Malaysia untuk semua (Bhgn 1)
Malaysia untuk semua bererti negara yang aman sentosa dan memberikan perlindungan secara adil serta saksama kepada setiap rakyat, walaupun mereka berasal daripada kaum, kelas, gender, kepercayaan dan kawasan yang berlainan.
Kekayaan serta kekuasaan negara tidak dibolot oleh hanya satu golongan, besar atau kecil, dan digunakan untuk kepentingan serta keuntungan mereka dan golongan yang rapat dengan mereka saj. Akibatnya, timbul keadaan dan/atau anggapan mereka sengaja mengenepikan atau menafikan hak serta kebajikan bagi golongan yang lain.
Apabila rakyat bersatu padu dan menganggap diri mereka sebagai sebahagian daripada sebuah negara dan satu bangsa yang sama, lebih mudah bagi mereka merasakan negara itu adalah untuk (atau milik) mereka semua.
Malaysia untuk semua bererti negara yang aman sentosa dan memberikan perlindungan secara adil serta saksama kepada setiap rakyat, walaupun mereka berasal daripada kaum, kelas, gender, kepercayaan dan kawasan yang berlainan.
Kekayaan serta kekuasaan negara tidak dibolot oleh hanya satu golongan, besar atau kecil, dan digunakan untuk kepentingan serta keuntungan mereka dan golongan yang rapat dengan mereka saj. Akibatnya, timbul keadaan dan/atau anggapan mereka sengaja mengenepikan atau menafikan hak serta kebajikan bagi golongan yang lain.
Apabila rakyat bersatu padu dan menganggap diri mereka sebagai sebahagian daripada sebuah negara dan satu bangsa yang sama, lebih mudah bagi mereka merasakan negara itu adalah untuk (atau milik) mereka semua.
Akan tetapi, sekiranya rakyat berpecah-belah dan mempunyai hak, peluang serta kedudukan yang berbeza dan dibezakan, mungkin ada yang merasa negara bangsa itu bukan atau tidak sepenuhnya untuk mereka, sebab tidak memberi secukup faedah kepada mereka.
Perpaduan negara-bangsa
Salah satu tugas dan cabaran besar rakyat dan pemerintah Malaysia kini ialah untuk membentuk satu negara-bangsa yang sejati, di mana, jikalau mungkin, semua atau sekurang-kurangnya majoriti warga negara merasa sebahagian daripadanya.
Sebenarnya, pembentukan sebuah negara-bangsa sejati adalah melalui proses evolusi yang mengambil masa. Ia tidak boleh dirancang mengikut jadual dalam sesuatu jangka waktu tertentu.
Sebuah negara-bangsa Malaysia yang bersatu-padu masih belum wujud sekarang.
Dengan pelbagai dasar pemerintah yang memecahbelah dan bukan menyatukan rakyat, cita-cita membentuk Bangsa Malaysia itu bukan menjadi wawasan, tetapi impian palsu semata. Ada banyak faktor yang merupakan asas penting bagi menentu dan memantapkan kewujudan sesebuah negara-bangsa.
Antaranya ialah: (a) wilayah kediaman penduduk, (b) kegiatan ekonomi, (c) sistem politik, dan (d) perasaan psikologi kekitaan yang sama. Faktor-faktor ini terdapat dan beroperasi dalam negeri ini untuk menarik kawasan, individu dan golongan ke dalam satu unit atau entiti yang menuju kepada harmoni dan perpaduan.
Akan tetapi, dalam keadaan tertentu, faktor-faktor yang sama juga boleh membawa kepada ketegangan, konflik, perpecahan dan akhirnya menggagalkan cita-cita mewujudkan negara-bangsa bersatu-padu.
Sempadan yang ditetapkan dari atas dengan cara arbitrari, mula-mula oleh kuasa penjajah dan kemudian oleh pemerintah sendiri, memberikan identiti kepada wilayah yang dikenali sebagai Malaysia (dulu Malaya).
Tetapi identiti ini tidak "homegeneous" (sama jenis), bahkan "heterogeneous" (pelbagai jenis), kerana dalam wilayah ini penduduknya berbeza besar dari segi kaum, budaya, agama, bahasa, kedudukan ekonomi dan taraf sosial.
