Pita Lingam: PKR buat laporan kepada BPR
Muda Mohd Noor
Sep 20, 07
3:22pm
Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan siasatan teliti dan rapi terhadap rakaman video perbualan peguam kanan Datuk V K Lingam, didakwa dengan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Naib Presidennya, Sivarasa Rasiah berkata, kes tersebut perlu disiasat kerana ia dipercayai menunjukkan rasuah dalam pelantikan hakim-hakim kanan dan ada implikasi serius dalam pengendalian kes-kes mahkamah.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan mengenai rakaman video tersebut kepada Pengarah BPR Wilayah Persekutuan, Abu Zubir Mohd Hassan di ibu negara hari ini.

Hadir sama ialah Naib Ketua Angkatan Muda (AMK), Khairul Anuar Ahmad Zainudin, Ketua Wanita Zuraida Kamarudin dan Ketua Penerangan AMK Lau Tek Hai.

Zubir, bagaimanapun, menurut Sivarasa, akan menyerahkan laporan tersebut kepada Penolong Pegawai Pendakwa (DPP) untuk tindakan lanjut.

"Kita berharap BPR akan menjalankan tugas mereka (menyiasat) insiden tersebut," katanya.

Gerak jentara parti

Sivarasa yang juga seorang peguam berkata, PKR akan membawa isu tersebut kepada Majlis Raja-Raja dan akan membuat laporan polis.

Semalam beliau telah menyerahkan klip video berkenaan kepada Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan.

"Ambiga terkejut dan beliau mengatakan Majlis Peguam akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincang perkara tersebut," kata Sivarasa.

Sementara itu, Lau berkata, AMK akan menggerakkan jentera partinya bagi memberi kefahaman kepada rakyat mengenai isu kehakiman tersebut.

AMK, katanya, juga mencabar Ahmad Fairuz supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara.

"Isu ini akan dibawa kepada Parlimen, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya kerajaan tidak lagi berdiam diri," katanya.

Rakam pada 2002

Semalam Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan satu klip video yang menunjukkan Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan Ahmad Fairuz , yang dikatakan untuk menentukan pelantikan hakim-hakim kanan "yang sehaluan".

Klip video selama lapan minit itu, yang dikatakan asalnya 14 minit bila dirakamkan pada tahun 2002, didedahkan pagi semalam oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara perkara yang dibicarakan dalam perbualan telefon tersebut ialah pelantikan Ahmad Fairuz sebagai Hakim Besar Malaysia (CJM) dan mengenai pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara (CJ), yang akhirnya menjadi kenyataan pada tahun 2003.

Pada tahun 2002, Ahmad Fairuz merupakan Hakim Besar Malaya, yang menjaga semua hakim Mahkamah Tinggi di Semenanjung Malaysia, serta menjadi pemangku Presiden Mahkamah Rayuan (PCA).

Ahmad Fairuz adalah seorang daripada tiga penal hakim yang menolak rayuan Anwar terhadap tuduhan salahguna kuasa di Mahkamah Rayuan pada tahun 2000.


 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner