Plot cerita dalam teater Hikayat Rawana yang dipentaskan malam kelmarin di Akademi Seni dan Warisan (ASWARA) di ibu negara ini tidak begitu kompleks.
Begini ceritanya, seorang raja di negeri Kuala Dua Susia Medararipura, Seri Rama telah memperisteri Siti Dewi selepas memenangi peraduan memanah 40 pohon pokok dengan sebilah anak panah.
Maharisi Mata Api - ayahanda kepada Siti Dewi (lakonan Nur Azreen Nizar) - ingin mencari bakal suami yang gagah dan banyak kesaktian untuk anak perempuannya. Maka Seri Rama (Shafiq Aminuddin) dan Rawana (Nurul Azmie Zainal Abeden) beradu tenaga.
Bagaimanapun, kejayaan Seri Rama itu dicemburui Rawana - antagonis - lalu bertindak melancarkan beberapa muslihat termasuk menyamar menjadi orang tua untuk 'memikat' Seri Rama.
Rawana akhirnya berjaya 'memiliki' Siti Dewi lalu membawanya ke Pulau Langkapuri, selepas suaminya keluar berburu kijang emas di hutan belantara permintaan isteri tercintanya.
Sepeninggalan Seri Rama, Rawana berjaya 'menculik' Siti Dewi walaupun cuba dihalang oleh burung jentayu. Lalu baginda Seri Dewa bertekad mahu menyelamatkan isterinya dari cengkaman Rawana - sepantas kilat melancarkan serangan kepada Rawana.
Maka berlakulah pergelutan sehingga Rawana dibunuh dengan satu panahan. Baginda membawa isterinya pulang ke istana. Kemudiannya pula, muncul pula jembalang Rawana - Inang Bongsu (Nadira Ibrahim) - datang meminta tuan puteri melukiskan wajah Rawana dengan tujuan untuk mengenalinya, walaupun pada peringkat awal, Siti Dewi menolaknya.
Cemburu membuta tuli
Lukisan itu, menyebabkan Seri Rama jatuh sakit - di kepala dan perut - yang tidak terperi sewaktu bersiram di kolam. Lantaran pada babak inilah berlakunya pergaduhan suami isteri akibat cemburu suami membuta tuli tanpa usul periksa.
Ia berlaku setelah Seri Rama menyedari kertas lukisan wajah Rawana terletak di bawah bantal yang ditidurinya.
"Sia-sia sahaja kanda dapatkan adinda daripada tangan Rawana. Adinda masih ada hati lagi dengan Rawana," kata Seri Rama.
Namun Siti Dewi menafikan dakwaan suaminya itu, tetapi baginda enggan mempercayainya, lalu mengarahkan adindanya - Laksamana (Mohd Fared Ramli) - membawa dan menghukum bunuh kakak iparnya di Luas Saujana Padang.
Akhirnya, akibat kerinduan membuak-buak di hati Seri Rama, maka Laksamana berterus terang bahawa kakak iparnya tidak dibunuh sebaliknya bermukim di rumah bapanya, Maharisi Mata Api. Happy Ending!
Dua perkara yang menarik perhatian saya ialah babak lakon dimulakan dengan tiupan serunai dan paluan gendang. Kemudiannya diikuti dengan kehadiran tok dalang di belakang layar putih - sebagai pencerita - membaca awalan pengkisahan Hikayat Rawana dilihat memperkuat tradisi irama tradisional Melayu.
Kedua, dalam teater arahan Kamarul Baisah Hussin ini, set dan prop yang digunakan cukup ringkas. Empat tabir putih dan empat pentas kecil. Cahaya lampu spotlight yang dipancarkan dari belakang tabir bagi mewujudkan bayang dan gerak pelakon, membuatkan mata saya terpana, kagum.
Teknologi moden tidak membawa erti
Dari situ teringat saya kepada sebuah filem dokumentari - Fados - yang diarahkan oleh pengarah filem prolifik Sepanyol Carlos Saura. Teknik yang sama juga digunakan dalam filem itu terdapat dalam persembahan teater itu. Filem tersebut yang menceritakan tentang himpunan musik dan tarian tradisional Portugis. Bagi pereka seni tari dan pereka set pentas, wajib menghadam semua karya Carlos Saura.
Tabir putih itu menjadi medium sebagai layar setelah projektor memaparkan panahan Seri Rama yang mengenai 40 pohon pokok dan menyiarkan lakaran wajah Rawana sewaktu Siti Dewi melakarkannya.
Bagaimanapun, pada pandangan saya, barangkali pengarah mahu dilihat moden dengan teknologi terkini, tetapi paparan itu sebenarnya tidak perlu. Ini kerana tanpanya, penonton sudah dapat mengagak jalan ceritanya. Lagipun, perkara tersebut boleh dibuat melalui latar wayang kulit yang disediakan mengikut kreativiti tok dalang.
Jadi penggunaan teknologi moden dalam cerita hikayat ini tidak memberi erti apa-apa, walaupun hampir menarik perhatian penonton.
Oleh itu, pengarah perlu lebih sensitif dengan persembahan ketika di atas pentas.
Dari segi lakonan, saya hanya tertarik dengan lakonan, gerak dan dialog yang diucap oleh Hanuman Kera Putih (Mohd Hazlami Harun). Hanuman 'membunuh' lakonan pelakon lain malam kelmarin.
Gerak yang tajam, lontar dialog yang kuat dan lakonan yang menghidupkan suasana walaupun penampilannya hanya beberapa kali sepanjang sejam, tetapi bermakna dalam pementasan itu.
Mana Rawana
?Saya sedih apabila lontaran dialog yang bercampur baur antara loghat baku dengan dialek Kelantan (pengarah sepatutnya memilih dari awal bahasa baku atau dialek Kelantan) oleh Siti Dewi (Nur Azreen Nizar), walaupun lakonannya juga ada menariknya.
Manakala lakonan pelakon lain - Seri Rama, Laksamana, Rawana dan pelakon pembantu yang lain - saya lihat hanya lakonan biasa sahaja yang boleh digilapkan lagi.
Lakonan sepasang kera cukup menghiburkan sehingga budak kecil di belakang saya ketawa terbahak-bahak. Tetapi barangkali ekoran kerana itu, Mak Kera (Nadira Ibrahim) hampir hilang tumpuan dan tersasul sewaktu melontarkan dialog. Saya kecewa.
Para pelakon perlu serius dan memberi tumpuan terhadap lakonan dan dialog yang dilontar walaupun sewaktu melakonkan babak lucu. Jangan mudah terprovokasi dengan ketawa penonton. Tak semestinya gelak tawa penonton, menunjukkan lakonan lucu anda berjaya!.
Namun begitu, mesej kemanusiaan yang hendak disampaikan sewaktu mereka membandingkan mereka dengan manusia (masa kini) yang membuang anak dalam tong sampah atau longkang, adalah satu perkara yang harus dipuji.
Ini mengingatkan saya kepada sepotong ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah yang menyatakan manusia lebih sesat daripada bintang jika tidak menggunakan fikiran dan mengikut hawa nafsu.
Akhir sekali, saya tertanya-tanya, teater ini bertajuk Hikayat Rawana , tetapi kenapa babaknya hanya beberapa kali sahaja beliau muncul dan selebihnya babak yang pelakon lain. Itu sahaja.
Dari lima bintang, saya beri dua. Masih ada masa untuk diperbaiki.
