Pengaruh Osman Aroff diperguna untuk kalahkan Dr M?
Kumpulan anti Tun Dr Mahathir Mohamad sedang melipatganda usaha di saat akhir termasuk dakwaan menggunakan pelbagai "taktik kotor" dan mengeksploitasi pengaruh bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff untuk "menumbangkan" bekas Perdana Menteri itu dalam pemilihan perwakilan ke perhimpunan agung Umno di mesyuarat bahagian Kubang Pasu esok.
Kumpulan anti Tun Dr Mahathir Mohamad sedang melipatganda usaha di saat akhir termasuk dakwaan menggunakan pelbagai "taktik kotor" dan mengeksploitasi pengaruh bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff untuk "menumbangkan" bekas Perdana Menteri itu dalam pemilihan perwakilan ke perhimpunan agung Umno di mesyuarat bahagian Kubang Pasu esok.
S
umber-sumber Umno bahagian berkenaan memberitahu, kemungkinan besar Osman akan mengiringi Menteri Besar, Datuk Mahadzir Khalid (foto) ke majlis perasmian bagi menunjukkan kepada para perwakilan bahawa "orang lama" dan "sahabat baik" Dr Mahathir juga tidak berpihak kepada bekas Presiden Umno itu.
Osman (foto) adalah bekas wakil peribadi Dr Mahathir bagi Parlimen Kubang Pasu selepas beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Beliau juga akan menghadiri mesyuarat tersebut selaku ahli Umno bahagian berkenaan.
Bekas Menteri Besar Kedah itu dikatakan masih mempunyai pengaruh kuat di peringkat akar Umno Kubang Pasu dan ramai ketua-ketua cawangan terdiri daripada para penyokongnya.
"Mereka mahu menggunakan pengaruh Osman untuk meraih simpati dan undi penyokong Osman yang juga merupakan penyokong kuat Dr Mahathir," kata sumber itu.
Mengenai taktik kotor yang digunakan pula, satu sumber yang rapat dengan Datuk Mukhriz Mahathir pula berkata, ia termasuklah menggunakan para pegawai tinggi kerajaan di Jabatan Bekalan Air Neger (JBA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Yayasan Tekun Malaysia untuk menekan kakitangan mereka yang merupakan ketua-ketua cawangan yang menyokong Dr Mahathir.
Amaran pada kakitangan
Menurutnya, seorang ketua cawangan yang berkerja dengan JBA telah diminta oleh ketuanya supaya "jangan keluar rumah" sepanjang kempen pemilihan perwakilan bahagian Kubang Pasu ini.
"Seorang Ketua Pemuda Cawangan yang juga perwakilan ke mesysuarat bahagian yang menyokong Dr Mahathir juga telah dihubungi oleh orang atasannya dan dinasihatkan jangan aktif dalam pemilihan 9 September itu.
"Malah orang atasan Yayasan Tekun Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur juga telah turun ke Kubang Pasu untuk memberi amaran kepada seorang ketua cawangan yang merupakan pekerja yayasan berkenaan," dakwa beliau.
Menurutnya lagi, guru-guru yang aktif di cawangan Umno dan menjadi perwakilan tidak terkecuali daripada menerima penggilan telefon dan "nasihat" serta dibatalkan cuti mereka esok kerana dikhuatiri akan menyokong Dr Mahathir. Esok adalah hari persekolahan bagi negeri Kedah.
Selain itu, katanya kakitangan dari pelbagai agensi kerajaan pusat seperti Kementerian Dalam Negeri dan Biro Tata Negara serta pelajar institusi pengajian tinggi dan persatuan belia, turut berkampung di Kubang Pasu sejak seminggu lalu.
"Mereka kelihatan keluar masuk kampung silih berganti, terutamanya apabila mengetahui rombongan pro-Datuk Muhkriz telah mengunjungi kampung-kampung berkenaan," ujarnya.
Beliau juga mendakwa, kempen yang dijalankan oleh kumpulan anti-Dr Mahathir menyalahi etika pemilihan Umno kerana melibatkan perjumpaan besar dan jamuan yang boleh dikategorikan sebagai politik wang.
Orang kuat MB
"Semalam sekumpulan ketua cawangan Umno dipanggil mendengar taklimat "Isu-isu Semasa" oleh sebuah agensi kerajaan, tetapi sebenarnya ialah adalah satu kempen untuk menolak Dr Mahathir.
"Adakah ia satu taklimat isu semasa jika yang hadir ialah orang kuat MB? Mengapa hanya dihadkan kepada ketua-ketua cawangan Umno sahaja?" soal beliau.
Sumber itu juga mendakwa, beberapa ahli Umno Kubang Pasu juga terserempak dengan "orang kuat" ibu pejabat Umno bertemu dengan pengerusi tetap mesyuarat bahagian di sebuah hotel di Alor Star beberapa hari lalu.
Beliau menambah, kempen-kempen kurang sihat semakin galak dilakukan kerana kumpulan anti-Dr Mahathir sudah terdesak apabila melihat pengaruh dan sokongan terhadap bekas Presiden Umno itu masih kukuh dan berpeluang cerah untuk menang.
Katanya, bukti usaha untuk meminggirkan Dr Mahathir tidak dipersetujui oleh ahli-ahli Umno bahagian berkenaan, dapat dilihat dalam sidang akhbar khas Umnp Kubang Pasu semalam di mana hanya kira-kira 20 orang ahli jawatankuasa bahagian dan ketua cawangan menghadirkan diri.
"Kami difahamkan urusetia Umno bahagian telah menjemput semua 138 ketua cawangan dan semua ahli jawatankuasa ke sidang media tersebut untuk merayu Dr Mahathir jangan bertanding esok. Tetapi yang hadir hanya AJK bahagian dan beberapa pemimpin Umno cawangan. Ini menunjukkan usaha mereka itu gagal,"ujarnya.
Dua ahli jawatankuasa bahagian yang tidak hadir ialah Mukhriz yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan bahagian pada tahun 2004 dan Adun Jitra, Profesor Dr Othman Ishak.
Khidmat SMS
Dalam sidang media itu, Ketua Bahagian, Datuk Johari Baharum telah merayu dengan terisak-isak supaya Dr Mahathir tidak bertanding demi menjaga maruahnya sebagai seorang negarawan.
Sumber yang sama juga mendakwa, kempen memburuk-buruk Dr Mahathir dan Mukhriz menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) turut dilakukan.
Antara mesej yang disebarkan kepada 493 orang perwakilan ke mesyuarat bahagian itu ialah:
"Mukhriz dah kaya raya, mengapa nak bising-bising", "Adakah Tun bertanding kerana anak-anaknya dah tak dapat projek.." dan " Waktu Kubang Pasu dilanda banjir, mengapa Mukhriz tak turun..."
Sementara itu seorang veteran Umno pula menyifatkan apa yang berlaku di Kubang Pasu sekarang adalah sangat menyedihkan.
"Kita berlawan sesama Umno sedangkan ia hanya satu pemilihan perwakilan ke perhimpunan agung Umno. Mengapa beria-ia sangat nak mengalahkan Tun (Dr Mahathir)? Apalah sangat setakat nak jadi perwakilan ke perhimpunan agung Umno tu.."tanyanya.
Beliau berkata, seorang negarawan yang sanggup merendah diri untuk menjadi perwakilan biasa ke perhimpunan sepatutnya dihargai dan hormati, bukannya diperlekehkan seperti yang berlaku di Kubang Pasu ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.