Nik Aziz kata boleh kahwin misyar
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut memanaskan lagi perdebatan mengenai perkahwinan misyar apabila berkata ia dibolehkan dalam Islam asalkan seseorang wanita itu memberikan keizinan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut memanaskan lagi perdebatan mengenai perkahwinan misyar apabila berkata ia dibolehkan dalam Islam asalkan seseorang wanita itu memberikan keizinan.
"Terserahlah pada perempuan dan sekiranya giliranpun kalau mereka izinkan sekali seminggu atau sebulan sekali pun tak apa" katanya ketika mengulas cadangan supaya lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar.
Oleh itu, katanya, tidak timbul soal amalan perkahwinan seperti itu menghina wanita kerana mereka sudah memberikan keizinan, katanya.
Beliau menegaskan demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menolak cadangan itu atas alasan ia tidak sesuai dengan keperluan masyarakat negara ini.
Menurut laporan Bernama, perkahwinan misyar bermaksud seseorang suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Cadangan tersebut dibuat oleh pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang menurutnya dapat mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.
Bagaimanapun, kata Nik Abdul Aziz, keizinan atau pengakuan wanita itu hendaklah dibuat secara bertulis bagi mengelakkan perkara berbangkit sekiranya mereka membawa perkara itu ke mahkamah.
Tidak hina wanita
"Misyar tidak menghina wanita. Nak hina macam mana kalau dia sendiri memberi izin. Ia merupakan hak mereka kalau dia nak beri duit atau rumah kepada orang yang nak kahwin dengannya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan agama di Kota Bharu hari ini.
Ditanya sama ada Kelantan membenarkan perkahwinan itu, beliau berkata, hukum Islam itu sama sahaja di seluruh dunia.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas sama ada perkahwinan misyar itu bertentangan dengan Enakmen Keluarga Islam Kelantan.
Dalam perkembangan lain, Nik Adul Aziz meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan merampas atau menyekat penjualan majalah "Playboy" versi Malaysia.
"Playboy atau Playman sama seperti dadah. Asalkan ia merupakan benda beracun kepada pemikiran dan iman manusia dan menjejaskan moral, kita kena sekat," katanya mengulas penerbitan majalah itu yang dikesan dijual secara haram dekat Tanah Merah, Kelantan.
Penjualan majalah itu dikesan Bahagian Kawalan penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Kelantan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.