Beberapa wakil rakyat DAP menolak permohonan maaf bersyarat Ketua Umno Sepang Noorazli Said (gambar judul) berhubung jenakanya membabitkan seorang paderi Katolik dan biarawati ketika Perhimpunan Agung Umno.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata permohonan maaf tidak sepatutnya dijadikan “butang reset” selepas seorang ahli politik melampaui batas.

“Pertanggungjawaban politik tidak boleh sekadar bermaksud memohon maaf selepas melampaui batas. Ia juga mesti bermaksud mempunyai pertimbangan untuk tidak melampaui batas itu sejak awal lagi,” katanya sebagai respons terhadap kenyataan Noorazli di Facebook.

Noorazli yang sebelum ini menjawab gesaan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh supaya dia memohon maaf, berkata dia tidak berniat menghina mana-mana pihak atau agama dan “bersedia memohon maaf sekiranya kenyataannya menimbulkan salah faham”.

Noorazli turut memberitahu Malaysiakini bahawa dia cuma memetik jenaka itu daripada video animasi berdurasi 55 saat di YouTube yang sudahpun “tersebar luas”.

Bagaimanapun, Syerleena berkata pembelaan itu memburukkan lagi keadaan kerana pemimpin politik sepatutnya mempunyai pertimbangan mencukupi untuk tidak mengulang semua perkara yang ditemui dalam talian di pentas awam.

Katanya, kontroversi itu mencerminkan budaya “cakap dulu, minta maaf kemudian” yang berulang dalam politik Malaysia.

“Apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Umno bukan sekadar terlepas cakap. Noorazli memilih untuk menyampaikan jenaka berbaur seksual yang membabitkan seorang paderi Katolik dan seorang biarawati,” kkatanya.

Syerleena turut mengkritik jenaka itu kerana meremehkan sentuhan tidak diingini dan gangguan seksual apabila menggambarkan tangan seorang lelaki berada lama pada paha seorang wanita.

“Tiada penganut Kristian yang perlu menjelaskan mengapa agama mereka wajar dihormati. Tiada wanita yang perlu menjelaskan mengapa sentuhan tidak diingini bukan bahan jenaka,” tambahnya.

Terdahulu, Norazli berkata dia tidak berniat menghina mana-mana agama menerusi jenakanya yang mengaitkan paderi dan biarawati Kristian.

"Kita ambil pengajaran atas cerita, bukan menghina sesiapa mahupun agama. Kalau tafsiran itu yang diguna pakai boleh menyebabkan salah faham, saya bersedia minta maaf,” katanya.

Bagaimanapun, penolong setiausaha organisasi kebangsaan DAP Lee Chin Chen berkata respons Noorazli tidak boleh dianggap ikhlas kerana ia mengalihkan beban kepada pihak yang tersinggung, bukannya mengakui kesalahan.

“‘Jika anda tersinggung, saya sedia memohon maaf’ dan ‘Apa yang saya katakan tidak wajar, dan saya memohon maaf’ ialah dua perkara yang sangat berbeza,” kata Adun Bilut itu dalam kenyataan hari ini.

“Yang pertama mengalihkan isu kepada bagaimana orang lain mentafsir atau berasa terhadap kenyataan itu.

“Yang kedua pula pengakuan terhadap kesalahan dan penerimaan tanggungjawab,” tegas Lee, yang mempersoalkan mengapa tokoh daripada agama lain perlu digunakan untuk jenaka berunsur seksual di sebuah perhimpunan politik.

Dia turut memberi amaran terhadap sikap pilih kasih, sambil bertanya sama ada penjelasan sama akan diterima jika seorang ahli politik menggunakan Islam dan tokoh agamanya dalam jenaka seperti itu.

“Jika kita menuntut agama sendiri dihormati, kita juga mesti memberikan penghormatan sama kepada agama orang lain,” katanya.

Lee turut menggesa Noorazli menarik balik kenyataannya dan memohon maaf tanpa syarat kepada masyarakat Kristian serta seluruh rakyat Malaysia.

“Permohonan maaf yang ikhlas tidak memerlukan perkataan ‘jika’,” tambahnya.

Gesa polis siasat

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa polis menyiasat sama ada kenyataan Noorazli melanggar mana-mana undang-undang atau boleh menjejaskan keharmonian antara agama.

Gesaan itu dibuat ketika Catholic Lawyers’ Society of Kuala Lumpur bersiap sedia membuat laporan polis terhadap Noorazli.

Presidennya, Kevin De Rozario berkata Noorazli secara salah mengaitkan bahagian penamat jenaka itu dengan Mazmur 129 dan memutarbelitkan kitab suci untuk jenaka lucah, sehingga menyinggung perasaan penganut Katolik dan masyarakat Kristian secara lebih luas.

Kok berkata perkara itu tidak boleh diketepikan sebagai jenaka politik apabila tokoh agama dan kitab suci dijadikan bahan jenaka seksual.

“Agama bukan bahan jenaka. Kitab suci bukan bahan untuk jenaka seksual. Paderi dan biarawati bukan watak yang boleh dipersendakan sesuka hati semata-mata untuk meraih tepukan dan ketawa,” katanya.

Dia turut menggesa Noorazli membuat permohonan maaf secara terbuka dan jelas kepada masyarakat Kristian, khususnya penganut Katolik.

Noorazli menceritakan jenaka itu ketika memuji kebijaksanaan politik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan agung parti itu.

Jenaka itu menggambarkan seorang paderi menyentuh paha seorang biarawati ketika memandu dan didakwa mengaitkan bahagian penamatnya dengan Mazmur 129.

Namun, ungkapan yang dipetik Noorazli itu sebenarnya tidak terdapat dalam kitab Bible ayat Mazmur 129 seperti yang diperkatakannya.

[Baca berita asal]