Perjumpaan bersejarah antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad kemungkinan besar diadakan Ahad ini bertempat di ibupejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ini berdasarkan cadangan yang dibuat oleh Persatuan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Mubarak) sewaktu mengadakan rundingan dengan wakil Dr Mahathir dan Abdullah pada 2 Oktober lalu.

Salah seorang wakil Mubarak dalam rundingan tersebut, Datuk Othman Abdul (foto) bekas Ahli Parlimen Pendang berkata Dr Mahathir sudah bersetuju dengan tarikh dan tempat tersebut, dan kini pihaknya menunggu pengesahan daripada Abdullah.

"Datuk Seri Abdullah telah memaklumkan kepada Mubarak bahawa beliau akan mengesahkan perkara itu melalui wakilnya, Datuk Mokhzani Mahathir," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Menurut Othman, Mubarak mencadangkan tarikh tersebut sewaktu mengadakan perjumpaan kedua dengan wakil Dr Mahathir dan wakil Abdullah pada 2 Oktober lalu.

Dalam perjumpaan tersebut, Dr Mahathir diwakili oleh bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, yang bekas Pengerusi Kumpulan Utusan Melayu, Tan Sri Khalid Abdullah manakala wakil Abdullah pula terdiri daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Mokhzani.

Othman adalah antara tiga wakil Mubarak yang terbabit dalam rundingan tersebut. Dua lagi wakil Mubarak adalah bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, yang juga pemangku Presiden Mubarak, Datuk Abu Zahar Ujang dan bekas menteri, Tan Sri Zaleha Ismail.

Hasil pertemuan

Berikutan itu, Othman berkata, perjumpaan tersebut akan diadakan pada hari Ahad ini di PWTC sekiranya mendapatkan dipersetujui oleh Perdana Menteri.

Bagaimanapun, tambahnya, waktu pertemuan tersebut belum diputuskan, juga bergantung kepada persetujuan Abdullah.

Mubarak merupakan pihak utama yang berusaha untuk menemukan Dr Mahathir dengan Abdullah bagi menyelesaikan krisis antara mereka ekoran kritikan hebat bekas Perdana Menteri terhadap kerajaan pimpinan Abdullah sekarang.

Menurut Othman, perjumpaan pertama dengan wakil Dr Mahathir, iaitu Khalid, diadakan pada 6 September lalu bertempat di hotel PJ Hilton di Petaling Jaya.

Katanya, ini diikuti oleh perjumpaan kedua yang membabitkan wakil dari kedua belah pihak, iaitu Khalid, Radzi dan Mokhzani serta tiga wakil Mubarak, bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 2 Oktober lalu.

Dalam perjumpaan 2 Oktober itu, katanya, Mubarak mengemukakan dua cadangan iaitu Dr Mahathir berucap kepada Majlis Tertinggi Umno dan kedua menjemput bekas Perdana Menteri itu berucap kepada Menteri Umno/Melayu. Kedua-dua cadangan itu dipersetujui oleh Radzi.

Menurut Othman lagi, Dr Mahathir bersetuju dengan kedua-dua cadangan tersebut, tetapi meminta agar perjumpaan beliau dengan Abdullah turut disertai oleh seorang saksi yang dipercayai.

Katanya, Radzi telah membawa cadangan tersebut kepada Abdullah yang bersetuju untuk bertemu dengan Dr Mahathir tetapi menolak permintaan Dr Mahathir untuk membawa seorang saksi.