Kekuatan Umno tidak akan terjejas meskipun Tun Dr Mahathir Mohamad dipecat dari parti itu kerana Umno sudah pernah berdepan dengan beberapa krisis besar, termasuk penubuhan Parti Semangat 46 dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Pemuda Umno Kedah.

"Jika Datuk Seri Anwar (bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Persiden Umno boleh dipecat tidak ada sebab tindakan sama tidak diambil ke atas Tun Dr Mahathir," kata Ketuanya Mohd Rawi Abdul Hamid kepada malaysiakini.

Oleh itu, katanya, bekas Perdana Menteri itu seharusnya dipecat kerana tindakan beliau yang cuba memecahbelahkan parti dari dalam.

Mohd Rawi berkata, Lembaga Disiplin parti perlu melayan bekas Presiden Umno itu sama seperti ahli Umno yang lain.

Tetapi sebaliknya, katanya, kekuatan parti itu akan luntur sekiranya masalah yang membabitkan Dr Mahahir itu dibiarkan berlarutan.

"Tindakan keras sedemikian rupa juga merupakan satu peringatan kepada pemimpin utama parti supaya tidak bertindak keterlaluan selepas bersara," katanya lagi.

Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada 1998 kerana didakwa terbabit dalam salahlaku seks dan penyalahgunaan kuasa.

Manakala Parti Semangat 46 pula ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah apabila Umno diisytiharkan haram selepas beliau mencabar Dr Mahathir untuk jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti itu pada 1987.

Pandangan peribadi

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Abdul Samad berkata tidak perlu mengambil tindakan yang keras kepada Dr Mahathir.

"Saya tidak fikir kita perlu memecat atau mengambil tindakan yang keras terhadap Tun Dr Mahathir pada masa ini kerana kritikan bekas Perdana Menteri itu merupakan pandangan peribadi beliau.

"Kita tidak perlu mengambil tindakan yang terburu-buru berdasarkan emosi kerana kritikan sedemikian merupakan perkara biasa dalam politik," katanya yang juga Ketua Umno Johor Bahru.

Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Datuk Ikhwan Salim Sujak pula berkata cadangan supaya Dr Mahathir digugurkan daripada menjadi penasihat kepada agensi kerajaan, perlu dibuat berdasarkan prestasi kerja dan bukan perkiraan politik.

Katanya, jika prestasi Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) baik, maka tidak ada sebab mengapa bekas Perdana Menteri itu perlu disingkirkan .

"Kita harus melihat sama ada kritikan Tun Dr Mahathir itu berunsur perniagaan atau politik," tambahnya.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan kedudukan Dr Mahathir sebagai penasihat agensi kerajaan.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid mahu Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagai penasihat Petronas, Proton dan Lada jika mahu terus mengkritik kerajaan.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid pula mahu tindakan diambil ke atas Dr Mahathir tetapi tidak terlalu keras kerana dibimbangi akan menyebabkan masalah yang lebih besar kepada parti.