Siasatan mengenai kesahihan klip video perbualan telefon antara seorang peguam mengenai pelantikan hakim-hakim, akan dilakukan secara menyeluruh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan siasatan mengenai perkara yang didakwa dan tidak berhasrat untuk mengalih siasatan kepada perkara-perkara lain.

Beliau berkata, kadang-kadang orang menuduh kerajaan cuba mengalihkan siasatan apabila menjurus terhadap siapa perakam video itu tetapi ini bermaksud siasatan itu adalah secara menyeluruh, demikian menurut laporan Bernama.

"Masih ada siasatan lanjut mengenainya dan kita tidak sepatutnya membuat andaian seperti itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan fakir miskin sumbangan Umno Bahagian Kepala Batas.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini mengambil keterangan daripada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung siasatan bagi menentukan kesahihan klip video berkenaan.

Beliau adalah orang pertama yang mendedahkan klip video tersebut yang menunjukkan peguam Datuk VK Lingam berbual melalui telefon, didakwa mengatur perlantikan hakim.

Berdasar kontek perbualan tersebut, Anwar mendakwa orang yang berbual dengan Lingam adalah Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz.

Anwar dalam sidang akhbar selepas pertemuan dengan BPR berkata, beliau sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada badan tersebut.