Isu ekstradisi Zakir Naik: Anwar sahkan rundingan ‘tertutup’ dengan India
Isu ekstradisi pendakwah kontroversi Zakir Naik, yang dikehendaki di negara asalnya, India, berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian, dilaporkan antara perkara yang dibincangkan dalam rundingan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan wakil negara itu.
Menurut laman berita India New Delhi Television (NDTV), Anwar mengesahkan bahawa perbincangan mengenai perkara itu diadakan secara “tertutup”, yang dipercayai berlangsung di New Delhi.
“Kami fikir perkara ini perlu dirahsiakan untuk melindungi kepentingan kedua-dua negara. Tetapi, sudah tentu, kami meletakkannya dalam senarai keutamaan bagi membina kepercayaan dan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya seperti dipetik dalam laporan bertarikh 12 Sept.
Dia berkata sebarang tindakan berhubung permintaan ekstradisi India perlu dilakukan “dengan amat berhati-hati” dengan mengambil kira prinsip kedaulatan undang-undang serta kepentingan hubungan dua hala.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/02/00d0542f7b515b24168866636e7d40db.jpg)
Pada 12 Sept lalu, Anwar turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi, di luar Sidang Kemuncak Pemimpin Brics ke-18 di New Delhi.
Pada 2019, Menteri Luar ketika itu Saifuddin Abdullah mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia menerima permintaan ekstradisi terhadap Zakir daripada India.
Bagaimanapun, Putrajaya ketika itu memutuskan untuk tidak mengekstradisi warga India berkenaan, yang memegang status penduduk tetap di Malaysia.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Zakir didakwa melakukan pengubahan wang lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) daripada “hasil kegiatan jenayah di India dan luar negara”.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/09/55d774669635b0cdc9565baad127ffe2.jpg)
Zakir sebelum ini berkata dia bersedia untuk kembali ke India dengan syarat Mahkamah Agung India memberi jaminan secara bertulis bahawa dia tidak akan ditahan dan dipenjarakan sehingga disabitkan kesalahan.
Pendakwah itu turut disiasat oleh pihak polis di Malaysia selepas kenyataannya mengenai masyarakat India dan Cina menyebabkan lebih 100 laporan polis dibuat terhadapnya.
Larangan terhadapnya daripada berucap di khalayak ramai dikenakan tidak lama kemudian. Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tahun lalu bahawa sekatan itu hanya berkuat kuasa pada 2019.
Penjelasan itu dibuat selepas Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer mempersoalkan sama ada larangan tersebut masih berkuat kuasa selepas Zakir tampil sebagai penceramah jemputan dalam satu ceramah agama di Perlis.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/09/cdb46e93d0bad38d67a09d0c0afd0546.jpg)