Perbezaan ini boleh menimbulkan suatu harmoni kepelbagaian yang indah, tetapi pada masa yang sama, ia boleh dan sudah juga mengakibatkan persaingan, bahkan pertentangan, yang menyulitkan proses perpaduan.
Mendapat perlindungan
Kegiatan ekonomi sekarang ini tidak melibatkan hanya kelompok kecil setempat yang berasingan. Bahkan perkembangan pertanian/perladangan, pembikinan/perindustrian, perniagaan/perdagangan, dan perusahaan/pekerjaan sudah meluas sehingga menimbulkan dan mengukuhkan jaringan perhubungan yang melibatkan seluruh negara dan boleh membantu pembentukan negara-bangsa.
Dalam kegiatan ekonomi yang bertambah besar dan luas ini, mungkin timbul pula masalah persaingan, penindasan dan perbezaan kedudukan kemajuan ekonomi. Apabila masalah yang timbul ini menjelma dalam bentuk yang berasaskan kaum, ia boleh menambah sulitkan lagi usaha membentuk perpaduan.
Sistem politik dan pentadbiran yang sudah muncul merupakan "payung" yang memberi perlindungan bagi seluruh masyarakat dan kawasan dalam negara. Akan tetapi, dalam sistem persekutuan yang ada, mungkin juga pada waktu yang sama satu-satu masyarakat merasakan mereka mendapat perlindungan di bawah kuasa politik negeri yang tertentu (seperti Kelantan dan Terengganu).
Apabila kuasa politik dan pentadbiran dianggap sebagai didominasi oleh satu kaum dan dilihat sebagai digunakan, terutamanya untuk kepentingan atau keuntungan anggota kaum itu, maka boleh timbul "alienation" (pengasingan), bahkan ancaman pertentangan dari masyarakat yang merasakan didominasi. Sekali lagi, soal perpaduan menjadi bertambah sulit.
Perbezaan dari segi kaum, budaya, agama dan bahasa mengasingkan anggota masyarakat. Persaingan serta pertentangan dalam bidang ekonomi dan politik boleh mengurangkan lagi perasasaan psikologi kekitaan di kalangan rakyat.
Rasa terpinggir
Dibanding dengan faktor kegiatan ekonomi dan sistem politik, faktor psikologi kekitaan ini nampaknya di tahap kurang sekali berperanan untuk menarik rakyat ke arah perpaduan yang sejati.
Kita mudah boleh memahami sekiranya perasaan kekitaan tidak begitu kuat di kalangan golongan tua yang kurang berinteraksi antara kaum. Akan tetapi, yang menakjubkan ialah di kalangan golongan muda pun, yang berpeluang saling berinteraksi melalui sistem pendidikan sama, perasaan psikologi kekitaan ini kelihatan tambah berkurangan.
Perasaan psikologi kekitaan di kalangan rakyat sepatutnya boleh dikuatkan lagi oleh faktor kegiatan ekonomi dan sistem politik yang bertambah meluas dan melibatkan lebih ramai warga negara.
Akan tetapi ini nampaknya tidak berlaku. Sebabnya ada kaitan sekarang ini dengan situasi hubungan antara kaum dan antara golongan, yang pada lahirnya kelihatan meningkat baik, akan tetapi pada hakikatnya menurun, walaupun tidaklah boleh dikata bertambah buruk sangat.
Keadaan perpaduan yang masih belum mantap, menjejaskan perasaan psikologi kekitaan di kalangan rakyat. Bahkan ada kecenderungan di kalangan sesetengah rakyat yang merasakan bahawa mereka tidak sepenuhnya merupakan sebahagian daripada masyarakat negara ini.
Akibatnya, mereka cuba mengasingkan diri. Hal ini terjelma dari beberapa peristiwa seperti orang bukan Melayu, terutama sekali orang Tionghua, keberatan menyertai pasukan keselamatan ataupun golongan peniaga tidak mahu mengibarkan bendera semasa hari Merdeka.
Semangat patriotik
Selain itu, sehingga ini memang sudah ada pengasingan dari segi pendidikan, dengan masyarakat Tionghua terutama sekali mendirikan sekolah mereka sendiri, demi mempertahankan pendidikan bahasa ibunda, dan lebih tiga suku penuntut Tionghua pergi ke sekolah-sekolah tersebut dan tidak mengikuti sekolah kebangsaan.
