Segerakan penubuhan suruhanjaya aduan dan salahlaku polis
Suruhanjaya Bebas siasatan kes wanita bogel yang diarahkan ketuk-ketampi mengesyorkan supaya jangan dilewatkan lagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis seperti cadangan Suruhanjaya Diraja Polis sebelum ini.
Suruhanjaya Bebas siasatan kes wanita bogel yang diarahkan ketuk-ketampi mengesyorkan supaya jangan dilewatkan lagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis seperti cadangan Suruhanjaya Diraja Polis sebelum ini.
Ini adalah tujuh syor laporannya yang bertajuk Laporan Untuk Menyiasat Prosedur Tetap Operasi, Kaedah-Kaedah atau Peraturan-Peraturan Berhubung Dengan Pengendalian Pemeriksaan Tubuh Berkenaan Dengan Penangkapan dan Penahanan Oleh Polis selepas mengambil kira beberapa peraturan termasuk prinsip syariah dan bidang kuasa Komanwel. Syor-syor tersebut adalah:
1. Kod Amalan Pemeriksaan Tubuh diluluskan sebagai peraturan kecil di bawah Kanun Acara Jenayah.
2. Bahagian IV dan VI Kanun Acara Jenayah berkaitan pemeriksaan dipinda untuk memasukkan perkara berikut:
i. Kesopanan ditakrif dengan memasukkan larangan mendedahkan keseluruhan tubuh pada bila-bila masa kerana dibolehkan berpakaian sebahagiannya ketika pemeriksaan dibuat; dan
ii. Melaksanakan tiga kategori pemeriksaan yang berlainan daripada gangguan (pemeriksaan) yang kecil kepada yang paling banyak gangguan seperti pemeriksaan secara menepuk-tepuk tubuh dalam keadaan berpakaian lengkap (pat search), dalam keadaan berbogel (strip search) dan pemeriksaan melibatkan bahagian sulit badan oleh doktor (intimate search).
3. Balai polis di seluruh negara dipasang dengan alat pengimbas untuk memeriksa tubuh tahanan.
4. PDRM perlu menjadikan Kod Amalan Pemeriksaan Tubuh dapat diakses melalui lamanwebnya.
5. Mendidik orang ramai mengenai hak asasi mereka semasa siasatan dijalankan melalui kempen atau kaedah lain termasuk menggunakan lamanwebnya.
6. Menekankan kepentingan hak asasi manusia sesuai dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Universal, lain-lain peraturan antarabangsa dan prinsip-prinsip Syariah melalui penambahan latihan serta program kesedaran dalam PDRM.
7. Mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis seperti yang disyorkan dalam Laporan Suruhajaya Diraja Polis.
Sehubungan itu, suruhanjaya bebas itu mengesyoarkan kaedah pemeriksaan badan yang dikategorikan kepada tiga jenis pemeriksaan tubuh dalam keadaan berpakaian lengkap, pemeriksaan secara melucutkan pakaian, dan pemeriksaan melibatkan bahagian sulit badan.
1) Pemeriksaan tubuh dalam keadaan berpakaian lengkap.
Pegawai pemeriksa harus bertanya kepada tahanan jika dia mempunyai barang-barang yang boleh mencederakan pegawai itu semasa pemeriksaan dijalankan.
Pegawai pemeriksa harus meminta tahanan supaya mengeluarkan barang peribadi daripada poket dan meletakkannya di tempat yang boleh dilihat oleh pegawai berkenaan.
Pegawai pemeriksa perlu meminta tahanan menanggalkan barang kemas, jam, kasut, stokin dan tali pinggang dan meletakkannya di tempat yang boleh dilihat oleh pegawai itu.
Jika sebarang besi berbahaya dikesan, pegawai pemeriksa perlu menjalankan pemeriksaan membuka pakaian terhadap tahanan.
Apabila memeriksa tubuh dan kaki tahanan, pegawai pemeriksa tidak sepatutnya menyentuh bahagian sulit tahanan.
2) Pemeriksaan secara melucutkan pakaian.
Hanya pegawai penyiasat dan pegawai pembantu di dalam bilik apabila tahanan diminta membuka mana-mana pakaiannya dan mengeluarkan sebarang barangan peribadi.
Pegawai penyiasat perlu memakai sarung tangan sebelum menjalankan pemeriksaan.
Apabila menjalankan pemeriksaan, pegawai penyiasat perlu mengambil kira sensitiviti dan memberi kerjasama dalam menjaga aib tahanan.
Semasa menjalankan pemeriksaan, tahanan seharusnya tidak diminta menanggalkan pakaiannya sepanjang masa, misalnya, tahanan lelaki harus dibenarkan untuk memakai baju sebelum menanggalkan seluar dan tahanan wanita harus dibenarkan untuk memakai blaus dan baju dalam sebelum menanggalkan skirt atau seluarnya. Tahanan adalah diminta untuk berdiri dengan tangan di atas kepala.
Semua pakaian dan barangan peribadi, mestilah diperiksa bagi memastikan tiada sebarang senjata, objek, bukti atau barangan terlarang dengan disaksikan oleh tahanan tersebut.
Pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan sama ada dengan meminta tahanan itu berpusing perlahan-lahan 360 darjah atau pegawai pemeriksa boleh mengelilinginya.
Pegawai pemeriksa mesti memeriksa ketiak dan lengan kerana kemungkinan dadah disembunyikan di bahagian badan ini.
Jika terdapat sebarang item di dalam mulut, telinga atau hidung, pegawai pemeriksa boleh mengarahkan tahanan untuk mengeluar dan menyerahkannya. Jika tahanan ingkar, tahanan tertakluk kepada pemeriksaan melibatkan bahagian sulit badan.
Nota: Pegawai pemeriksa perlu sepanjang masa memastikan tahanan dalam keadaan separuh berpakaian.
3) Pemeriksaan melibatkan bahagian sulit badan.
Bergantung kepada pemerhatian melibatkan pemeriksaan bahagian sulit jika terdapat keraguan munasabah bahawa tahanan menyimpan senjata, objek, bukti atau barangan terlarang pada tubuh, prosedur berikut perlu dipatuhi:
Pemeriksaan badan hanya boleh dilakukan oleh doktor atau pembantu hospital atau jururawat bertauliah.
Waran memeriksa perlu dipohon.
Ketua Polis Balai perlu mengarahkan tahanan dibawa ke hospital berdekatan untuk tujuan tersebut.
Pegawai pembantu yang sama jantina dengan tahanan, perlu menyaksikan pemeriksaan itu. Pegawai tersebut perlu mengawal selia sebarang senjata, objek, bahan bukti atau barang terlarang.
Selepas pemeriksaan itu, pegawai pembantu perlu mengarahkan tahanan memakai semula pakaiannya.
Pemeriksaan melibatkan kanak-kanak atau tahanan yang mengalami gangguan mental, perlu dijalankan dengan kehadiran penjaga yang sah.
Sebelum pemeriksaan, tahanan wanita perlu ditanya sama ada dia sedang haid. Jika dalam keadaan itu, dia perlu diberi peluang membersihkan dirinya terlebih dahulu.

