Suhaimi: Ku Li tidak pernah tentang penubuhan SJKC
Pengerusi Kongres Kepentingan Bangsa, Tengku Razaleigh Hamzah tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau menentang penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan institusi pendidikan Cina di negara ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana kongres tersebut, Datuk Suhaimi Ibrahim.
Pengerusi Kongres Kepentingan Bangsa, Tengku Razaleigh Hamzah tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau menentang penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan institusi pendidikan Cina di negara ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana kongres tersebut, Datuk Suhaimi Ibrahim.
Katanya, Tengku Razaleigh tidak pernah, dalam ucapannya di kongres tersebut, meminta supaya kerajaan menghapuskan SJKC dan institusi pendidikan kaum lain di negara ini.
"Apa yang Ku Li sebut ialah jika kerajaan boleh melayan tuntutan kaum Cina untuk menubuhkan SJKC, kolej dan universiti mereka (kerajaan) juga perlu melayan tuntutan orang Melayu dalam bidang pendidikan.
"Kenyataan itu tidak boleh dianggap sebagai membenci SJKC dan insturi pendidikan kaum Cina atau berunsur perkauman," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Suhaimi yang juga Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar Cina yang mendakwa Tengku Razaleigh berkata demikian ketika berucap di kongres itu Jumaat lalu.
Berikutan itu, beberapa pemimpin Cina termasuk Presiden Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yeik mengecam ucapan Tengku Razaleigh itu dengan menyifatkannya sebagai perkauman.
GPMS adalah sekretariat kepada kongres itu yang diadakan Jumaat dan Sabtu lalu, dengan dihadiri 1,000 orang yang mewakili 100 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di ibu negara.
Laporan akhbar Cina
Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa kongres tersebut, Sobri Ahmad berkata, beliau merasa hairan bagaimana akhbar bahasa Cina melaporkan ucapan yang Tengku Razaleigh menentang SJKC.
Antara akhbar berbahasa Cina yang melaporkan demikian ialah Nanyang Siang Pau, China Press dan Sin Chew Daily.
"Ini kongres yang membincangkan soal orang Melayu dan tidak pernah cuba membangkitkan isu perkauman dengan menimbulkan kemarahan kaum lain.
"Tengku Razaleigh tidak pernah menyebut beliau menentang SJKC tetapi ada mengatakan perjuangan kaum Cina untuk menubuhkan sebuah universiti untuk kaum mereka sudah berjaya.
"Dahulu mereka mahu menubuhkan Universiti Merdeka tetapi kerajaan tolak tetapi kini mereka membina Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) yang asalnya Universiti Merdeka. Tengku Razaleigh tidak menentang penubuhan Utar," katanya.
Kongres Kepentingan Bangsa itu juga meluluskan 29 resolusi membabitkan bidang ekonomi, pendidikan dan sosiobudaya bertujuan untuk mengekalkan ketuanan kaum Melayu di negara ini.
Resolusi itu akan dilaksanakan oleh NGO Melayu selain dihantar kepada kerajaan untuk dipertimbangkan, katanya lagi.
Sehubungan itu, Sobri meminta pihak-pihak tertentu supaya tidak menyebarkan berita yang boleh menimbulkan isu perkauman di negara ini.
Beliau juga mendakwa ada pihak yang cuba menggagalkan kongres itu dengan melaporkan berita yang tidak benar mengenainya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.