Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Exco Pemuda Umno menjadi sasaran pemimpin pergerakan tersebut kerana mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian bapanya berhubung isu pembinaan jambatan indah, yang bertentangan dengan pendirian pergerakan itu sendiri.

Pemuda Umno sebelum ini telah menegaskan pendiriannya meyokong penuh keputusan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan projek pembinaan jambatan terseitu.

Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim berkata, Mukhriz yang merupakan exco Pemuda, sepatutnya menggunakan saluran dalaman parti untuk menyuarakan pendapatnya mengenai isu tersebut, dan bukannya bercakap kepada orang luar.

Beliau menyifatkan tindakan Mukhriz (foto) itu sebagai tidak wajar.

"Isu ini telah diputuskan oleh kerajaan dan rakyat perlu menerimanya kerana perbincangan lanjut mengenainya hanya membuang masa dan tidak memberi faedah.

"Isu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor sudah dibincangkan sejak 10 tahun lalu dan tidak perlu dibangkitkan lagi," katanya ketika mengulas mengenai saranan Mukhriz supaya Malaysia membawa isu tersebut ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Mukhriz yang merupakan Pengerusi Biro Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pemuda, membuat saranan itu dalam ucaptamanya di forum anjuran Pemuda Umno Pulai di Johor Bahru Sabtu lalu.

Razali berkata, Pemuda Umno Johor berdiri teguh di belakang keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan pembinaan jambatan itu.

"Saya ingin mengingatkan mana-mana pihak, ada isu yang boleh dibincangkan dan ada isu yang tidak perlu diperdebatkan lagi. Dalam soal ini keputusan kerajaan membatalkan pembinaan jambatan tersebut Indah tidak perlu dipertikaikan lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kecaman Dr Mahathir

Pembatalan pembinaan jambatan tersebut mengundang kecaman Dr Mahathir yang menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai kurang bijak.

Razali berkata, keputusan membatalkan pembinaan jambatan berkenaan adalah hak Malaysia dan kerajaan dan oleh itu tiada pihak boleh mempertikaikannya.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Pemuda Umno, Abdul Rahman Dahalan berkata, saranan yang dibuat oleh Mukhriz itu tidak mewakili pendirian Pemuda Umno

"Kita telah meluluskan reslousi untuk menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri mengenai perkara tersebut," katanya.

Menurut beliau, saranan Mukhriz itu adalah pendapat peribadinya.

Sementara itu Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berkata, kenyataan yang dibuat oleh Mukhriz tidak lebih daripada usaha untuk menyokong bapanya, Dr. Mahathir.

Beliau percaya kenyataan itu tidak disenangi oleh pucuk pimpinan Pemuda Umno kerana pergerakan itu tidak biasa dengan perbezaan pendapat di kalangan mereka.