Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Siasat, dakwa saya kes video
Diterbitkan:  May 17, 2008 8:42 PM
Dikemaskini: 3:11 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau bersedia disiasat dan didakwa di mahkamah berhubung dengan hasil siasatan suruhanjaya diraja mengenai klip video peguam kanan Datuk VK Lingam.

Pendakwaan terhadapnya di mahkamah akan memberi peluang kepadanya untuk menerangkan tentang pelbagai perkara yang dilakukan oleh hakim-hakim termasuk berkenaan usaha melobi, kata mantan perdana menteri di Johor Bahru.

"Sebaliknya jikalau didakwa di mahkamah, maka saya dapat menerangkan apa yang saya lakukan dan apa yang orang lain termasuk hakim telah lakukan di dalam perkara lobi.

"Saya hendak cerita berkenaan hakim-hakim yang melobi saya. Jikalau melobi adalah salah, maka hakim-hakim ini sepatutnya disiasat," katanya selepas menyampaikan ucap utama di forum 'Umno Pasca Pilihanraya Umum ke-12' anjuran Badan Bertindak Gabungan Ahli-Ahli Akar Umno Johor dan MykmuJohor.com.

bm version lingam tape probe the gang of six Dr Mahathir mengulas arahan kabinet semalam supaya peguam negara memulakan siasatan serta-merta terhadap enam tokoh yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja itu, yang menyiasat klip video rakaman perbualan Lingam dengan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim-hakim.

Selain Dr Mahathir dan Lingam, bekas menteri pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan, dan dua bekas ketua hakim negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin turut dinamakan.

Menurut Bernama , Dr Mahathir berkata beliau tidak menganggap kegiatan melobi itu "perkara yang salah" kerana sepanjang menjadi perdana menteri, banyak pihak yang melobinya untuk jawatan menteri, timbalan menteri dan jawatan-jawatan lain dalam kerajaan.

Bekas perdana menteri itu berkata lagi, keputusan yang dibuatnya tentang sesuatu pelantikan termasuk hakim-hakim "berdasarkan kepada penilaiannya sendiri".

"Keputusan saya adalah berdasarkan penilaian saya. Saya tidak peduli siapa lobi, siapa cerita, kalau saya putuskan orang itu patut dilantik, saya akan lantik. Jikalau tak patut dilantik, walau dicadang oleh hakim, saya tidak akan lantik.

"Saya bukan posmen. Apabila ketua hakim cadang, saya pun kata lulus dan pergi ke Yang di-Pertuan Agong dan baginda lulus.

"Kalau macam itu, lebih baik kata pelantikan ketua hakim harus diputuskan oleh ketua hakim, jadi saya tiada peranan langsung. Saya tidak mahu jadi posmen," Dr Mahathir dipetik sebagai berkata.

Menurut Bernama lagi, ditanya cadangan suruhanjaya diraja agar siasatan turut dilakukan terhadap Vincent Tan dan Tengku Adnan, Dr Mahathir berkata beliau "tidak mengetahui peranan mereka kerana mereka tidak pernah melobinya".

"Sesiapa sahaja boleh memberi pandangan tentang pelantikan sesiapa, perdana menteri atau bakal timbalan perdana menteri," katanya sambil menambah, sistem pelantikan hakim sedia ada sudah baik.

"Apa yang menjadikan sistem itu tidak berjalan dengan baik adalah manusia," katanya.

Forum itu dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang, termasuk anaknya anggota parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Dr Mahathir, bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid, bekas ketua pengarang kumpulan NSTP Datuk A Kadir Jasin dan bekas anggota parlimen Parit Sulong Datuk Ruhanie Ahmad.

ADS