Siapa Malaysian Official 1

Opinion  |  Hishamuddin Rais
Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tetiba dengan tak semena-mena Rosmah Mansor tidak lagi mengakui dirinya sebagai FLOM - First Lady of Malaysia. Pasal apa ini terjadi? Apa sudah jadi? Betulkah berita ini? Atau ini satu fitnah? Mustahil dan tidak masuk akal dia mahu melepaskan glamor first lady. Mustahil dia tidak mahu lagi dipanggil first lady. Apakah kucing sudah mula pakai gincu?

Sabar dulu. Biar gua buka surah agar kita semua dapat tahu kisah di belakang kisah. Surahnya panjang macam Syair Siti Zubaidah. Lebih ajaib dari Jula Juli Bintang Tujuh. Lebih menakutkan dari Tok-Tok Kai Serondong Batang. Lebih lawak dari gambir Sarawak. Surah ini akhirnya memberi pencerahan untuk kita semua memahami geopolitik dunia. Amin.

Kisah bermula pada Rabu 20 Julai 2016 di Washington DC. Seorang minah membuat sidang akhbar. Minah ini diapit oleh tiga sosok. Sosok pengapit ‘orang gagah’ ini tidak ada apa-apa hubungan dengan gedebe New York. Adalah tidak benar berita mengatakan pengapit tiga orang ini berdiri sebagai pengawal peribadi kerana minah ini takut kena simen macam yang telah terjadi kepada Kevin Morais. Tidak benar. Semua ini hanya kentut dan khabar angin.

Minah ini wanita paling dihormati - paling berkuasa di Amerika Syarikat. Minah ini menjadi minah ini kerana dilantik oleh Presiden Obama dari Rumah Putih. Manakala sosok-sosok pengapit itu adalah wakil lembaga daulah Amerika.

Minah ini bernama Loretta Lynch. Minah ini ialah peguam negara Amerika - sama macam Apandi Ali. Cuma Loretta Lynch membuat kerja tanpa disuruh arah oleh Obama atau buat kerja kerana dedak.

Sosok yang mengapit ialah pegawai besar FBI. Seorang lagi pegawai besar Jabatan Kehakiman Amerika. Dan hadir sama ialah pegawai siasatan jenayah. Saya ulangi, pegawai siasatan jenayah Trial Attorney Criminal Division.

Ada yang tak faham apa itu jenayah ke? Kalau tak faham sila tanya ketua Twitter negara atau Noh Omar. Mereka berdua ini amat arif dalam hal jenayah menjenayah. Ada seorang adik bernama Mat Suka Buat Jenayah Susahkan Politik Abang dan Mat Suka Nak Jadi Gebebe Macam Abang.

Rabu 20 Julai yang lalu menjadi satu sejarah. Kes jenayah dunia telah dicatat. Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) telah mengeluarkan waran rampas. Sila baca sekali lagi - waran rampas.

Sidang akhbar Loretta Lynch ialah untuk mengumumkan kepada dunia tentang waran rampas yang telah disediakan DOJ.

Faham atau tidak apa ertinya rampas? Rampas ialah mengambil sesuatu tanpa kebenaran tuan yang empunya barang. Hebat. Cukup hebat JKA ini - berani mengeluarkan waran rampas. R-A-M-P-A-S.

Kenapa rampasan ini menjadi sejarah dunia?

Rampasan kali ini menjadi sejarah dalam dunia kerana belum pernah dalam sejarah dunia harta bernilai 1 bilion dolar atau 4 bilion ringgit Malaysia akan dirampas dan disita oleh kerajaan Amerika. Belum pernah terjadi rampasan sebagini besar. Satu rekod dunia. Orang Belgium kata - jamais.

Malah harta Pablo Escobar ketua geng dadah kokain kartel Medellin dari Colombia yang dirampas di Amerika tidak sampai berbilion dolar. Hebat. Gila babi kes rampasan kali ini.

Putar ingatan

Juga tidak pernah dalam sejarah Amerika, peguam negara datang ke sidang akhbar bersama pegawai antijenayah, pegawai FBI dan pegawai kehakiman negara. Kalau di Putrajaya sidang akhbar pada 20 Julai Rabu lalu dihadiri oleh Tan Sri Gani Patail, Datuk Hamid Bador dan Tan Seri Abu Kassim. Gila babi punya 'gempak'.

Apa cerita sebenarnya? Apa kesnya. Apa sangkut paut dengan FLOM? Apa sangkut paut dengan mufti Pahang? Ada apa dengan Najib?

Jabatan Kehakiman Amerika akan merampas harta yang pada ketika ini dimiliki oleh seorang tembam bernama Jho Low yang berasal dari Pulau Pinang. Harta milik Riza bin Aziz juga akan dirampas sama. Arahan DOJ untuk merampas harta ini bukan hanya di Amerika malah di seluruh dunia.

Adalah dimaklumkan kepada seantero alam bahawa rampasan tidak akan berlaku dalam dua buah negara - Korea Utara dan Malaysia.

Belum pun sempat Loretta Lynch duduk memanaskan kerusi pulang dari sidang akhbarnya, polis Switzerland telah merampas tiga lukisan milik tembam ini. Dua hasil lakaran Monet dan satu kerja seni Van Gogh. Pihak berwajib Switzerland merahsiakan daripada mana mereka merampas lukisan ini.

