Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Telah sampai masanya Bani Melayu melihat ke dalam - melihat diri mereka sendiri. Suasana dan suhu politik dalaman Malaysia dan juga politik dunia hari ini mewajibkan Bani Melayu meneliti diri.

Pada tahun 2017 ini, Bani Melayu tidak ada pilihan. Bani Melayu tidak boleh lagi mengundur. Persoalan Nasional ini adalah seekor seladang jantan yang bertanduk tajam. Bani Melayu wajib menangkap tanduk sang seladang ini. Siatkan kulit-kulitnya. Lapah dan salaikan dagingnya sebagai tanda satu tamadun.

Ini tugas suci yang telah ditinggalkan oleh sejarah kepada sesiapa sahaja yang mengakui dirinya Bani Melayu hari ini.

Mengulangi kata-kata Hang Tuah - Tidak Melayu hilang di dunia - bukan saja satu klise, malah ia amat-amat membosankan. Saya berani mengatakan kata-kata Hang Tuah ini membosankan kerana ia tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki pada ketika ini.

Saya berani berkata sedemikian kerana saya amat yakin pada tahap ini Bani Melayu itu sendiri tidak tahu, tidak mengenal dan tidak memiliki jawapan yang tuntas tentang satu persoalan yang maha agung ini.

Soalan kurun ini yang telah lama terpahat di tembok-tembok batu di setiap pelosok dan penjuru. Ia terpampang menunggu jawapan. Tetapi tidak ada siapa yang berani menangkap tanduk sang seladang ini.

Apa dia soalan itu? Soalan kurun ini yang wajib dijawab oleh Bani Melayu ialah siapa sebenarnya Bani Melayu itu. Sekali pandang kelihatan soalan yang saya timbulkan ini dilihat remeh dan tidak masuk akal untuk ditanya.

Tapi yakinlah - Siapa Bani Melayu - adalah satu soalan yang amat penting. Satu jawapan yang tuntas wajib dalam usaha untuk menyelesaikan persoalan nasional yang sedang saya timbulkan ini.

Huraian dan jawapan siapa Bani Melayu ini amat penting terutama apabila saya menimbulkan teori yang lain/the other. Saya juga telah menimbulkan bagaimana yang lain telah menimbulkan psikik Melayu.

Ketika saya memberi penghuraian untuk memahami psikik Melayu ini kita juga wajib tahu bahawa ada lagi satu faktor yang telah, yang sedang dan yang akan mempengaruhi bersama dan membidani kelahiran psikik Melayu. Tepat dan betul kewujudan Bani China dan India di Tanah Melayu ini telah melahirkan psisik Melayu. Tetapi bukan ini sahaja yang membantu kelahiran psikik Melayu.

Faktor ini ialah dunia bawah sedar Bani Melayu. Pada hemat saya psikik Melayu ini juga muncul hasil dari bawah sedar Bani Melayu - the unconscious. Malah bawah sedar Bani Melayu ini juga sama-sama bertanggungjawab melahirkan psikik Melayu ini.

Salah satu manifestasi bawah sedar Bani Melayu ini ialah kegagalan untuk memiliki jati diri dan identiti yang ampuh, kukuh dan bersepadu. Jati diri Bani Melayu kelihatan lembik dan manai. Malah Bani Melayu dilihat umum sebagai satu bani yang tidak memiliki jati diri kukuh. Jati diri Melayu goyah di sana sini.

Bahasa Dewan, Bahasa Oxford

Contoh yang paling muktamad dan paling senang untuk difahami ialah dengan menonton drama TV di stesen Melayu atau mendengar radio siaran Melayu. Lihatlah bahasa pengucapan yang bercampur aduk. Nak katakan Bahasa Dewan pun bukan, nak dikatakan Bahasa Oxford pun kacau bilau. Ini untuk saya manifestasi jati diri Bani Melayu yang penuh kecelaruan.

Untuk ini kita wajib melihat kenapa Bani Melayu memiliki jati diri yang lembik, bercelaru dan manai?

Saya akui bahawa hampir kesemua negara bekas jajahan kolonial mengalami permasalahan jati diri ini. Ini kerana pada satu ketika dahulu dengan kekuatan senjata, tamadun Bani Melayu telah dijajah oleh kuasa kolonial. Ini memberi impak berjangka panjang.

Dalam masa yang sama saya tidak menerima seratus peratus peranan kolonial ini. Ini kerana pada hari ini kita telah bebas merdeka. Kita boleh melakukan apa sahaja yang kita fikirkan baik untuk tamadun dan masa depan kita. Pucuk dicita ulam mendatang.

Lihat pengalaman di Seberang. Amat jelas Bhinnika Tunggal Ika telah berjaya mengikat 8,844 pulau-pulau untuk melahirkan satu negara bangsa dan mencipta tamadun bangsa. Lihat bagaimana Bahasa Bani Melayu dinobatkan walau pun bahasa ini bukan bahasa majoriti. Bahasa majoriti ialah Bahasa Jawa.

Kenapa di Tanah Melayu gagal?

Di Tanah Melayu ada kecelaruan tentang asal usul Bani Melayu ini. Siapa Bani Melayu sebelum kita menerima takrifan Perlembagaan yang diajukan oleh kuasa kolonial. Siapa dia Bani Melayu sebelum Lord William Reid memberikan takrifan?

