Hak istimewa disalahgunakan (Bhgn 2)
Politik negara pula masih banyak dikuasai dari luar oleh kuasa-kuasa besar, dan ekonomi negara pula sebahagian besarnya masih dikuasai oleh modal asing, berbentuk penjajah lama atau baru. Sebenarnya majoriti rakyat tidak menguasai politik mahupun ekonomi.
Semakin lama Umno-BN memerintah, semakin kuat genggaman kuasa oleh sebilangan kecil dalam pimpinan pakatan itu; dan sekarang ini, ia lebih menjurus kepada monopoli kuasa di tangan seorang pucuk pimpinan saja.
Segala undang-undang yang mereka laksanakan (seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi), tindakan politik yang mereka ambil (seperti mengharamkan rapat umum, memperalatkan media, mengubah sempadan kawasan pilihanraya), penguasaan alat serta institusi negara (seperti polis, mahkamah, Suruhanjaya Pilihanraya), semuanya bertujuan memastikan golongan berkuasa ini terus berkuasa.
Politik negara pula masih banyak dikuasai dari luar oleh kuasa-kuasa besar, dan ekonomi negara pula sebahagian besarnya masih dikuasai oleh modal asing, berbentuk penjajah lama atau baru. Sebenarnya majoriti rakyat tidak menguasai politik mahupun ekonomi.
Semakin lama Umno-BN memerintah, semakin kuat genggaman kuasa oleh sebilangan kecil dalam pimpinan pakatan itu; dan sekarang ini, ia lebih menjurus kepada monopoli kuasa di tangan seorang pucuk pimpinan saja.
Segala undang-undang yang mereka laksanakan (seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi), tindakan politik yang mereka ambil (seperti mengharamkan rapat umum, memperalatkan media, mengubah sempadan kawasan pilihanraya), penguasaan alat serta institusi negara (seperti polis, mahkamah, Suruhanjaya Pilihanraya), semuanya bertujuan memastikan golongan berkuasa ini terus berkuasa.
Individu, golongan, parti bahkan kaum yang dianggap tidak menyokong mereka, diketepikan dan dinafikan hak, walaupun yang paling asasi.
(ii) Ekonomi
Dari segi ekonomi pula, yang paling penting ialah (i) pemusatan kekayaan dan (ii) kedudukan istimewa orang Melayu. Berikutan Peristiwa 13 Mei 1969, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan. Dasar ini mempunyai dua matlamat besar, iaitu menyusun semula masyarakat dan menghapuskan kemiskinan.
Terbukti bahawa lebih diutamakan ialah penyusunan semula, yang dilaksanakan dengan memberi galakan dan bantuan untuk meningkatkan penyertaan serta penguasaan orang Melayu dalam bidang perniagaan dan perindustrian.
Sehubungan ini, melalui peruntukan kedudukan istimewa orang Melayu, pemimpin parti Umno yang rapat dengan pimpinan dan juga keluarga akrab mereka, diberi peluang seluas-luasnya dalam kedua-dua bidang ini.
Kroni politik
Tidak dinafikan lebih ramai juga bumiputera yang mendapat kontrak serta lesen dan masuk universiti serta menerima biasiswa, tetapi keadaan persekitaran dan pendidikan di kampung masih uzur.
Selepas tahun 1980, dengan naiknya perdana menteri baru, penumpuan berpindah dari pembangunan desa kepada pembangunan projek mega, terutama di bandar. Wang rakyat, terutama dari Perbendaharaan, Khazanah, Petronas dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), digunakan untuk mengongkosi banyak projek mega yang tidak ekonomik.
Projek mega membuka peluang kontrak yang besar kepada syarikat dan tokoh korporat yang rapat dengan kepimpinan politik yang berkuasa. Apabila sesetengah syarikat dan tokoh korporat ini menghadapi nazak akibat krisis kewangan melanda negara mulai pertengahan 1997, wang rakyat dari sumber yang sama digunakan untuk menyelamatkan mereka.
Satu anggaran yang telah dibuat menunjukkan Petronas sepatutnya mempunyai modal terkumpul kira-kira RM300 bilion, tetapi yang tinggal sekarang cuma kira-kira RM50 bilion. Ke mana lesapnya wang yang banyak itu?
Perkembangan kapitalisme kroni yang diamalkan, menimbulkan sebilangan kecil mahajutawan yang rapat dengan kemuncak kuasa politik. Mereka terdiri daripada bumiputera dan ramai juga bukan Bumiputera.
