Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Petang Maulud Nabi yang lalu, saya berkunjung ke Rumah Pengasih. Tujuannya, mewawancara Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd Yunus Pathi.

Saya datang bersama Hadi Khalid – seorang DJ radio Internet, Radio Bangsar Utama, yang memandu ke LOT 3201, Jalan Syers, Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Di sinilah ( kiri ), selama 22 tahun hidup sebuah perkumpulan masyarakat pinggiran yang telah banyak berjasa kepada diri, keluarga dan masyarakatnya. Meski sebahagian hidup mereka menjadi korban sebuah dasar perang panjang antidadah yang berkesudahan dengan kerugian besar untuk semua.

Kali pertama saya mendengar nama Yunus atau mesra dengan panggilan Yeop dari penyanyi Blues Ito Mohd. Kebetulan Ito merupakan antara penasihat Pengasih.

Kami disambut mesra perkumpulan manusia yang dasar hidupnya adalah kasih sayang. Sejarah Pengasih bermula pada tahun 1987 sebagai kumpulan sokong bantu bagi mereka yang baru sahaja bebas dari masalah ketagihan dadah.

Pengasih didaftarkan secara rasmi bawah pendaftar pertubuhan pada 25 September 1991. Pengasih menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan masalah ketagihan dadah dan bahan-bahan lain, seperti alkohol.

Tujuan saya bertemu Yeop tidak lain untuk bertanyakan tentang polisi pengurangan kemudaratan dalam masalah ketagihan dadah.|

“Ia macam ini, orde baru dan orde lama. Orang pemikiran lama nampak pengguna dadah sebagai penjenayah,” jawab Yeop yang pernah terlibat dalam masalah penagihan dadah jenis heroin di zaman mudanya.

Visi baru AADK

Yeop, berusia 58 tahun, menceritakan bagaimana gerakan baru di seluruh dunia menjurus kepada dasar pengurangan mudarat ini.

“Mereka percaya lebih mementingkan hak orang yang menggunakan dadah ini, selagi ia tidak menimbulkan kemudaratan kepada orang lain. Dan kami di Pengasih, kita percaya bahawa manusia ini harus diberikan pilihan. Kalau engkau guna dadah, engkau tidak mudarat orang lain, itu lantak engkaulah.”

“Tetapi kalau engkau guna dadah, beri mudarat kepada orang lain, sampai engkau tidak boleh berfungsi, tidak boleh menjalankan aktiviti hidup seharian dan mengganggu ketenteraman hidup orang lain, maka kita juga bersetuju dia harus dimasukkan ke dalam pemulihan.”

Yeop melihat terdapat perubahan dasar kerajaan yang ketara yang kini dilaksanakan agensi penting kerajaan – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Narkotik PDRM. Yeop bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh Ketua Pengarah AADK yang baru, Zuraidah Mohamed.

“Kita tengok era baru, ketua pengarah baru ini, memang ada visi yang sama macam Pengasih. Bila dia mengambil alih pusat pemulihan penagihan narkotik (Puspen), dia dah memulakan gerakan, supaya diiktiraf pengguna dadah bukan penjenayah. Dan dia membenarkan pengguna-pengguna dadah ini datang sendiri ke klinik-klinik Cure and Care .”

Kita sebenarnya jarang-jarang sekali mendengar isu atau masalah penagihan dadah dibincangkan di Parlimen. Masalahnya polisi dibentuk parti pemerintah, manakala perundangan digubal di parlimen. Polisi dan perundangan sepatutnya bergerak selari.

“Patut ahli-ahli Parlimen, masuk ke dalam Parlimen bincang masalah dadah dan keputusan apapun yang hendak dibuat berkaitan program dadah datang daripada parlimen,” jelas Yeop yang juga merupakan presiden Asian Federation of Therapeutic Communities.

Ia sebuah organisasi gabungan peringkat Asia yang mengamalkan kaedah terapi sukarela terhadap masalah dan rawatan penagihan dadah.

Tanaman ganja di Uruguay

Tambah Yeop, bapa kepada lima orang cahaya mata itu lagi, “ jika dia ahli parlimen yang bertanggungjawab, yang betul-betul membela rakyat, sama ada pihak pembangkang atau kerajaan, mereka harus memikirkan bagaimana program-program pencegahan dan pemulihan ini dilakukan dengan dipersetujui oleh semua pihak, semua rakyat memahami dan bersetuju dengan pendekatan yang dibuat.”

Perkembangan terkini di seluruh dunia menunjukkan penggunaan dadah jenis ganja sudah mula untuk tidak dijenayahkan, sama ada untuk tujuan perubatan, industri, mahupun riadah. Yang terbaru, di Uruguay yang menghalalkan penanaman dan penggunaan ganja dalam negeri.

Membincangkan perkara ini, Yeop ( kiri ) memberitahu pengalamannya. Yeop yang menjawat tugas sebagai naib presiden ke-2, World Federation of Therapeutic Communities seringkali diundang untuk hadir ke persidangan-persidangan antarabangsa berkaitan dengan masalah penagihan dan pemulihan.

Kebetulan dia baru pulang dari sebuah persidangan antarabangsa di Cancun, Mexico.

“Di Mexico kita bahas. Ada seorang profesor dari Amerika, menjelaskan selama ini kita bercakap negatif tentang ganja. Berapa buruk kesan alkohol tidak ada siapa yang bahas? Berapa buruk kesan rokok tidak ada siapa yang bahas. Tetapi kenapa ganja terlalu banyak sekatan? Sedangkan ganja juga punya bahan yang mempunyai manfaat perubatan. Misalnya ia boleh digunakan untuk para pesakit HIV.”

Secara peribadi, Yeop mengakui pernah menggunakan ganja: “Jika saya gunakan ganja dengan cara yang betul, saya tidak akan jadi penagih heroin.”

Menurut Yeop, ramai orang menggunakan bahan tanpa mengetahui bahan dan cara pengambilannya, “kerana itu kempen kita hari ini, apa yang diambil.”

“Kalau kita ambil ganja ini dengan kaedah penggunaan yang betul dengan tempat yang betul, cara yang betul ia tidak akan jadi kemudaratan. Saya dahulu, yang silap masa saya gunakan ganja, saya guna dengan cara yang tidak betul. Saya guna sampai satu talam.”

Lebih bahaya dari rasuah?

Jawapan yang bersambut derai tawa kami. Yeop mengingatkan kita bahawa zaman sedang berubah.

“Sekarang 2014, ahli parlimen yang mulia ini, jikalau mereka tidak berbahas, anak-anak kita tetap berbahas sesama mereka dengan maklumat yang mereka dapat.”

“Saya bukan doktor, saya bukan saintis, saya recovering person . Orang yang pulih daripada penagihan dadah. Harapan saya perkara ini perlukan kepada banyak perbincangan,” ujar Yeop lagi.

Harapan Yeop, sebenarnya menjadi harapan saya juga. Moga-moga ia menjadi harapan kita bersama.

Petang Hari Ponggal itu, kami pulang meninggalkan Rumah Pengasih. Meninggalkan Yeop dan bekas penagih dadah yang suatu masa menjadi musuh negara – lebih daripada segala-galanya, malah lebih bahaya daripada rasuah!

Melihat betapa istikamahnya perjuangan Persatuan Pengasih, ia benar-benar mengajar saya erti sebenar tata susila, budi pekerti dan derma bakti.

Berkaitan:  Selepas 30 tahun perang antidadah

 

ADS