Bahkan ada juga unsur pengasingan dalam bidang perubatan, dengan penubuhan hospital Tionghua, Oleh kerana pengasingan semua ini, masyarakat Tionghua sering dituduh sebagai tidak patriotik. Ini menamahkan lagi rasa pengasingan mereka.
Sebenarnya, bukan di kalangan orang bukan Melayu saja, bahkan di kalangan orang Melayu sendiri pun ada kecenderungan pengasingan ini. Memang benar bahawa perkhidmatan dalam pasukan polis atau tentera masih mempunyai tarikan bagi orang Melayu.
Tetapi, seperti di kalangan orang Tionghua, terdapat ramai juga dari pelbagai lapisan orang Melayu yang enggan menyambut Merdeka dengan mengibarkan bendera.
Bahkan dari segi pendidikan pun, sudah lama wujud sekolah pondok dan selepas itu sekolah agama rakyat (SAR), yang menjadi tumpuan kepada murid Melayu yang tidak mahu memasuki sistem pendidikan kebangsaan, tetapi nisbah mereka tidaklah sebesar dari kalangan orang Tionghua. Dari zaman penjajah lagi sudah ada sekolah rakyat berbentuk "pondok".
Punca perasaan terpinggir
Sikap dan tindakan pengasingan seperti ini melemahkan lagi perasaan psikologi kekitaan, yang seterusnya mempunyai akibat terhadap perpaduan negara-bangsa. Terdapat pelbagai jenis faktor yang menyebabkan ini, yang boleh kita bicarakan di bawah tajuk: (a) politik, (b) ekonomi, dan (c) sosial.
(i). Politik
Dari segi politik, ada dua perkara penting, iaitu: (i) politik perkauman dan (ii) pemusatan kuasa politik. Seperti yang disentuh di atas, kuasa penjajahan telah menjalankan dasar menggalakkan kemasukan imigran dari negeri China, India, Indonesia dan lain-lain ke negeri ini, yang akhirnya membentuk masyarakat pelbagai kaum.
Penjajah telah menggalakkan majoriti orang Melayu terus melanjutkan aktiviti pertanian, majoriti India dalam bidang perladangan dan majoriti Tionghua dalam bidang perniagaan. Pembahagian kerja ini memperkukuhkan lagi perbezaan budaya, agama dan bahasa di kalangan pelbagai kaum. Penjajah mengamalkan dasar politik pecah dan perintah.
Selepas Umno-Barisan Nasional (dulu Perikatan) mengambil tampuk pemerintahan, pembahagian kerja ini berterusan. Di samping itu, timbul juga pekerjaan lain dalam pentadbiran, pengurusan, profesional, perdagangan dan perindustrian.
Terdapat juga pembahagian kerja mengikut kaum dalam bidang-bidang baru ini. Pemisahan kaum dari segi budaya dan ekonomi ditambah pula dengan jenis pemisahan baru yang berbentuk politik, atas asas bumiputera dan bukan bumiputera.
Parti-parti politik juga, sama ada di pihak pemerintah atau pembangkang, kebanyakannya juga dibentuk berasaskan pemisahan kaum, masing-masing terdiri daripada satu kaum saja dan memperjuangkan kepentingan kaum sendiri.
Parti pemerintah Umno-BN mudah saja meneruskan dasar pemerintahan pecah dan perintah. Ada anggapan di kalangan bukan bumiputera bahawa kuasa politik digenggam oleh bumiputera; dan ada pula anggapan di kalangan bumiputera bahawa kuasa ekonomi dibolot oleh bukan Bumiputera, khususnya Tionghua.
Kedua-dua anggapan ini salah. Yang berkuasa dari segi politik dan ekonomi adalah sekelompok kecil di atas saja, terdiri daripada pelbagai kaum yang bekerjasama rapat antara satu sama lain. (bersambung)
Hak istimeva disalahgunakan (Bhgn 2)
Dr Syed Husin Ali adalah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat. Ini adalah bahagian pertama ucapan beliau di majlis konvensyen Barisan Alternatif (BA) di Kuala Lumpur Ahad lalu.