Biasanya orang jahat atau orang jahat menyamar baik akan menyimpan lukisan-lukisan dalam peti besi milik bank. Ini dilakukan untuk keselamatan. Lukisan lukisan ini bernilai berjuta juta dolar dan harganya terus meningkat. Lukisan jenis ini dijadikan cagaran pelaburan oleh orang jahat yang mengaku baik.

Selesai berita lukisan - tetiba meletup berita dari Temasik pula. Harta Jho Low dan harta ayah Cina tembam ini telah dibekukan oleh kerajaan Singapura. Harta yang dibekukan berjumlah 240 juta dolar Singapura. Gila kaya tembam ini.

Bagaimana satu sidang akhbar di Washington DC boleh merebak ke seluruh dunia. Kenapa ia berlaku sebegini rupa?

Semua ini ialah kes dikaitkan dengan Najib dan 1MDB. Kes ini telah lama berjalan. Sebelum Anwar Ibrahim masuk penjara. Si Anwar ini pernah menimbulkan tentang ‘kucar-kacir’ dalam 1MDB dalam parlimen. Ini lama dulu.

Dakwaan kucar-kacir putar belit ini telah lama berjalan. Anwar menimbulkan perkara ini sebelum Justo ditangkap di Bangkok. Ini sebelum Sarawak Report membuat pendedahan. Ini sebelum wartawan The Edge dan Malaysian Insider ditangkap. Ini sebelum The Edge dan Malaysian Insider dibedil.

Sila putar ingatan, dua tahun dahulu minah bernama Louise Story dari New York Times telah menerbitkan satu laporan panjang lebar tentang Najib, Jho Low, Riza dan putar belit ‘rompakan’ dalam 1MDB. Ramai kurang sedar tentang laporan ini. Sebenarnya ialah permulaan keterlibatan kerajaan Amerika dan usaha untuk membedil Najib.

Berita New York Times ini selari dengan laporan portal Sarawak Report yang berpusat di London. Portal ini telah berkali-kali membocorkan salah laku yang didakwa terjadi dalam 1MDB. Di parlimen, Tony Pua dan Rafizi telah berkali-kali menimbulkan salah laku yang telah, yang sedang dan yang akan berlaku dalam 1MDB. Malah parlimen telah menubuhkan satu jawatan kuasa khas untuk menyiasat kes 1MDB ini.

MO1 disebut 36 kali

Pada 2013, filem Wolf of Wall Street telah dibuat. Dana pelaburan membuat filem ini didakwa datang daripada Riza Aziz dan Jho Low. Mereka berdua ini memiliki syarikat membuat filem di Los Angles. Duit modal Riza dan Jho Low ini didakwa datangnya daripada 1MDB. Duit 1MDB ini didakwa diluluskan oleh Najib kerana Najib menteri kewangan. Sebagai menteri kewangan Najib mengendalikan dan mempengerusikan semua pelaburan negara. 1MDB ialah lembaga pelaburan negara. Khalas.

Wajib diberitahu kepada dunia bahawa Riza pula ialah anak Rosmah. Rosmah ialah suami Najib. Tapi Riza bukan anak biologi Najib. Maka terbongkenglah kisah dan cerita Si Rosmah ini pernah kahwin sebelum ini. Riza ini sah anak tiri Najib.

Tapi ini bukan gua buat fitnah. Semua ini gua pungut dari isi sidang akhbar Loretta Lynch. Semua yang gua tulis ini telah menjadi rahsia umum. Apa yang dituturkan oleh oleh Loretta Lynch hanya mensahihkan apa yang diketahui oleh rakyat dunia.

Bezanya antara gua dan Loretta Lynch hanya dalam penggunaan kata sifat. Gua gunakan istilah tembam. Loretta Lynch tidak menggunakan kata sifat ini. Sebagai peguam negara Amerika, si Loretta ini berhati-hati dalam pemilihan kata sifat. Si Loretta takut dianggap rasis dan politically incorrect. Tembam ialah kata sifat dari gua bukan dari peguam negara Amerika. Jangan silap.

Gua nak beritahu bahawa kes rampas harta Riza dan Jho Low ini termuat dalam sebuah buku setebal 139 muka surat. Buku ini adalah isi hujah awal DOJ. Dari ucapan media Loretta Lynch siasatan telah lama berjalan. Mengikut kata peguam negara Amerika ini harta-harta seperti kondo dan bunglo di Los Angles, apartmen di London, dana pelaburan filem di Los Angeles. Semuanya hasil dari duit “curi”, seperti kata Loretta Lynch.

Kunci perkataan ialah duit curi. Apabila peguam negara Amerika menuduh duit curi, maka siapakah si pencuri itu? Tidak dapat tidak dua orang yang terawal yang bakal dituduh oleh DOJ ialah si tembam dan anak tiri Najib.

Ada orang lain ke yang terlibat dalam rompakan terbesar ini? Jawabnya ada. Satu lagi nama telah muncul sebanyak 36 kali dalam buku setebal 139 muka surat ini. Nama yang disebut ialah Malaysian Official 1 - MO1.

Malaysian - semua orang tahu ialah warga negara Malaysia. Tetapi Malaysian Official 1? Siapa? Ini yang menjadi tanda tanya.

Pelik binti Hairan, apakah kerana Loretta Lynch menyebut nama Malaysian Official 1 maka Rosmah Mansor merasa dirinya sedang dicari oleh FBI. Ini kerana Rosmah ialah FLOM – first lady of Malaysia. First ialah one. Apakah first lady ialah Malaysian first? Jika betul apakah Rosmah sedang dicari oleh FBI? Tunggu minggu depan. Jeng jeng jeng.