimpin yang bertanggungjawab untuk membela nasib mereka.
Ibrahim yang pernah menjadi timbalan menteri ketika bersama Umno telah dipecat daripada parti itu selepas beliau bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya umum lalu.
Sebelum itu, bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu juga pernah meninggal Umno untuk bersama-sama Tengku Razaleigh Hamzah yang menubuhkan parti Semangat 46 selepas Umno diisytiharkan haram, berikutan perebutan jawatan presiden Umno pada 1987.
Bagaimanapun, beliau serta Tengku Razaleigh kembali menyertai semula Umno selepas pembubaran parti Semangat 46.
Penamaan calon bagi pilihanraya kecil Pengkalan Pasir akan diadakan pada 27 November dan pengundian ditetapkan pada 6 Disember depan.
Berikutan adalah temubual khas malaysiakini dengan Ibrahim di ibu negara baru-baru ini.
MK: Apa keperluan Datuk bertanding dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir?
IA: Saya mahu rakyat kawasan ini mendapat pembelaan yang sewajarnya. Selama ini mereka hanya menjadi alat kepada pihak tertentu untuk kepentingan mereka. Akibatnya mereka tidak mendapat apa-apa.
Jika saya menang saya boleh membawa suara mereka kepada pihak-pihak yang berkenaan.Saya ingin memberitahu mereka bahawa orang yang tidak berparti juga boleh menjadi wakil rakyat yang baik. Tidak guna kita ada parti yang bagus tetapi wakil rakyatnya tidak berguna.
MK: Apa yang mahu dibuat di Pengkalan Pasir kerana Umno dan PAS sudah memajukan mereka sejak sekian lama?
IA: Rata-rata penduduk Pengkalan Pasir dan juga Pasir Mas miskin pendapatan dalam lingkungan RM500 sebulan. Pendapatan sebanyak itu tidak cukup kerana harga barangan meningkat dan kos hidup yang semakin tinggi.
Saya mahu penduduk mendapat lebih banyak projek pembangunan yang memberi faedah kepada mereka. Selama ini mereka hanya diberi janji dan akibat termakan janji, hidup mereka tidak berubah sejak dahulu.
MK: Datuk mendakwa pengundi Pengkalan Pasir akan menyokong Datuk. Apa asas keyakinan itu?
IA: Saya mempunyai 'track record' di kawasan itu. Semua orang kenal saya. Saya menjadi Ketua Umno Bahagian Pasir Mas selama 10 tahun 1994 hingga 2004. Saya pernah menjadi wakil rakyat mereka sebelum ini.
Saya mempunyai penyokong tetap sebanyak 2,000 orang di kawasan itu. Mereka mengundi saya sejak sekian lama. Malah majlis sambutan Aidilfitri yang saya anjurkan baru-baru ini, dihadiri hampir 3,000 orang datang.
Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berkata saya mempunyai ramai penyokong di Pengkalan Pasir. Begitu juga Exco Kanan Kelantan, Husam Musa dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub. Mereka kata saya ramai penyokong di Pengkalan Pasir.
MK: Adakah Datuk bertanding kerana mahu Umno kalah setelah memecat anda selepas pilihanraya umum lalu?
IA: Keputusan saya bertanding tiada kena mengena dengan Umno. Saya mempunyai jati diri sendiri dan ini keputusan saya sendiri. Saya bertanding kerana mahu berkhidmat kepada rakyat.
Umno memecat saya dengan cara yang sangat kejam. Saya dipecat ketika sedang membahagikan bantuan zakat kepada orang miskin di Pasir Mas. Saya digugur sebagai Ketua Penaja Umno Bahagian Pasir Mas tanpa sebab. Dalam hal ini saya orang yang dizalimi.
MK:Jika anda tidak bertanding peluang Umno menang lebih cerah, tidakkah ini bermakna Datuk mahu menyekat kemenangan mereka?
IA: Umno tidak berhak untuk menyekat saya daripada bertanding. Saya bukan lagi sebagai ahli Umno. Saya hanya orang kecil yang bertanding dengan parti yang kaya-raya mempunyai wang dan jentera yang besar.
Saya bertanding kerana prinsip sebagai seorang pejuang politik. Prinsip ini bukan untuk dijual beli. Saya ada maruah dan harga diri. Maruah saya adalah maruah orang Pasir Mas. Saya tidak hiraukan siapa lawan saya, baik PAS mahupun Umno.
Beberapa pemimpin datang memujuk supaya saya tidak bertanding tetapi saya tidak hiraukan. Saya anggap mereka 'muka tidak malu'. Mereka yang buang saya tetapi mahu mengajak bersama semula. Saya tidak akan ikut mereka lagi.
MK:Apakah yang Datuk mahu katakan mengenai Umno yang mungkin tidak diketahui orang selama ini?
IA: Saya memanggil Umno sebagai parti demokrasi diktator. Mereka yang setia kepada Umno dibuang tetapi pemimpin yang menyeleweng dan moral rendah dikekalkan. Dasar ini tidak boleh diterima oleh sesiapun. Saya tidak berdendam kepada Umno tetapi ada pemimpin mereka yang berdendam terhadap saya. Tetapi saya tidak akan masuk semula Umno.
MK: Apakah Datuk mahu menjadi alat kepada mana-mana pihak?
IA: Saya bukan ikan kembong yang menjadi makanan kepada mana-mana pihak. Saya ada jati diri yang kuat dan tidak akan menjual prinsip. Saya ada kemampuan dan saya ada kelebihan. Saya seorang yang berani, telah dua kali ditahan di bawah ISA tetapi saya mahu terus berjuang dan membela rakyat.
Saya mahu ingatkan pengundi Pengkalan Pasir supaya mengguna peluang ini sebaik-baiknya. Mengundilah dengan kesedaran dan bukannya kerana tekanan dan ugutan. Pilihalah calon yang ada 'track record' dan bukannya yang hanya bercakap kosong. Saya mahu orang Pengkalan Pasir tidak dipu lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.