Memurnikan makna, kesedaran berpolitik
Tidak semua kita perasan kerajaan berusaha sedaya upaya, demi mengekalkan keselesaannya menguasai pemikiran rakyat, menyahpolitikkan (depoliticisation) isu-isu semasa dan menyahpekakan (desensitisation) politik. Politik biar ditangani oleh kerajaan sahaja mengikut selera mereka.
Kadang-kadang pembangkang juga diingatkan agar tidak cuba "mempolitikkan" sesuatu isu atau peristiwa. Pembangkang juga turut bermain dalam kandang yang sama apabila ada waktu-waktunya terpaksa menyebut "kami bukan bertujuan mempolitikkan" itu atau ini.
Tidak semua kita perasan kerajaan berusaha sedaya upaya, demi mengekalkan keselesaannya menguasai pemikiran rakyat, menyahpolitikkan (depoliticisation) isu-isu semasa dan menyahpekakan (desensitisation) politik. Politik biar ditangani oleh kerajaan sahaja mengikut selera mereka.
Kadang-kadang pembangkang juga diingatkan agar tidak cuba "mempolitikkan" sesuatu isu atau peristiwa. Pembangkang juga turut bermain dalam kandang yang sama apabila ada waktu-waktunya terpaksa menyebut "kami bukan bertujuan mempolitikkan" itu atau ini.
Apatah lagi kumpulan-kumpulan lain dalam masyarakat, kita semua "tidak layak" berbicara atau mengambil pandangan-tindakan politik. Ahli sukan, pelukis, penjaja kaki lima, pelakon-penyanyi, seniman-sasterawan jangan cuba berjinak-jinak dengan politik (kecuali sebagai mewakili kerajaan sampai timbul tanggapan kita "wajib" menyokong kerajaan yang sedia ada).
Kakitangan kerajaan, termasuk siswa, diingatkan tindakan "berpolitik", walau hanya dengan mengeluarkan pandangan yang tidak selari dengan kerajaan, bertentangan dengan peraturan atau undang-undang.
Kita sering diingatkan dan sengaja diwujudkan tanggapan bahawa politik itu hak serta milik orang politik sahaja, khususnya kerajaan. Ia seolah-olah sejenis bidang pengkhususan, seakan-akan kerjaya profesional -- akauntan, peguam, doktor atau arkitek.
Orang muda percaya politik ini tidak harus dicampuri, malah lebih jauh disebut "politik itu kotor". Setidak-tidaknya melalui kawalan undang-undang dan tindakan keras (misalnya kurungan ISA atau memecat siswa) kita diingatkan politik itu penuh risiko dan tidak berbaloi untuk disertai.
Kebebasan berpolitik
Kita sudah lupa bahawa sentiasa ada hubungan erat antara rakyat dengan pemerintah. Akan sentiasa perlu kita berurusan dengan bahagian-bahagian politik.
Kad pengenalan, nombor rumah (alamat) dan lesen memandu itu sendiri sejenis kawalan awal, dan juga hubungan asas, rakyat dengan kerajaan. Sekolah dan buku teks itu juga sejenis politik. Malangnya kita tidak diberikan hak-hak menyertai proses politik dengan bebas.
Kita tidak diajar berpolitik, malah sebenarnya tidak kenal politik, kecuali model riuh-rendah antara kerajaan dengan pembangkang. Kita tidak pernah diberikan gambaran besar, jujur dan bermakna tentang politik. Politik sering dikaitkan dengan parti politik, orang politik dan sikap berpihak, termasuk membuta-tuli.
Erti politik sengaja disempitkan menjadi bidang eksklusif agar rakyat terbanyak gagal memahami dan menyertainya mengikut keperluan serta kepentingan mereka sendiri. Rakyat hanya pemerhati yang bingung; malah jika tidak menjadi pemerhati, lagi baik -- itu cita-cita kerajaan.
Hal-hal berhubung urusan kerajaan-rakyat dibuang unsur politik (depoliticisation) dan hal-hal politik dijinakkan (desensitisation). Biarlah ada krisis besar dalam negara tetapi sengaja dinampakkan semuanya "baik", "OK" atau terkawal; percayalah kerajaan akan menanganinya!
Kerajaan memang tidak suka kita berpolitik kecuali menurut acuannya. Jika manfaat politik boleh diraih daripada siswa atau kakitangan kerajaan, parti serta pemimpin kerajaan akan bersama mereka. politik siswa disekat.
Tetapi jika siswa atau kakitangan kerajaan bergerak sendiri, mempunyai sikap politik tersendiri khususnya yang bertentangan dengan kerajaan (walau bukan dengan niat "menentang"), jenis politik seperti ini mesti dihalang. Malah, golongan ini ditakut-takutkan dengan pelbagai tindakan disiplin yang menyusahkan kehidupan.
Jika muncul mereka yang berani daripada kelompok siswa atau guru, mereka ini haruslah dibendung dan dicerca melalui media massa -- agar tidak berjaya mempengaruhi teman-teman mereka, agar pengaruh mereka tidak membesar. Mereka, apabila mempertikai kebijakan saranan serta dasar kerajaan, akan dituduh bersekongkol atau alat pembangkang, malah "agen asing".
Usaha memburuk-burukkan perbezaan pandangan dalam masyarakat akhirnya merebak daripada kerajaan kepada pembangkang. Pembangkang sendiri, atau aktivis badan bukan kerajaan (NGO), tidak senang percambahan sudut pandang yang berbeza.
Di kalangan pembangkang, usaha ini disebut "memecahkan kesatuan" penentang kerajaan atau "memberi peluru kepada musuh". Kekuatan cuba dikaitkan dengan kesepakatan dalam semua perkara.
Perbezaan pandangan, khususnya secara terbuka, dilihat boleh berbahaya kepada kesatuan. Tafsiran ini hakikatnya inti utama semangat collectivism yang merosakkan, yang selama ini dijadikan alat oleh kerajaan untuk menidakkan, atau meminggirkan, suara pembangkang, pengkritik kerajaan dan orang ramai.
Kebijakan politik
Sebab itu, pada hemat saya, budaya politik kerajaan sudah merebak, menyerap masuk ke dalam budaya pembangkang dan NGO. Mereka memakai nilai yang asalnya untuk "membunuh" mereka sendiri.
Seolah-olah pembangkang dan NGO manusia suci yang tidak boleh ditegur, kebijakan politiknya sentiasa kudus, ideanya sejenis wahyu dari langit, peribadinya mulia dan kerajinannya bergiat serta keberaniannya menghalalkan ketakwajaran berbeza pandangan di depan umum.
Oleh itu, kita semakin hari semakin sukar menemui kupasan bernas tentang semua pencatur-pencatur masyarakat -- ahli politik, aktivis NGO, penulis serta media dan pengawal institusinya.
Kupasannya ada tetapi sebelah pihak, bukan gambaran besar yang membuka mata umum kenyataan sebenar kehidupan sehari-hari di negara kita.
Banyak perkara disembunyikan atau tersembunyi. Ada media serta tulisan tetapi tidak ada peningkatan kebijaksanaan. Tradisi persuratan menjadi kaku akibat kematian wacana jujur, berlandaskan ilmu dan pemikiran mendalam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.