Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Azizulhasni nak bersemuka dengan MB Terengganu
Diterbitkan:  Aug 19, 2016 7:11 PM
Dikemaskini: 11:25 AM

Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio, Azizulhasni Awang menjelaskan beliau akan bertemu dengan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai susulan isu dibangkitkannya sebelum ini.

Enggan mengulas lanjut perkara itu, atlet berbasikal kebangaan negara tersebut berharap orang ramai lebih memberi fokus kepada kejayaannya, bukan isu tersebut.

"Buat masa sekarang saya tak nak komen lebih pasal MB (menteri besar), saya percaya beliau seorang yang prihatin terhadap rakyatnya, mungkin ada salah faham atau terlepas pandang.

"Bagi masa untuk saya dan beliau bersemuka. Insya-Allah selepas saya jumpa anak dan keluarga dan balik ke Terengganu saya akan bertemu beliau," katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang hari ini.

Selepas meraih pingat gangsa acara keirin di Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Rabu lalu, Azizulhasni menjadi tumpuan ramai selepas membuat kenyataan terbuka menyindir Ahmad Razif di Facebook.

Dalam kenyataan itu beliau mendakwa Ahmad Razif tidak pernah membantunya termasuk permintaan membeli basikal Roadbike.

Ahmad Razif kemudian berkata beliau tidak tahu menahu sebarang permintaan untuk mendapatkan bantuan kerajaan negeri daripada Azizulhasni.

"Saya ingin menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh Azizulhasni, yang sedang tersebar di media sosial, tidak dibawa ke perhatian saya," katanya dalam kenyataan dibuat pada Rabu.

Harap sukan berbasikal berkembang

Sementara itu Azizulhasni berkata dia tergamam apabila tiba di KLIA kira-kira jam 3 petang tadi kerana diberi sambutan bermakna, termasuk pancutan air - dari dua jentera bomba - ke atas pesawat udara yang dinaikinya.

Olympics bronze medallist Azizulhasni Awang returns home

Menurut atlet kelahiran Dungun itu, dia juga berharap kisahnya akan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Saya harap ini akan jadi inspirasi buat rakyat Malaysia, walaupun kita datang dari negara yang kecil, walaupun saiz badan kita kecil, kita bukan saja dapat bersaing tapi setanding, malah lebih bagus daripada mereka (atlet lain).

"Saya harap kisah ini jadi inspirasi kepada rakyat Malaysia tak kira apa jua pekerjaan, kita rakyat malaysia boleh lakukan semua benda," katanya yang disambut kira-kira 100 peminat termasuk ahli keluarga.

Sementara itu, Azizul yang dikenali dengan gelaran 'Rocket Pocket Man' berkata, dengan kejayaannya di Rio de Janeiro mudah-mudahan akan mewujudkan perkembangan bermakna dalam arena sukan khususnya acara berbasikal.

"Menjelang Olimpik 2020, dengan kemenangan ini (diharap) akan ada perkembangan besar dalam arena sukan berbasikal dan sukan (lain) di Malaysia.

"Saya harap valedrom kita akan siap secepat mungkin dan saya harap kita boleh membina valedrom di setiap negeri," ujarnya.

Lihat Komen
ADS