Pertengkaran meletus antara dua peguam dalam prosiding Abdul Razak Baginda di mahkamah berhubung siapa yang harus mewakili dua anggota polis yang dituduh membunuh gadis Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Pertikaman lidah berlaku antara Shaun Tan Kee Shaan dengan Zulkifli Noordin, dengan Tan hadir di mahkamah untuk menyatakan pendirian bahawa beliau adalah peguam bagi Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar.

Azilah cuba menjelaskan kepada mahkamah mengenai perkara itu tetapi ditolak oleh hakim. Pada satu ketika beliau didengar berkata "Saya tidak pernah melantik dia".

Menurut laporan Bernama, ini mendorong Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Md Zaki Md Yasin cuba meredakan keadaan dengan memberitahu Tan jangan memanjangkan perkara itu oleh kerana beliau telahpun menarik diri dari mewakili anggota polis itu.

"Saya merasa berwajib hadir hari ini untuk menjelaskan kedudukan saya. Saya adalah peguam mewakili anggota polis itu bila mereka didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November.

"Oleh kerana situasi dan perkembangan kes, kedua-dua mereka telah melantik peguam lain untuk mewakili mereka.

Tarik diri

"Disebabkan saya tidak menerima arahan dari dua yang dituduh, saya ingin menyatakan untuk rekod menarik diri dari mewakili mereka," katanya.

Mahkamah bermula dengan Timbalan Pendakwaraya Salehuddin Saidin memperkenalkan pasukan pendakwa dan pembela. Beliau memberitahu mahkamah bahawa Zulkifli dan Juanita Johari adalah peguam bagi Azilah dan Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzuan Merican dan Ahmad Zaidi Zainal bagi Sirul

Azhar.

Kemudian Tan memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya ingin melihat keadilan dalam kes ini dan tidak membantah Zulkifli mengambil alih kes itu.

Salehuddin mencelah meminta peguam-peguam berkenaan tidak memanjangkan lagi perkara itu.

Bagaimanapun, keadaan jadi tegang bila Tan menunjukkan satu kenyataan yang mendakwa ada konspirasi untuk menghalangnya dari mewakili anggota polis itu.

Salinan kenyataan yang diedarkan kepada pemberita di luar mahkamah juga mendakwa Zulkifli mengemukakan dua surat palsu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 November mendakwa bahawa Tan tidak pernah dilantik oleh anggota polis itu.

Kenyataan media

Pada satu ketika, Tan dan Zulkifli kelihatan bertegang leher, menyuruh satu sama lain duduk, menyebabkan Zulkifli bersuara "jangan jadikan mahkamah sebagai sarkis".

Zulkifli berkata kenyataan yang Tan edarkan kepada media mengandungi fakta salah.

Beliau kemudian meminta mahkamah mengeluarkan perintah menghalang media dari menyiarkan kenyataan Tan dan kenyataan itu dihapuskan dari rekod mahkamah tetapi Mohd Zaki berkata beliau tidak akan membuat sebarang keputusan sama ada kenyataan itu boleh disiarkan.

Mahkamah juga menolak permohonan Zulkifli agar membenarkan Azilah dan Sirul Azhar bercakap di mahkamah untuk menyatakan pendirian dalam perkara itu.

"Anda hendak gunakan mahkamah," ujar Mohd Zaki.

Perbalahan tamat selepas Tan meninggalkan mahkamah 15 minit kemudian sebelum ia menarik diri dari mewakili kedua-dua anggota polis itu.