PAS: Orang Arab beri imej negatif tentang demokrasi
Seorang pemimpin PAS berkata, umat Islam tidak boleh menjadikan orang Arab sebagai model demokrasi dan peradaban moden.
Seorang pemimpin PAS berkata, umat Islam tidak boleh menjadikan orang Arab sebagai model demokrasi dan peradaban moden.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Mohamad Hanipa Maidin berkata, warga Arab memberi imej yang negatif kepada demokrasi dan Islam sehingga mengakibatkan orang Barat memandang serong terhadap umat Islam.
Sehubungan itu, Mohamad Hanipa berkata, perbuatan mempersendakan Islam dan Nabi Muhammad SAW mungkin tidak berlaku jika orang Arab menunjukkan contoh yang baik berhubung demokrasi dan peradaban moden.
"Malah pergerakan Al-Qaeda mungkin tidak akan muncul jika pemimpin Arab memberi ruang demokrasi di negara mereka," katanya dalam majlis debat mengenai isu karikatur mempersendakan Nabi Muhammad SAW di Petaling Jaya malam tadi
Debat umum anjuran Open Dialogue Centre (ODC) itu turut disertai oleh Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno, Datuk Shamsul Najmi Harun; karyawan Komuniti Jalan Telawi, Hasmi Hashim dan Ketua Wartawan mStar Online, Fathi Aris Omar sebagai moderator.
Mohamad Hanipa juga menyatakan, PAS tidak bersetuju dengan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas mereka yang menyiarkan kartikatur atau kartun yang mempersendakan Nabi kerana akta tersebut sangat zalim.
"Mereka yang menghina Nabi memang zalim tetapi ISA merupakan akta yang lebih zalim dan akta yang telah disalahgunakan," katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan hadirin, Mohamad Hanipa berkata, umat Islam di negara ini juga tidak boleh menganggap semua tindakan PAS adalah betul dan perlu diterima.
Agenda politik
Katanya, PAS sebagai sebuah organisasi politik, bertindak berdasarkan agenda politik parti itu.
Sementara itu, Datuk Shamsul Najmi berkata, pertentangan politik di antara PAS dan Umno tidaklah seburuk yang dianggap oleh sesetengah pihak di negara ini.
Sebaliknya, kata beliau, pertentangan itu telah melahirkan kesan positif yang membawa kepada kemajuan negara dan rakyat.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, majlis dialog perlu diperbanyakkan, bukan sahaja untuk umat Islam tetapi juga membabitkan penganut agama lain.
"Nabi Muhammad SAW sendiri mengutus surat untuk mengadakan dialog dengan Raja Parsi, Raja Rom dan Raja Habsyah dalam semua perkara," katanya.
Bagaimanapun, katanya tidak semua perkara perlu diperdebatkan kerana perkara pokok mengenai Islam tidak boleh ditukar ganti.
Beliau juga tidak setuju nama Islam atau jihad digunakan untuk keganasan kerana Islam mengajar manusia menggunakan akal fikiran untuk mengatasi hawa nafsu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.