Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Makan, tidur saja - itu yang akan dilakukan Dollah Salleh selepas ini. Semuanya kerana dia tidak lagi menjadi jurulatih skuad bola sepak kebangsaan.

"Dah tak ada kerja," katanya sambil ketawa apabila diserbu pemberita selepas pulang dari Abu Dhabi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL sebentar tadi.

Kepulangan skuad Harimau Malaya kali ini disambut dengan perasaan sedih bercampur berang oleh peminat negara.

Selain siri kekalahan dengan pasukan luar, kemuncak kemarahan ramai berlaku malam semalam apabila Harimau Malaya seolah-olah bertukar menjadi skuad belasahan dengan kekalahan mengaibkan 0 -10 kepada Emiriah Arab Bersatu.

Perlawanan itu juga unik kerana Dollah membuat dua pertukaran penjaga gol menggantikan Khairul Fahmi Che Mat.

Dollah memasukkan Zamir Selamat menggantikan Khairul Fahmi, tetapi masih tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan.

Zamir kemudian digantikan pula dengan Khairul Azhan Khalid.

Selepas Dollah, siapa

Sejurus ditemui media, Dollah juga menyatakan secara rasmi peletakan jawatannya - seperti yang diharapkan ramai pihak.

Namun sesetengah peminat berpendapat Dollah sebenarnya adalah mangsa keadaan dan keadaan bola sepak negara tidak akan berubah banyak dengan penggantian jurulatih semata-mata.

Selepas Dollah yang berundur secara terhormat, perhatian kini tertumpu kepada badan induk bola sepak negara, FAM.

Dollah meletakkan jawatannya kerana mengambil tanggungjawab atas kekalahan pasukan Harimau Malaya.

Katanya, keputusan itu adalah muktamad selepas mengadakan perbincangan dengan FAM.

"Keputusan ini diambil dengan hati yang terbuka dan tanpa tekanan mana-mana pihak," katanya.

Menurut Dollah, dia memang terkejut dengan prestasi hambar Harimau Malaya namun enggan menyalahkan pemain atau mana-mana pihak.

"Inilah bola sepak. Tumpuan diberikan kepada jurulatih," katanya.

Dollah berkata pemainnya mungkin baru tahu tentang peletakan jawatan itu.

Lihat Komen
ADS