Politik wang: Adnan marah tapi kasihan....
Kekecewaan pemimpin Umno seperti Datuk Seri Adnan Yaakob, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Datuk Azmi Khalid, jelas sekali tidak dapat dibendung. Mereka terang-terangan menuduh politik wang menjadi punca kekalahan masing-masing.
Namun, di dalam kelantangan mereka itu, terselit pula "tolak ansur dan rasa kasihan" terhadap politik kotor itu.
Adnan misalnya, telah menghentam naib presiden yang menang, dengan mengingatkan bahawa mereka bukan pewaris pucuk pimpinan Umno, tetapi diangkat untuk menjalankan tugas dan amanah ahli parti.
Namun apabila diminta oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengemukakan bukti agar siasatan boleh dijalankan, Adnan enggan melakukannya. Sebaliknya Menteri Besar Pahang itu "berbahasa" dengan menegaskan tidak akan berbuat demikian kerana tidak mahu menjejaskan tugas dan masa depan para pemimpin terbabit.
Kekecewaan pemimpin Umno seperti Datuk Seri Adnan Yaakob, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Datuk Azmi Khalid, jelas sekali tidak dapat dibendung. Mereka terang-terangan menuduh politik wang menjadi punca kekalahan masing-masing.
Namun, di dalam kelantangan mereka itu, terselit pula "tolak ansur dan rasa kasihan" terhadap politik kotor itu.
Adnan misalnya, telah menghentam naib presiden yang menang, dengan mengingatkan bahawa mereka bukan pewaris pucuk pimpinan Umno, tetapi diangkat untuk menjalankan tugas dan amanah ahli parti.
Namun apabila diminta oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengemukakan bukti agar siasatan boleh dijalankan, Adnan enggan melakukannya. Sebaliknya Menteri Besar Pahang itu "berbahasa" dengan menegaskan tidak akan berbuat demikian kerana tidak mahu menjejaskan tugas dan masa depan para pemimpin terbabit.
Begitu juga dengan Kadir yang juga Menteri Penerangan. Walaupun begitu yakin dengan kewujudan politik wang, beliau, sepertimana Adnan, sekadar bising-bising di dada akhbar sahaja! Masing-masing mendakwa mempunyai bukti tetapi malangnya, tidak cukup jantan untuk membuat aduan rasmi.
Namun daripada luahan rasa kecewa pemimpin Umno itu, suatu fakta yang amat menarik untuk direnung ialah kata-kata Azmi Khalid. Beliau menyentuh tentang peranan jawatankuasa khas pemantau politik wang yang ditubuhkan oleh lembaga disiplin parti itu.
Kumpul maklumat
Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri dari Perlis itu, mempersoalkan apa kerja jawatankuasa itu? Menurutnya, jawatankuasa itu mempunyai kira-kira 1,000 "mata dan telinga" yang bergerak di seluruh negara. Beliau hairan mengapa jawatankuasa itu mendiamkan diri berhubung tuduhan berlakunya politik wang dalam pemilihan tempoh hari.
Azmi mengumpamakan "spy-spy" berkenaan beroperasi bagaikan "special branch", namun sehingga kini "habukpun tarak"!
Jawatankuasa itu ditubuhkan oleh Lembaga Disiplin Umno dan beroperasi secara sulit kerana agen-agennya tidak dikenali siapa mereka. Tugas para agen ini ialah mengumpul segala maklumat mengenai salahlaku calon yang bertanding dalam pemilihan parti.
Langkah itu diharapkan dapat membendung gejala politik wang. Namun nampaknya "senjata atau makanisme" baru itu seperti tidak berfungsi. Lembaga Disiplin Umno perlu bertanggungjawab ke atas kepincangan ini. Untuk apa mempunyai jawatankuasa pemantau kalau salahlaku yang berlaku di depan terlepas begitu sahaja ?
Kalaulah agen-agen pembanteras politik wang ini benar-benar wujud dan berfungsi, tentunya Najib tidak perlu meminta Adnan, Kadir dan Azmi membuat aduan rasmi mengenai dakwaan penyelewengan tersebut. Ahli jawatankuasa itu boleh tampil sendiri dengan segala bukti kukuh untuk menghukum pengamal amalan yang tidak bermaruah itu.
Malangnya, setakat ini segala-galanya nampak bersih. Belum ada seorangpun agen mendakwa mereka terserempak atau berhadapan dengan politik wang sepanjang tempoh kempen. Adakah cara berkempen betul-betul bersih atau para agen sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata? Atau mungkinkah mereka turut terlibat sama dalam kempen kotor itu?
Akar umbi
Sukar untuk menjawab soalan cepu mas itu. Hanya mereka yang terlibat dalam politik wang sahaja dapat menjawabnya. Sebenarnya, ketika penubuhan jawatankuasa pemantau diumumkan dulu, ramai pemerhati politik meragui keberkesanannya.
Mereka berpendapat amat sukar bagi jawatankuasa itu untuk berperanan kerana identiti mereka yang dilantik sebagai agen pemantu sukar untuk disembunyikan.
Bagaimana mahu sembunyikan identiti agen kalau pemilihannya dibuat berdasarkan cadangan pemimpin tertentu di peringkat pusat, negeri dan bahagian. Sama ada mahu atau tidak, mereka terpaksa meminta bantuan pemimpin akar umbi untuk memilih calon agen yang dirasakan sesuai.
Selain itu, jawatankuasa berkenaan juga sukar mendapat agen-agen yang benar-benar telus, jujur dan adil serta tidak menyokong pemimpin tertentu. Apabila seseorang agen pemantau politik wang menyokong calon tertentu, dengan sendiri mereka menjadi berat sebelah.
Jika senario itu berlaku, agen berkenaan tidak akan berfungsi dengan baik dan ini dengan sendirinya akan menggagalkan matlamat pengwujudan jawatankuasa pemantau itu. Keadaan akan menjadi lebih buruk kalau agen berkenaan mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai agen pemantau.
Sesungguhnya, amalan politik wang ini amat sukar untuk dipisahkan daripada Umno. Jawatankuasa pemantau, Badan Pencegah rasuah atau mana-mana pihak sekalipun tidak akan mampu membaterasnya selagi jawatan atau kedudukan dalam Umno itu dianggap sebagai sebuah lombong emas.
Politik wang mungkin tidak akan berleluasa lagi dalam Umno apabila parti itu tidak lagi berkuasa di negara ini. Oleh itu, untuk seketika ini, pemimpin seperti Adnan, Kadir dan Azmi usahlah membuang masa dan tenaga bercakap mengenai punca kekalahan masing-masing.
Undang-undang pertandingan dalam Umno sekarang ialah matlamat menghalalkan cara!


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.