Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Jerebu: KBS keluar garis panduan sempena Hari Sukan Negara
Diterbitkan:  Oct 4, 2015 10:48 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengeluarkan garis panduan dalam tempoh terdekat kepada semua penganjur acara bersempena Hari Sukan Negara pada 10 Okt ini, berikutan keadaan jerebu yang melanda negara pada masa ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata keseluruhan acara sempena Hari Sukan Negara tidak boleh dibatalkan jika keadaan jerebu bertambah teruk pada minggu depan kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) adalah berbeza di sesuatu tempat.

"...oleh kerana pelbagai acara akan berlangsung pada hari itu (Hari Sukan Negara) di seluruh negara, kita tidak boleh mengambil keputusan untuk batalkan semua program kerana keadaan jerebu berbeza dari satu kawasan dengan kawasan lain.

"Kita akan keluarkan panduan apa peraturannya jika IPU mencecah 150 atau apabila bacaan berada antara 100 dan 150," katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir kejohanan ragbi Piala Agong di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya, semalam.

Khairy berharap semua penganjur program sempena Hari Sukan Negara itu mematuhi garis panduan itu, kelak.

"Kita serahkan keputusan kepada penganjur yang berada di lapangan untuk membuat keputusan," katanya.

Hari Sukan Negara merupakan program dipersetujui Kabinet untuk diadakan pada setiap Sabtu minggu kedua bulan Oktober di seluruh negara, bagi meningkatkan kesedaran rakyat agar mengamalkan gaya hidup sihat dan kekal cergas.

Selain itu, penganjuran acara pada Hari Sukan Negara adalah bagi menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan.

Dalam pada itu, Khairy memuji tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menunda empat perlawanan Piala Malaysia yang dijadual berlangsung malam tadi, berikutan bacaan IPU berada pada paras tidak sihat.

-Bernama

Lihat Komen
ADS