Most Read
Most Commented
Read more like this

Sekali lagi tahun ini, malaysiakini tidak dibenarkan membuat liputan Perhimpunan Agung Umno atas alasan yang sama ia tidak mempunyai kad perakuan akhbar.

Kad perakuan akhbar dikeluar oleh Jabatan Penerangan Malaysia kepada wartawan dari organisasi media yang diiktiraf oleh kerajaan dan mempunyai permit penerbitan dan percetakan daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri(KDN).

Semua wartawan media cetak atau eletronik dan agensi berita tempatan serta asing perlu memohon kad tersebut bagi membolehkan mereka membuat liputan acara-acara rasmi.

Bagaimanapun, mengikut undang-undang, malaysiakini , sebagai media internet, tidak diwajibkan mempunyai permit penerbitan tersebut untuk beroperasi.

Tanpa permit tersebut, malaysiakini gagal memperolehi kad perakuan akhbar dari Jabatan Penerangan Malaysia atas alasan media internet tidak diiktiraf sebagai pertubuhan akhbar yang sah.

Menurut Ketua unit Perhubungan Awam dan Media Umno, Puan Hafizah Abu Bakar, kad media untuk membuat liputan penuh perhimpunan tersebut hanya diberikan kepada wartawan yang mempunyai kad perakaun akhbar berkenaan.

"Ini adalah peraturan yang ditetapkan untuk media tahun ini. Kalau anda mempunyai kad tersebut, tiada masalah untuk mendapat kad ke perhimpunan agung," jelasnya ketika dihubungi hari ini.

"Saya tak dapat bantu anda, saya hanya mengikut arahan," tambahnya.

Perhimpunan agung kali ini akan berlangsung pada 13 hingga 17 November ini di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tanpa kad media yang dikeluarkan oleh seketariat perhimpunan agung Umno itu, wartawan malaysiakini hanya boleh mengikuti dan membuat laporan dari luar Dewan Merdeka.

Pembalakan haram

Namun begitu, wartawan malaysiakini tetap membuat liputan di sekitar perhimpunan agung Umno tahun lalu walaupun tidak dibenarkan masuk ke dewan persidangannya.

Dan pada tahun ini, wartawan malaysiakini akan sekali lagi berada di PWTC untuk membuat laporan persidangan selama empat hari itu.

Ketua Pengarang malaysiakini, Steven Gan berkata, wartawan malaysiakini akan tetap berada di sana untuk membuat liputan walaupun gagal mendapatkan pas media daripada ibupejabat Umno.

"Wartawan kami dijemput membuat liputan majlis anjuran parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, termasuk MCA, Gerakan dan MIC. Jadi, tiada sebab mengapa kami tidak dibenarkan membuat liputan perhimpunan agung Umno," katanya.

Ibupejabat Umno mula mengenakan sekatan terhadap malaysiakini sejurus selepas malaysiakini mendedahkan kegiatan pembalakan haram yang membabitkan Umno Pahang di kawasan hutan di negeri itu tiga tahun yang lalu.

Kegiatan pembalakan tersebut berlaku sewaktu Setiausaha Agung Umno ketika itu, Tun Khalil Yaakob, menjadi Menteri Besar Pahang. Beliau kini merupakan Yang Dipertua Negeri Melaka.

Dipercayai Khalil telah mengeluarkan arahan menyekat wartawan malaysiakini daripada membuat liputan majlis anjuran Umno, termasuk mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan perhimpunan aguang parti itu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS