Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: Apa perlu mainkan isu Altantuya?
Diterbitkan:  Jul 11, 2008 4:30 PM
Dikemaskini: Jul 14, 2008 4:14 AM

Presiden PAS tidak senang isu berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dibesar-besarkan di media, dengan alasan kematian wanita Mongolia ini - yang dianggap kes berprofil tinggi - tiada bezanya dengan kehilangan nyawa orang lain.

"Kes bunuh Altantuya adakah berbeza dengan kes bunuh Pak Long, Mak Ngah, Ah Chong di kampung yang dibunuh? Sama sahaja," kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

hadi awang altantuya murder najib and anwar "Mengapa pembunuhan Altantuya ini dibesarkan, sedangkan pembunuhan di kaki lima dibiarkan? Yang penting penyiasatan yang adil kepada semua itu perlu."

Beliau menjawab soalan dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, tuduhan pembabitan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor dengan Altantuya yang dianggap "mencetuskan kecelaruan politik sekarang" dalam wawancara eksklusif dengannya yang dimuatkan di laman Harakahdaily.net hari ini.

Terbaru, Najib dan Rosmah menafikan penglibatan mereka dengan isu Altantuya seperti didakwa dalam akaun-akuan berkanun penulis blog Raja Petra Kamarudin bulan lalu dan penyiasat persendirian P Balasubramaniam awal bulan ini.

Balasubramaniam, yang menarik balik dakwaan dalam akuan awalnya 1 Julai, mendakwa mendapat maklumat dari tertuduh kes bunuh itu Abdul Razak Abdullah Baginda sewaktu bertugas dengannya dua tahun lalu.

Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, tidak menolak kemungkinan "ada kepentingan politik sama ada tuduhan membabitkan Anwar ataupun Najib."

Beliau juga menyalahkan media khususnya berbahasa Melayu yang dianggapnya sengaja membesar-besarkan isu-isu panas membabitan tokoh-tokoh politik berkenaan.

"Malangnya yang memainkan isu ini adalah media. Media Melayu pula. Melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu," tambahnya.

"Adakah mereka tidak malu mengemukakan isu-isu ini (pendedahan hal peribadi yang mengaibkan), sedangkan kita menghadapi masalah kenaikan harga minyak, masalah inflasi yang lebih penting."

Laporan polis Saiful

Mengulas lebih khusus laporan polis Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadap penasihat PKR dan kesannya kepada kerjasama dalam Pakatan Rakyat, Abdul Hadi berkata:

anwar ibrahim and saiful bukhari azlan "Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri.

"Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau mahkamah sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke mahkamah syariah.

"Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah."

Bagaimanapun beliau menambah, PAS tetap bersimpati dengan dua parti dalam gabungannya dan akan cuba mengatasinya.

"PAS simpati dengan rakan Pakatan Rakyat yang terima padah daripada fitnah ini dan kita sama-sama mengambil tanggungjawab untuk mengatasinya sebaik mungkin," katanya.

Rundingan PAS-Umno?

Beliau tidak menafikan wujudnya rundingan antara PAS dengan Umno seperti diura-urakan dengan meluas, termasuk di media, baru-baru ini.

Malah, beliau menganggap menjadi hak parti itu untuk mengadakan rundingan dengan pihak-pihak lain, termasuk Umno.

anwar ibrahim lim kit siang hadi awang "Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?" kata Abdul Hadi.

"Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka," jelasnya lagi apabila disoal sejauh mana benar dakwaan wujudnya pertemuan tersebut.

Ditanya hasil pertemuan dan rumusan PAS, Abdul Hadi berkata: "Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri."

Mengulas rundingan antara Anwar dengan ahli-ahli parlimen BN dalam usaha memujuk mereka meninggalkan parti itu, presiden PAS berkata:

"Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP - mereka ada hak buat perundingan.

"Kalau PKR sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya."

Tambahnya: "Orang lain boleh jumpa Umno, kenapa PAS tidak boleh jumpa Umno? Itu tidak faham namanya.

"Atas dasar Islam, kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang jadi ketua Pakatan Rakyat."

Peranan dan sumbangan PAS

Abdul Hadi juga menuntut peranan dan sumbangan PAS dalam pilihanraya umum lalu - yang menyaksikan kemenangan besar parti itu bersama PKR dan DAP - dihargai dengan alasan ia tercapai melalui kerja keras PAS.

"Saya lihat (tindakan engagement PAS) inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pilihanraya umum ke-12 yang telah memberi kemenangan kepada PAS.

pas posters in kota bharu 240208 "Dan orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan. PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihanraya ke-12.

"Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. Jadi, selepas mencapai kemenangan, perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihanraya," katanya lagi.

Ditanya kemungkinan PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat, beliau menambah:

"Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri. (Di peringkat kerusi) negeri, kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40.

"(Jumlah) ini perlu dilihat, bukan lihat kepada (jumlah kerusi) Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri."

ADS