Untuk saya ini persoalan penting. Ini persoalan jati diri. Adalah hakikat bahawa sebelum Lord Reid sampai ke Tanah Melayu Bani Melayu telah lama wujud.

Bukti yang yang terpampang di mata kita ialah tinggalan sejarah di Lembah Bujang Kedah. Lima ribu tahun sebelum Lord Reid sampai, Bani Melayu telah wujud.

Ini bukan labun Hishamuddin Rais. Jika tidak yakin tentang apa yang saya tulis sila pergi ziarah Lembah Bujang.

Candi-candi di Lembah Bujang ialah tanda bahawa tamadun Bani Melayu telah wujud lebih awal dari Batu Bersurat Kuala Berang. Lebih awal dari kesampaian Tok Arab di Pantai Kelebang, Melaka yang dilihat oleh Sultan Melaka.

Saya menolak permulaan tamadun dan peradaban Bani Melayu dengan kesampaian Arab dan Islam. Bani Melayu telah wujud dengan agama kepecayaannya sebelum sampainya Islam. Hakikatnya Bani Melayu ini keseluruhan adalah mualaf yang telah menerima Islam sebagai pegangan baru mereka.

Justeru Bani Melayu wajib menerima fakta sejarah bahawa tamadun Bani Melayu bukan bermula dari kedatangan peniaga Tok Arab atau peniaga dari Parsi atau peniaga dari India atau peniaga dari China. Bani Melayu wajib menebalkan jati diri dan berbangga dengan ketamadunan Melayu yang bukan Arab.

Tuhan Melayu Dewata Mulia Raya

Sila lihat dan baca dengan betul betul apa yang tertulis pada Batu Besurat Kuala Berang yang bertarikh 1326 atau 1386.

Pada penampang depan Batu Bersurat ini ada disebut bagaimana ada permintaan untuk menegakkan agama Islam. Permintaan itu diajukan kepada Dewata Mulia Raya. Nah! Dewata Mulia Raya ini adalah tuhan Bani Melayu pada ketika itu.

Justeru tamadun Bani Melayu bukan bermula dengan Islam. Bani Melayu telah ada kepercayaan. Telah ada tuhan sendiri. Memulakan tamadun Bani Melayu dengan kedatangan Islam adalah satu kesilapan hakiki. Tinggalan sejarah bangunan kuno di Lembah Bujang sedang bersuara dengan lantang bahawa tamadun Bani Melayu lebih tua dari 1404 atau 1303.

Jika kita tidak berbangga dengan asal usul kita maka kita akan menjadi bangsa yang bercelaru tamadunnya seperti Bani Melayu sekarang ini. Si Tenggang itu pada ketika ini adalah kita yang cuba meninggal dan memadamkan sejarah Melayu Lembah Bujang.

Naratif Si Tenggang ini adalah peninggalan tamadun Bani Melayu. Kisah ini adalah tunjuk ajar orang asal bumi Melayu agar jangan melupakan sejarah bangsa.

Bani Melayu wajib bangga dan merayakan Kemelayuan Bani Melayu, bukan merayakan budaya Bani Arab. Sayugia dingatkan bahawa Bani Arab juga merayakan sejarah bangsa mereka sebelum kesampaian Islam. Tamadun Sungai Nil, Sungai Dajlah lebih awal dari kedatangan Islam. Sejarah kuno ini dirayakan oleh Arab di Syria, di Mesir atau di Iraq hingga ke hari ini. Malah Iran yang kuat agamanya merayakan pesta Nowruz sebagai permulaan tahun mereka.

Kecelaruan pembudayaan Bani Melayu ini telah menjadikan Bani China dan Bani India tidak berapa yakin dengan kekuatan tamadun Melayu. Mereka memandang sipi. Kurang yakin ini dapat dilihat dalam pelbagai hal.

Kita terdengar suara Bani China yang bangga dengan tamadun Hwang Ho yang berumur 5,000 tahun. Kita juga terdengar suara Bani India yang bangga dengan tamadun Sungai Ganges dan Sungai Indus.

Kenapa kita tidak berbangga dengan Lembah Bujang. Apakah Bani Melayu malu untuk mengakui bahawa pada satu ketika dahulu Bani Melayu juga ada Dewata Mulia Raya yang kita sembah?

Penilaian sejarah ini amat penting. Malah ia menjadi lebih penting lagi di Tanah Melayu ini kerana wujud dua pendatang baru yang dibawa oleh kuasa kolonial. Demografi hari ini akan memaksa Bani Melayu menilai kembali sejarah Dewata Mulia Raya.

Pada hemat saya kecelaruan yang wujud hari adalah manifestasi kegagalan Bani Melayu menghayati sejarah bangsanya. Masalah nasional yang wujud hari ini adalah manifestasi dari kegagalan Bani Melayu memberi takrifan kepada tamadun dan budaya Melayu.

Takrifan siapa Bani Melayu telah wujud sebelum Perlembagaan Malaya dimimpikan oleh kuasa kolonial pada 1877 sesudah Perjanjian Pangkor 1874. Tetapi Lembah Bujang telah wujud 3,000 tahun lebih awal.

Penakrifan siapa Bani Melayu ini amat amat penting. Kerana dari penakrifan ini, wajib lahir satu budaya induk - budaya penakrif dalam sebuah negara bangsa yang baru.

Apa budaya penakrif? Tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS