MB: Lapor pada BPR jika ada bukti abang saya campurtangan
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti bahawa abangnya mencampuri urusan kerajaan negeri supaya membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti bahawa abangnya mencampuri urusan kerajaan negeri supaya membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
"Laporkan kepada BPR kalau betul abang saya ada campurtangan. Jangan conteng pada dinding, itu perbuatan orang pengecut," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dengan ketua serta pegawai jabatan kerajaan negeri dan persekutuan di Seremban.
Sabtu lalu, pihak tertentu telah menconteng dinding beberapa bangunan di sekitar Seremban, menuduh Datuk Azman Hasan, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, mengganggu urusan kerajaan negeri.
Menurut laporan Bernama, Menteri Besar menyifatkannya sebagai fitnah dan cubaan golongan tertentu memburuk-burukkan reputasinya.
Katanya, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Kamaruddin Siaraf menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan itu.
"Saya juga berharap pihak berkenaan dapat membuktikan kepada jawatankuasa itu nanti jika benar Azman ada campurtangan dalam mana-mana urusan kerajaan negeri, termasuk tuduhan mengatakan segala pemberian kontrak diputuskan oleh Azman," katanya.
Campurtangan
Ddakwaan itu, kata beliau, sebenarnya tidak berasas kerana segala pemberian kontrak kerajaan negeri ditentukan oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.
Mohamad berkata dakwaan mengenai campurtangan abangnya itu pernah ditimbulkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) semasa persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu.
Katanya, apabila diminta memberikan bukti, Adun berkenaan menjawab: "Azman pernah memarahi anggota kerajaan negeri pada satu majis makan malam perhubungan Umno Negeri Sembilan."
Beliau berkata, perkara itu tidak boleh dianggap campurtangan kerana ia adalah majlis Umno dan sebagai Setiausaha Perhubungan dan pengerusi majlis sambutan, Azman berhak menegur kakitangan yang tidak menjalankan tugas dengan betul dan memuaskan.
"Oleh itu masyarakat harus faham bahawa Azman tidak boleh dilihat sebagai abang saya tetapi perlu dilihat sebagai Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan segala surat yang beliau tulis adalah atas dasar setiausaha perhubungan dan bukan atas dasar abang saya," katanya.

