Seorang pemimpin sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, akibat kebanjiran rakyat asing, terutamanya dari Filipina, mereka menganggap Sabah sebahagian daripada wilayah negara tersebut.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, mereka yang menganggap kedaulatan Sabah dalam Malaysia adalah terjamin, "perlu berfikir dua kali".

Beliau yang juga bekas Senator memberitahu demikian dalam keterangannya kepada Jawatankuasa Parlimen Mengenai Integriti di Kota Kinabalu Khamis lalu.

Chong yang juga seorang pakar bedah perunding di Pusat Perubatan Sabah merujuk kepada pertambahan 'luar biasa' penduduk Sabah kepada kira-kira 3.3 juta dengan lebih separuh daripadanya terdiri daripada rakyat asing,

Beliau juga sebelum ini memberitahu jawatankuasa berkenaan mengenai rancangan sulit yang menurutnya dikenali sebagai Projek Mahathir untuk memasukkan dalam senarai pengundi nama pendatang asing yang memiliki kad pengenalan.

Dalam keterangan panjang lebarnya kepada jawatankuasa tersebut yang diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah, pemimpin PBS itu berkata "generasi akan datang tidak akan memaafkan kita kerana membiarkan perkara tersebut berlaku."

Tubuh suruhanjaya diraja

Chong juga menggesa supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat perkara tersbut walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan tidak menyetujuinya.

"Perdana Menteri tahu mengenai apa yang saya katakan hari ini. Kita mesti berani berdepan dengan kebenaran seperti yang PM mahu (kita) memberitahu kebenaran," katanya.

Menurutnya, suruhanjaya diraja itu akan dapat menentukan peranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam projek Mahathir (yang juga disebut sebagai Projek IC), "jika tidak sejarah tidak akan memaafkan mereka yang memegang kuasa kerana tidak melindungi kedaulatan kita".

Idea mengenai penubuhan suruhanjaya diraja itu dicetuskan oleh PBS dan parti-parti komponen BN yang lain serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan sebuah persatuan pengguna di Sabah, Cash.

"(Keadaan) ini amat genting. Kita perlukan tindakan yang drastik...," tambahnya.

Chong mengingatkan pemimpin di peringkat pusat bahawa rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia dalam dua pungutan suara yang diadakan sebelum ini, bagi melindungi keselamatan dan kedaulatan negeri berkenaan.

Katanya, sewaktu PBS menjadi pembangkang, kekurangan tindakan tegas yang diambil terhadap kehadiran ramai rakyat asing di Sabah dikatakan berpunca daripada hubungan tidak baik antara kerajaan negeri dan pusat.

"PBS kini menganggotai semula BN sejak Januari 2003, tetapi masalah tersebut menjadi semakin parah daripada serius kepada semakin genting," tambahnya.

Akibat kebanjiran rakyat asing itu, Chong menyuarakan kebimbanganya mengenai kemungkinan suatu hari nanti berlaku pertumpahan darah di negeri itu sepertimana yang pernah berlaku di Kalimantan Barat beberapa tahun yang lalu.

Undang-undang tidak dikuatkuasakan

Chong mendakwa, banyak dasar-dasar yang sedia ada mengenai rakyat asing "tidak dikuatkuasakan secara komrehensif".

Beliau mengambil contoh bukti 'fanatik' sewaktu perbicaraan petisyen pilihanraya Likas yang dimuatkan dalam buku MD Mutalib bertajuk IC Palsu: Merampas Hak Anak Sabah

Chong memenangi kes tersebut di mana kemenangan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee diisytiharkan 'tidak sah dan batal' selepas dibuktikan wujudkan pengundi rakyat asing yang memiliki kad pengenalan yang mencurigakan.

Chong juga berkata, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu mengambil tindakan untuk membersihkan senarai pengundi di Sabah sebelum pilihanraya umum yang akan datang diadakan.

Dalam keterangannya kepada jawatankuasa tersebut, Chong memetik kandungan sepucuk surat dari seorang pembaca yang disiarkan dalam akhbar harian Daily Express pada Januari 2005 yang berbunyi: "Kini terserah kepada Perdana Menteri (untuk bertindak tegas terhadap kebanjiran pendatang haram di Sabah).

Penulis surat tersebut menyifatkan Sabah "seorang pesakit tenat".

Oleh itu, katanya, jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Benard Dompok perlu mengambil tindakan bagi menyelamatkan 'nyawa pesakit tersebut".

Dompok, yang juga Persiden PertubuhanPasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) berkata, jawatankuasa berkenaan akan mengumumkan hasil siasatannya selepas menyiapkan siasatannya selama dua tahun. Terjemahan