Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Penasihat Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Beliau menyatakan perkara tersebut kepada wakil Persatuan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) dalam satu pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya Isnin lalu.

Salah seorang wakil Mubarak itu, Datuk Othman Abdul berkata, menurut Dr Mahathir terpulanglah kepada kerajaan sama ada mahu memecatnya daripada jawatan tersebut.

"Tun Dr Mahathir memberitahu kami, beliau lebih rela dipecat daripada meletakkan jawatan sebagai Penasihat Petronas, Proton dan LADA," kata Othman ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Tiga lagi wakil Mubarak yang turut hadir ialah Pemangku Presiden Mubarak, Datuk Abu Zahar Ujang; Tan Sri Zaleha Ismail; dan Datuk Badri Yunus.

Lagi pula, katanya, Dr Mahathir menegaskan bahawa penubuhan Petronas, Proton dan LADA adalah dibuat hasil inisiatif bekas Perdana Menteri itu.

Othman yang juga bekas ahli Parlimen Pendang berkata, bekas Perdana Menteri untuk memaklumkan kepada mereka bahawa beliau hanya menerima elaun daripada Petronas tetapi tidak menerima apa-apa imbuhan daripada Proton dan LADA.

Mesyuarat MT

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Mahadzir Khalid menyarankan Dr Mahathir melepaskan jawatan penasihat di beberapa agensi kerajaan itu jika berhasrat untuk terus mengkritik Perdana Menteri.

Mahadzir dilaporkan berkata jika Dr Mahathir masih mahu mengkritik kerajaan, maka "eloklah lepaskan semua jawatan itu dan jadilah individu bebas yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan, barulah betul. Jika tidak apa gunanya jadi penasihat."

Manakala ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sudah tiba masanya Umno dan kerajaan bertindak tegas terhadap Dr Mahathir termasuk mengkaji semula kedudukannya sebagai penasihat beberapa agensi kerajaan,

Mohamed Khaled menegaskan, tindakan itu penting supaya Dr. Mahathir tahu bahawa perbuatan beliau terus mengkritik Abdullah tidak diterima sama sekali oleh parti dan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, keputusan sama ada untuk menamatkan perkhidmatan Dr Mahathir sebagai penasihat agensi-agensi kerajaan terletak pada tangan Perdana Menteri.

Sementara itu, dilaporkan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno esok dijangka turut membincangkan kedudukan Dr Mahathir penasihat beberapa agensi dan syarikat milik kerajaan, ekoran kritikan berterusan bekas Perdana Menteri itu terhadap pentadbiran sekarang.

Dr Mahathir dan Abdullah mengadakan pertemuan empat mata dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri tetapi sejurus selepas pertemuan itu, Dr Mahathir mengadakan dua sidang akhbar mengkritik Abdullah selain mengeluarkan sepucuk surat terbuka yang mendakwa Malaysia kini menjadi sebuah negara yang penuh ketakutan.