Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Belasan tahun dahulu, saya pernah bercakap tentang manfaat ganja kepada seorang sahabat. Maklum balas yang saya terima agak mengecewakan; ganja itu haram, ganja itu dadah musuh negara, ganja tidak berfaedah, ganja membahayakan kesihatan, malah agak melampau dikatakan ganja boleh membunuh!

Benar, ramai di antara kita yang menggalakkan penggunaan ganja bukanlah pakar atau doktor. Tetapi itu tidaklah bermakna kita tidak boleh membaca atau mendapatkan 

pandangan pakar atau doktor berkenaan manfaat ganja.

Apatah lagi dunia baru sahaja dikejutkan dengan keberanian negara Uruguay menghalalkan penggunaan dan penanaman ganja dalam negeri.

Bahan serat ( fibre ) daripada tumbuhan ganja jantan disebut hemp . Selama ribuan tahun, tali temali dan layar kapal dibuat daripada serat pohon ganja. Serat ganja ini juga boleh dibuat kertas, kain dan bermacam-macam lagi produk industri.

Pohon ganja ini memiliki kitaran pertumbuhan yang cepat di antara 12-14 minggu. Pokok biasa mengambil masa 20 tahun untuk matang, sebelum ditebang bagi dibuat kertas. Seekar tanaman ganja menghasilkan bahan serat bersamaan 4.1 ekar pepohon balak.

Kertas ganja lebih baik, kuat dan tahan lebih lama daripada kertas berasaskan kayu.

Ganja dapat menghasilkan sebanyak 25,000 produk industri . Di Amerika Syarikat (AS), serat ganja yang dimprot untuk kegunaan industri bernilai dua bilion dolar. Dianggarkan industri serat ganja di AS bernilai 450 juta dolar.

‘Lotus Eco Elise ’ ( atas ) keluaran syarikat milik perusahaan kereta nasional Proton turut menggunakan bahan serat daripada ganja.

Lobi kapitalis rokok

Majlis Fatwa Kebangsaan Islam yang ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah pun memutuskan merokok itu haram dari sudut pandangan Islam. Namun ia tidak dapat menjadi undang-undang.

Barangkali saya tidak perlu menyebut bahaya rokok. Di kotak rokok yang dijual di Malaysia terdapat gambar-gambar penyakit kanser dan keguguran bayi pramatang.

Lebih penting amaran yang bertulis, “produk ini mengandungi lebih 4,000 bahan kimia termasuk tar, nikotina dan karbon monoksida yang membahayakan kesihatan.”

Di sini kita mendapat bukti betapa berkuasanya lobi kapitalis rokok. Terus terang saya katakan, saya tidak berani berkempen mengharamkan rokok dari segi undang-undang, tetapi saya mohon halalkanlah ganja. Paling tidak untuk faedah perubatan.

Di Malaysia, ganja dimasukkan ke dalam jadual Akta Dadah Berbahaya atau Akta Rawatan dan Pemulihan Dadah. Ada bezanya ganja berbanding dadah-dadah lain yang dimasukkan ke dalam dua akta tersebut.

Kebanyakan dadah-dadah lain yang bahan asasnya berasaskan candu, seperti heroin dan morfin digunakan sebagai ubatan di hospital. Tetapi ia disalahgunakan para penagih, tanpa nasihat doktor dan preskripsi dari pihak hospital.

Namun ganja tidak pernah digunakan sebagai ubatan halal di hospital Malaysia. Kini tumbuhan ketum juga menerima nasib yang serupa apabila diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan tidak digunakan sebagai ubat di hospital.

Rawatan kanser & tumor

Turut menghairankan ketum yang sudah digunakan semenjak ribuan tahun sebagai perubatan tradisional, sebelum ini dimasukkan dalam kategori racun di bawah Akta Racun.

New Zealand kini sedang mengkaji ketum dan telah pun memasukkan bahan aktif ketum yang bernama Mitragyna speciosa  dan  mitragynine  di bawah undang-undang Medicines Amendment Regulations .

Maksudnya ia boleh digunakan sebagai ubat menurut nasihat dan preskripsi doktor.

Barangkali nanti, kita akan mengimprot ubatan berasaskan ketum dari New Zealand, walhal ia tumbuhan asli Malaysia.

Selain dadah-dadah yang diharamkan, sebenarnya banyak lagi ketagihan-ketagihan kepada bahan-bahan yang halal dari segi perundangan negara. Misalnya ketagihan menghidu gam dan minum alkohol. Itu belum termasuk dadah haram yang dihasilkan daripada ubatan halal yang dijual di farmasi biasa.

Baik, berbalik kepada ganja. Herba ini memiliki manfaat perubatan sebagai penawar migrain, loya, kurang selera makan, sawan dan penahan sakit.

Selain itu, dilaporkan ganja juga digunakan dalam rawatan kanser dan tumor.

Ganja untuk perubatan berkembang menjadi industri di seluruh dunia. Malah, di Israel terdapat hospital khusus yang menggunakan ubatan daripada ganja.

Sebenarnya telah terlalu banyak laporan, kajian dan penyelidikan yang membuktikan manfaat tumbuhan ini buat penghidupan manusia. Apa yang perlu kita buat adalah mencarinya – di universiti, akademi sains, pengalaman negara-negara lain.

Bila Obama bercakap...

Memang ganja digunakan sebagai bahan psikoaktif bagi mendapatkan kesan khayal buat penagih. Saya kira ia tidak jauh berbeza daripada alkohol. Maka kenapa ganja tidak boleh diaturkan seperti alkohol?

Maksudnya, pengambilan ganja untuk riadah tidak boleh dilakukan pada setiap masa, di semua keadaan atau untuk semua orang. Misalnya seperti alkohol, ganja tidak boleh diambil ketika memandu kenderaan atau bekerja.

Saya cuma meluahkan harapan saya dan saya tidak menagih janji. Saya sedar kenyataan hidup di dunia ketiga seperti Malaysia, menanam ganja boleh disabit hukuman mandatori gantung sampai mati.

Bagaimanapun, generasi muda Malaysia hari ini, semakin celik maklumat, semakin banyak berjalan melihat negeri orang, semakin luas mengembara ke seantero dunia, semakin tahu dan berilmu pengetahuan.

Saya bukanlah pakar ekonomi atau perniagaan. Tetapi saya tahu ganja dapat menjadi model perniagaan mapan yang bagus. Yang kita perlukan sedikit keterbukaan fikiran untuk menilai dengan wajar akan cadangan ini.

Semua tahu perniagaan rokok dan arak, sama seperti judi merupakan perniagaan yang tidak akan rugi. Ganja juga begitu.

Benar, ada bezanya Rahmat Haron bercakap tentang ganja, berbanding Presiden AS Barack Obama  ( atas ) yang membandingkannya dengan alkohol.

Paling tidak, sahabat saya yang dulu mencemuh ganja, kini sudah berubah fikirannya. Itu pun setelah AS mengubah dasarnya tentang ganja.


RAHMAT HARON, seniman outsider.

BERKAITAN

Ganja dalam 'orde baru'

ADS