Polis saja tidak harus dipersalahkan atas kes-kes bunuh yang tidak dapat diselesaikan ketika mereka yang didakwa dibebaskan oleh mahkamah, kata seorang pegawai kanan polis.

Pegawai tersebut, yang tidak mahu dinyatakan pengenalannya, berkata timbalan pendakwaraya (DPP) harus turut dipersalahkan dalam kes-kes di mana orang yang didakwa dibebaskan oleh mahkamah.

"Sebelum tertuduh dihadapkan ke mahkamah, kertas siasatan akan dikemukakan ke pejabat DPP untuk nasihat selanjutnya demi menjamin bukti cukup sebelum prosiding mahkamah selanjutnya.

"Dalam sesetengah kes, pejabat DPP harus turut dipersalahkan bila mereka tidak memberitahu kami apa-apa kekurangan dalam kertas siasatan yang menyebabkan sesetengah suspek malah tidak langsung dihadapkan ke mahkamah," katanya kepada Bernama semalam.

Beliau mengulas laporan dalam Sunday Star mengenai sekurang-kurangnya 10 kes bunuh yang belum selesai dan akhbar itu menyalahkan "kurangnya bukti dan siasatan yang tidak teliti".

Kumpul bukti

Pegawai itu berkata: "Polis tidak mengabaikan mana-mana kes ini dan kami sentiasa melakukan yang terbaik mengumpul bukti bagi menyelesaikan semua kes.

"Namun orang ramai patut menghargai apa yang kami lakukan selama ini. Kami kendali semua kes secara saksama dan kami bersikap adil dalam memberi keutamaan kepada semua kes," katanya.

Beliau berkata di Kuala Lumpur, 47 kes bunuh dilaporkan tahun lalu, berbanding 56 pada 2004, dan 49 peratus atau 23 kes telah diselesaikan. Bagi tiga bulan pertama tahun ini, 16 kes bunuh dilaporkan.

"Tidak syak lagi bilangannya meningkat. Kita harus faham bahawa pembunuhan adalah sesuatu yang berbeza dari jenayah lain dan ia adalah tindakan yang tidak dapat diramal," tambahnya.

Pegawai itu berkata tugas polis dalam menyelesaikan jenayah menjadi lebih sukar akibat keengganan orang ramai tampil memberi maklumat.

"Kami amat memerlukan kerjasama orang ramai dan mereka memainkan peranan besar dalam mengurangkan kadar jenayah, khususnya kes bunuh," katanya.