Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sultan Selangor menegur amalan kerajaan negeri bawah pentadbiran Barisan Nasional kerana tidak mengamalkan perbelanjaan berhemah.

"Beta memandang serius perbelanjaan peruntukan (seorang) ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun 2008 yang habis dibelanjakan pada dua bulan pertama tahun ini," titah Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan pembukaan persidangan penggal pertama DUN Selangor hari ini.

sultan selangor sharafuddin idris shah 210508 "Kerajaan negeri telah melaksanakan budaya perbelanjaan berhemah dengan memastikan semua perbelanjaan dibuat secara lebih efisien dan berkesan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran sumber.

"Beberapa surat pekeliling telah dikeluarkan sebagai garis panduan perbelanjaan berhemah yang efektif di mana program-program jabatan dilaksanakan berdasarkan ketepatan kos,” titah baginda lagi.

Sultan Selangor dipercayai merujuk laporan seorang wakil rakyat BN yang membelanjakan RM500,000 tidak sampai 60 hari hingga Februari lalu untuk beberapa projek di kawasan DUN Kampung Tunku.

Butiran lengkap perbelanjaan itu kini beredar di internet, antaranya di blog wakil DAP Kampung Tunku, Lau Weng San .

Baginda bertitah sedemikian ketika menyentuh keperluan pengurusan kewangan yang cekap dan berkesan sebagai faktor utama bagi menjamin pendapatan maksima negeri.

“Usaha meningkatkan hasil tidak akan memberi makna sekiranya permbaziran dan perbelanjaan yang tidak berhemah sering berlaku,”

khir toyo 181207 Bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, yang kini ketua pembangkang di DUN itu, berkata beliau harus melihat data-data tersebut terlebih dahulu sebelum mengulas lanjut.

Bagaimanapun, katanya, perbelanjaan seseorang ahli DUN bergantung kepada wakil rakyat itu sendiri.

"Selagi mengikut peraturan tiada masalah," katanya kepada Malaysiakini sewaktu diminta mengulas teguran Sultan Selangor.

Menurut Dr Mohamad Khir, sebahagian besar perbelanjaan wakil rakyat dibuat pada awal tahun dan sambutan Hari Raya.

Di waktu itu, kata wakil Sungai Panjang, banyak bantuan dimohon oleh rakyat, antaranya untuk menyelesaikan masalah yuran dan lain-lain.

Beliau berkata, adalah normal perbelanjan seseorang ahli DUN lebih besar pada awal tahun.

Banyak bantuan daripada wakil rakyat disalurkan kepada sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan, tambahnya.

ADS