Pada masa ini kira-kira 20 peratus daripada penduduk menguasai 80 peratus daripada kekayaan negara. Antara yang 20 peratus itu, hanya kira-kira 25 keluarga kroni terbesar dan terdekat dengan pucuk pimpinan negara, yang menguasai paling banyak sekali kekayaan. Mereka hidup dengan segala kemewahan yang sengaja ditayangkan.
Mereka diketahui terlibat dengan rasuah mega. Mereka mengisi tabung parti dan kantung pemimpin parti pemerintah. Mereka jarang disentuh oleh tindakan undang-undang, kerana dilindungi oleh kuasa, kekayaan serta gelaran.
Pada hakikatnya, nasib rakyat jelata tidak banyak berubah. Yang miskin tetap miskin, walaupun mereka tinggal dalam atau berdekatan dengan kawasan pilihanraya Kubang Pasu (kawasan perdana menteri).
Mahajutawan Melayu
Pendapatan golongan rendah dan menengah memang boleh dikatakan meningkat, akan tetapi tidak begitu bererti sangat oleh kerana kenaikan harga barang keperluan harian dan juga peningkatan bayaran untuk pelbagai jenis perkhidmatan sosial, seperti perubatan, pendidikan dan pengangkutan.
Kini, jurang pendapatan di antara yang kaya dengan miskin dan antara yang berpendapatan tinggi dengan rendah, bertambah lebar. Jurang sosio-ekonomi melebar bukan lagi antara kaum tetapi lebih di kalangan tiap-tiap golongan kaum. Walaupun kemiskinan mutlak berkurang, kemiskinan perbandingan semakin meluas. Masalah yang timbul daripada kemiskinan perbandingan, tidak kurang seriusnya daripada kemiskinan mutlak.
Perlu ditegaskan bahawa hampir semua jutawan dan mahajutawan Melayu mencapai kedudukan mereka atas dasar peruntukan kedudukan istimewa Melayu dan juga tajaan tuan-tuan politik mereka. Peruntukan kedudukan istimewa itu mereka guna sepenuhnya. Mereka yang terpilih ini menggunakan nama Melayu untuk merompak negara dan mengaut kekayaan dengan rakus.
Hak istimewa ini telah disalahgunakan. Rakyat jelata Melayu tidak mendapat apa-apa yang benar-benar boleh dibanggakan. Tetapi, terdapat juga ramai jutawan dan mahajutawan bukan Melayu. Sebagai bukan Melayu. mereka tidak dijamin oleh perlembagaan dengan kedudukan istimewa; sebaliknya apa yang memberikan mereka keistimewaan ialah hubungan kebanyakan mereka sebagai kroni rapat kepada pucuk pimpinan.
(iii) Sosial
Berhubung dengan bidang sosial pula, kita perlu melihat kesan penumpuan kuasa serta kekayaan dan jurang sosio ekonomi yang tambah melebar terhadap golongan rakyat ramai yang kurang kemampuan. Dalam negara ini tidak ada dasar untuk mengagihkan pendapatan secara adil dengan membataskan kekayaan bagi mereka yang kaya-raya melalui cukai sesuai, dan menaikkan pendapatan minima, terutama pekerja, petani dan golongan berpendapatan rendah yang lain.
Satu lagi cara pengagihan pendapatan yang berkesan ialah dengan mengadakan kemudahan sosial yang murah dan mudah kepada golongan berpendapatan rendah. Antara kemudahan sosial yang penting ialah kesihatan, pendidikan, perumahan, pengangkutan awam dan bekalan air serta elektrik.
Kini, banyak kemudahan sosial sudah diswastakan. Salah satu tujuan pengswastaan ialah untuk memperbaiki pentadbiran dengan meningkatkan kecekapan. Tetapi, yang lebih diutamakan nampaknya ialah untuk memberi projek-projek yang menguntungkan kepada kroni-kroni. Apa yang sering berlaku ialah bayaran untuk kebanyakan perkhidmatan sosial ini semakin tinggi naiknya.
Perkhidmatan kesihatan bermutu dan pendidikan tinggi sudah tentu lebih mudah diperolehi oleh mereka yang kaya atau berpangkat. Oleh kerana bilangan hospital dan universiti awam kini tidak mencukupi, maka banyak hospital dan universiti swasta sudah didirikan. Bayarannya terlalu mahal dan jarang termampu oleh mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Masalah perumahan adalah besar di kalangan rakyat jelata. Pada satu ketika dulu pertumbuhan kawasan "setinggan" (peneroka bandar) digalakkan atau dilindungi oleh sesetengah parti pemerintah. Ramai mereka yang berpindah ke bandar dan tidak mampu membeli atau menyewa rumah, mendirikan kediaman di kawasan-kawasan "setinggan".
