Sabah akan lancar operasi bersepadu tangkap pendatang haram
Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited dan mengambil tindakan proaktif dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited dan mengambil tindakan proaktif dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Beliau berkata, dari tahun 1996 sehingga tahun lalu, sejumlah 236,818 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara asal mereka.
Jumlah itu menunjukkan kerajaan sentiasa komited dalam membanteras kehadiran pendatang tanpa izin di negeri ini tetapi malangnya sesetengah mereka yang dihantar pulang, kembali menyusup ke Sabah kerana masalah dalaman di negara asal mereka, katanya.
Oleh itu, orang ramai, pemimpin tempatan, badan bukan kerajaan, pemaju perumahan dan majikan, juga perlu memainkan peranan dalam membantu kerajaan negeri membanteras kehadiran pendatang tanpa izin di negeri ini, katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri di Kota Kinabalu hari ini.
Semalam, malaysiakini melaporkan , pertambahan mendadak rakyat Sabah kini membimbangkan dan mendorongkan sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) menimbang melancarkan kempen tandatangan mendesak kerajaan pusat menubuhkan segera suruhanjaya diraja untuk menyiasat perkara itu.
Seorang aktivis terkemuka di Sabah, Patrick Sindu memberitahu malaysiakini semalam, beliau dan pemimpin badan-badan NGO tempatan akan mengumpulkan tandatangan, termasuk dari pemimpin Barisan Nasional.
Penduduk bimbang
Menurutnya, jumlah penduduk Sabah kini meningkat mencecah 3.3 juta dan keadaan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat tempatan, terutama berhubung hak mereka terhadap tanah adat.
Sementara itu, menurut laporan Bernama, Musa berkata, menurut perangkaan tidak rasmi yang diterimanya, terdapat kira-kira 100,000 orang pendatang tanpa izin masih berada di Sabah.
Katanya, dalam masa terdekat ini, satu operasi bersepadu yang melibatkan pasukan tentera, polis, Jabatan Imigresen, Ikatan Relawan Rakyat akan dilaksanakan bagi menangkap pendatang tanpa izin.
Mengenai keselamatan di Sabah, beliau berkata keadaan adalah terkawal dengan pasukan keselamatan berkawal di tempat-tempat strategik di negeri ini.
Beliau berkata sepanjang tahun lepas tidak ada insiden yang tidak diingini seperti pencerobohan atau penculikan dilaporkan di Sabah.
Musa berkata keyakinan terhadap keselamatan di Sabah ini dibuktikan melalui kebanjiran pelancong asing di pusat-pusat peranginan sejak kebelakangan ini.
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.