Polis T'ganu akan lancar gerakan buru perusuh 8 Sept
Polis Terengganu akan melancarkan gerakan besar-besaran selepas Jumaat ini untuk menahan mereka yang dikehendaki polis berhubung kejadian rusuhan di Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu pada 8 September lalu.
Polis Terengganu akan melancarkan gerakan besar-besaran selepas Jumaat ini untuk menahan mereka yang dikehendaki polis berhubung kejadian rusuhan di Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu pada 8 September lalu.
Polis memburu 46 lelaki yang terbabit dalam rusuhan tersebut, dengan menyiarkan gambar mereka di media massa. Polis memberi mereka tempoh sehingga sebelum Jumaat ini untuk menyerah diri.
Dua daripadanya telah menyerahkan diri Ahad lalu dan pagi ini, demikian menurut laporan Bernama.
"Jadi saya minta mereka yang dikehendaki ini menyerah diri sebelum polis mengambil tindakan," kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I Negeri Terengganu, Supt Khairi Ahrasa.
Beliau berkata mereka telah diberi masa yang mencukupi untuk menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
"Selepas Jumaat ini, polis akan menyerbu rumah mereka pada bila-bila, masa tidak kira siang atau malam, kerana kita mempunyai maklumat di mana mereka berada," kata Supt Khairi.
Dalam kejadian rusuhan tersebut, lebih 600 orang dipercayai pengikut parti pembangkang bertindak agresif dengan membaling objek termasuk besi, kayu, botol kaca dan bom molotov ke arah polis setelah diarahkan bersurai daripada menghadiri satu ceramah di di Jalan Sultan Mahmud.
Soalsiasat
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada keengganan pihak polis untuk memberi permit bagi ceramah anjuran badan pemantau pilihanraya, Bersih, iaitu gabungan badan bukan kerajaan dan parti pembangkang.
Khairi berkata, sehingga kini hanya dua individu yang tampil menyerah diri setelah gambar kesemua individu yang dikehendaki itu disiarkan di media massa.
"Seorang peniaga ayam di Pasar Payang yang berumur 50 tahun menyerah diri di IPD Kuala Terengganu pada jam 11.20 pagi tadi," katanya.
Menurutnya, peniaga dari Kedai Buluh dekat Kuala Terengganu itu akan disoal siasat berhubung penglibatannya dalam rusuhan tersebut dan akan dihadap ke mahkamah untuk mendapat perintah tahanan reman jika perlu.
Ahad lalu seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah Sekolah Menengah Agama swasta di Kampung Binjai Bongkok, Marang turut menyerah diri.
Pelajar berusia 16 tahun itu dari Kampung Tok Dir yang terletak dekat bandar Kuala Terengganu, telah dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil daripadanya.
Khairi berkata, sejak gambar individu-individu tersebut disiarkan, polis telah menerima banyak maklumat daripada orang ramai mengenai tempat tinggal serta butiran peribadi mereka yang dikehendaki itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.