Rumah murah
Kini, kawasan tersebut sudah mulai dihapuskan dan penduduk "setinggan" dipaksa pindah, tanpa jaminan mendapat rumah ganti yang selesa atau pampasan yang cukup. Kebanyakannya yang dimajukan pihak swasta, yang sering bekerjasama dengan pemimpin politik pemerintah, adalah banglo dan kondomium yang mahal-mahal. Rumah murah tidak mencukupi, dan kebanyakannya terlalu sepit, tidak selesa, bermutu rendah dan menimbulkan pelbagai masalah sosial.
Perkhidmatan pengangkutan awam, terutama di bandar untuk para pekerja yang tidak mampu mempunyai kenderaan sendiri, sangat-sangat tidak memuaskan. Tambang semakin meningkat, tetapi jadual ketibaan tidak tepat. Oleh itu, para pelanggan (dan kebanyakan mereka ini daripada golongan berpendapatan rendah) terpaksa menunggu lama dalam hujan dan panas.
Bekalan air dan elektrik boleh dikatakan sudah sampai ke merata pelosok. Sekali lagi, akibat pengswastaan, bayaran yang dikenakan kian meningkat. Tetapi mutu perkhidmatan semakin menurun. Bekalan elektrik dan air selalu terputus. Mutu air yang dibekalkan semakin teruk di seluruh negara (termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Johor), akan tetapi yang selalu diheboh-hebohkan oleh media ialah bekalan dan mutu air di Kelantan.
Perlu juga disentuh di sini masalah sosial yang semakin teruk akhir-akhir ini. Banyak jenayah berlaku, yang tidak terbatas hanya kepada pecah rumah atau rompakan. Lebih serius lagi, perkosaan, penculikan dan pembunuhan wanita semakin berlaku.
Masalah jenayah ini sudah menjadi masalah keselamatan, yang nampaknya tidak berjaya ditangani oleh pihak polis. Barangkali polis terlalu sibuk ditugaskan untuk menjalankan tugas-tugas lain. Wanita sekarang ini sangat berjaya dalam bidang pendidikan dan pekerjaan, selalu mengatasi lelaki. Tetapi mereka sentiasa terdedah kepada ancaman ke atas keselamatan diri mereka.
Pihak pemerintah, terutama polis, seharusnya lebih mengambil berat terhadap tugas menangani ancaman ini untuk melindungi semua rakyat, khususnya golongan wanita dan kanak-kanak.
Prinsip keadilan
Akhir sekali, sebagai penutup, perlu ditegaskan semula bahawa ramai anggota masyarakat yang tidak merasakan sepenuhnya diri mereka sebagai sebahagian daripada warga sebuah negara-bangsa yang bersatu padu. Tambahan pula mereka merasakan terpinggir atau terasing oleh kerana kekuasaan politik dan kekyaan ekonomi dibolot oleh hanya segelintir orang yang berkedudukan tinggi.
Mereka merasakan seolah-olah Malaysia ini bukan untuk semua tetapi hanya untuk segelintir yang berkuasa itu. Kita perlu memastikan rakyat merasakan bahawa Malaysia ini untuk semua, dari semua kaum, kelas sosial, kepercayaan dan gender. Ini hanya dapat tercapai jika kita mengamalkan dasar dan prinsip keadilan.
Keadilan dari segi politik bererti menghapuskan segala punca kezaliman, sama ada institusi atau undang-undang, dan mengembalikan kuasa sebenar kepada rakyat ramai. Dari segi ekonomi pula, perlu dikawal pemusatan kekayaan dan pastikan pengagihan rezeki yang adil. Kedudukan istimewa mengikut perlembagaan hendaklah digunakan untuk menaikkan taraf hidup rakyat lapisan rendah, khusus untuk orang Melayu dan juga bukan Melayu.
Ia tidak harus dibenarkan untuk disalahguna oleh segelintir orang yang memang sudah istimewa mengaut dan memonopoli sumber kekayaan, semata-mata dengan menggunakan nama Melayu dan hak istimewa Melayu.
Berhubung bidang sosial pula, amalan kronisme dan korupsi hendaklah segera dihapuskan, dan mereka yang rasuah tidak harus dibenarkan memegang jawatan awam. Lebih banyak sumber kewangan negara perlu ditujukan kepada pembinaan dan pengukuhan perkhidmatan sosial untuk rakyat.
Malaysia untuk semua lebih terjamin jikalau kita mengamalkan dasar yang berasaskan keadilan, demokrasi, kebenaran, akhlak, kebajikan dan perpaduan.
Dr Syed Husin Ali adalah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat. Ini adalah bahagian akhir ucapan beliau di majlis konvensyen Barisan Alternatif (BA) di Kuala Lumpur Ahad lalu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.