Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Ribuan tahun lalu, kita orang Melayu beragama Buddha.

Hari Wesak.

Taib merenung wajahku bersungguh-sungguh. “Dan hari Wesak adalah untuk menyambut kelahiran Siddharta Buddha di Taman Lumbini pada tahun 623 SM. Juga untuk merayakan Siddharta Buddha yang mendapat ilham untuk menjadi Buddha di Buddha-Gaya pada usia 35 tahun, yakni di tahun 588 SM.”

Aku mencelah, “Juga satu hari yang sedih menurut penganut Buddha kerana Buddha Gautama mangkat di Kusinara pada usia 80 tahun di tahun 543 SM.”

Gagas yang tadi tersengkang di benak aku zahirkan juga, “Ribuan tahun lalu, kita orang Melayu beragama Buddha.”

Taib mencicip teh tarik. Kami di Kedai Janda. Aku menunggu pesan, ‘roti tampal telur goyang’. Kedai minum tepi jalan menuju ke Bangi Lama itu disesaki staf dari Institut Nuklear, Institut Atom, pelajar UniKL dan Genom. Televisyen memaparkan berita pagi yang tidak diendahkan. Ada visual orang besar memberi wang ihsan entah mengapa.

“Tetapi lihat apa yang berlaku di Burma? Myanmar? Pembunuhan orang Islam oleh sami Buddha.” Taib ingin melencong ke lain.

Aku tidak membenarkan itu berlaku, “Itu juga berlaku sesama orang Islam. Pengikut ISIS sebagai contoh. Penganut agama yang fanatik dan salah dorongan boleh cenderung menjadi ganas.”

“Tapi ini sami.” Taib tidak mengizinkan aku membuat lencongan.

Berdecit aku berdecit. “Oh ada mufti juga boleh mengajak kepada kebencian. Jangan lupa, jemaah masjid yang baru mendengar seruan supaya bertakwa kepada Allah dari mimbar Jumaat juga boleh menjadi panas dan menyerang kenderaan orang di jalanan.”

‘Roti tampal telur goyang tiba’. Taib menjamah nasi lemak.

“Ribuan tahun lalu, kita orang Melayu beragama Buddha.” Aku bersuara kembali. Benakku menerawang membayangkan ribuan tahun lalu Sriwijaya selaku pusat ilmu agama Buddha.

Dalam kepalaku membayangkan terus-terusan I-Tsing. Pengembara dan sami terkenal itu menetap di Srivijaya satu dekad lamanya dan menulis memoir beliau yang penting di sana.

“I-Tsing berada di Srivijaya antara tahun 685 ke 689 masihi”.

Taib menahan pedas sambal. Dia terburu-buru meneguk air minuman. “Aku tak dapat membayangkan Melayu beragama Buddha.”

Aku hanya menyambut dengan senyuman. Aku ingin bertingkah, ya, seperti mana kita tak dapat membayangkan Melayu bermazhab Sunni telah diwahabikan tanpa sedar. Aku memilih untuk memberitahu Taib begini:

“Catatan musafir I-Tsing yang menurut J Takakusu ditulis antara tahun 691 ke 692 masihi dapat menjelaskan sedikit sebanyak keadaan sosial di Srivijaya. I-Tsing menyatakan Srivijaya atau Mo-lo-yu atau Shih-li-fo-shih atau Sribhoga mempunyai pelabuhan yang penting. Pelabuhan ini adalah pusat orang tengah memperdagangkan antara lain rotan, pinang, kelapa dan kaya dengan emas.

“Negeri ini juga menggunakan mata wang emas dan perak. Penghuni Srivijaya memakai minyak wangi, mengenakan pakaian kan-man atau kain sarung meskipun berkaki ayam sebagai satu kebiasaan. Sukar untuk mengetepikan bahawa Srivijaya pada waktu itu berada di bawah pengaruh Buddha yang menjadikan Srivijaya pusat kegiatan dan penyebaran agama tersebut. Lebih seribu orang sami atau pendita belajar dan beramal di Srivijaya.”

Taib terpancing. “Mengapa Buddha pernah bertapak di alam Melayu?”

Aku menghabiskan ‘roti tampal telur goyang’. Mulutku penuh. Dalam kepalaku membayangkan betapa murninya orang Melayu tatkala Buddhisme dominan di Asia Tenggara. “Barangkali orang Melayu tak suka bergaduh waktu itu.”

Sebelah kening Taib terangkat.

“Iyalah, undang-undang moral menjadi komponen yang dominan dalam Buddhisme yang mana ia terjelma dari konsep ahimsa atau kedamaian dan penolakan kepada keganasan. Ahimsa adalah mesej sosial paling jelas yang ditekankan oleh dhamma atau agama Buddha, di mana ia menekankan persaudaraan dan kasih sayang, serta kebebasan dan kesetaraan. Pusat dhamma adalah manusia, dan hubungan antara manusia dalam kehidupan di dunia ini. Dalam kerangka dhamma, terdapat jalan atau cara mencapai kebaikan dan kebajikan yang mana antara lain adalah ‘khanti’, tidak membalas kebencian dengan kebencian; ‘karuna’, kasih sayang untuk semua makhluk; dan ‘maitri’, perasaan yang santun untuk semua kehidupan”.

“Burma.” Kata Taib sepatah semacam mengingatkan.

Aku menarik nafas. “Dalam Islam ada Wahabi yang keras, Sunnisme, Syiah, dan Sufisme. Dalam Kristian ada Evangelisme, Katolik… dan dalam Buddha ada Theravada dan Mahayana juga ajaran-ajaran yang tantrik. Bila kita bercakap mengenai keganasan dalam agama ia tidak semudah sifir dua belas. Kita juga perlu mengambil kira tafsiran ajaran agama itu.”

“Mengapa Buddha pernah bertapak di alam Melayu?” Taib mengulangi pertanyaannya yang tidak disahut tadi.

“Mungkin, kerana Gautama Buddha sendiri pernah tiba di Asia Tenggara. Di dalam Sappadanapakarana, yang mengisahkan perjalanan Buddha ke Burma terdapat tuntutan Buddha terhadap Raja Candrasuriya, pemerintah wilayah Dhannavati (yang berada dalam wilayah Myanmar hari ini). Ajaran Buddha kepada Raja Candrasuriya merangkumi pelbagai saranan melakukan kebajikan dan kedermawanan, akan tetapi menekankan kasih sayang, keadilan dan bersikap terpuji. Sepuluh ingatan atau tazkirah Buddha itu menekankan sikap kebudimanan yang sejagat, melakukan kebajikan secara harian, pemaparan kasih sayang, tidak mencengkam dengan cukai yang menunjukkan larangan melakukan penindasan ekonomi, menegak keadilan, menghukum tidak dengan dendam, mendokongi kaum murbawan, menggaji kaum pekerja dan soldadu dengan kesantunan, menerima nasihat yang bernas dan menghindar keangkuhan.” Aku memperihalkan soalan Taib.

“Sayang, di Burma sudah jadi lain.” Taib meneguk sisa minuman.

“Ya. Agama mendapat citra hodoh tatkala pengikutnya bertindak bodoh. Ia berlaku oleh segelintir pengikut agama Buddha. Ia berlaku dalam kalangan penganut Hindu. Ia terjadi di tengah penganut Kristian. Ia juga menjadi-jadi dalam kalangan orang Islam. Kefanatikan membuatkan ajaran agama yang basisnya kebaikan dan kasih sayang menjadi sesuatu yang membalik. Sayang sekali.” Aku mengeyakan.

Diam. Sekumpulan pelanggan masuk entah dari mana. Masing-masing berpakaian pejabat.

Aku melanjutkan. “Padahal Islam sebagai contoh menentang korupsi. Saidina Hussein harus bangkit melawan korupsi… rasuah dan penyelewengan bani Umaiyyah. Tetapi hari ini watak Saidina Hussein kecil sekali. Pemeras dan penindas seperti Yazid diberi gelar oleh Zakir Naik sebagai ‘saidina’.”

“Apa kaitan dengan Buddha?” Taib semacam hilang fokus.

Upapradana dalam Buddha. Ajaran Buddha juga melarang upapradana oleh pemimpin.”

“Apa itu?”

“Rasuah.” Balasku pendek.

Pelanggan yang tadi masuk ketawa beramai-ramai. Seolah-olah kata ‘rasuah’ itu satu jenaka.

Aku menghela nafas. Tiba-tiba aku hilang selera, hilang semangat, dan ingatanku menerawang bahawa dalam tradisi Buddha, terdapat kammaniyama atau undang-undang kamma yang mengatur tindak-tanduk manusia menurut nilai etika dan moral. Ia adalah ‘individual morality’ yang menghubungkan seorang individu dengan masyarakat yang mana hubungan itu perlu menempuh ahli keluarga, iaitu ibu bapa dan isteri, guru, teman, pekerja dan para biarawan. Hubungan yang menempuh enam pihak ini akan menjadi asas masyarakat yang sejahtera di mana hak-hak mereka dilindungi. Dalam Islam terdapat ihsan. Kita tahu bahawa ihsan adalah lawan dari kebejatan di mana seorang insan melakukan kebaikan dan menahan diri dari mengganggu orang lain. Kita orang Islam disuruh mencucur kebaikan kepada hamba-hamba Allah dengan harta, ilmu, kedudukan dan badan. Ihsan itu sudah terhakis. Ihsan itu sudah menyusut. Islam sudah direbut jalur keras. Orientasi fikah yang menghukum.

Ia mungkin berlaku dalam semua pengamalan atau pengalaman keberagamaan.

“Kenapa?” Tanya Taib melihat aku bermenung panjang.

Aku diam.

“Esokkan cuti. Hari Wesak.” Ujar Taib lagi.

Apa yang disambut?

Mataku menangkap visual terpapar di televisyen. ‘RM80 Juta Projek Naik Taraf Landasan Lapangan Terbang Sandakan’.

“Kenapa?” Tanya Taib tidak puas hati aku mendiam diri.

Aku cuma menggeleng. Taib tidak sedar, di hujung mataku berair.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS