Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Ini adalah siri ke-15 – bahagian akhir tentang persoalan nasional yang saya timbulkan tiga bulan dahulu.

Saya telah menimbulkan permasalahan Bani Melayu. Saya telah memaparkan psikik Bani Melayu. Saya telah menyentuh sejarah kemasukan Bani China dan Bani India ke Tanah Melayu. Dua bani pendatang yang dibawa masuk oleh kuasa kolonial Inggeris dan terus mengubah politi alam Melayu.

Saya juga telah menerangkan, dalam ilmu filem, Bani Cina dan Bani India ini adalah ‘pengganggu’ atau ‘disruptor’. Menggangu naratif yang sedang bergerak. Dalam naratif filem, si penggangu wajib ditumpaskan agar naratif mara ke hadapan.

Secara impirikal saya telah menunjukkan sebab musabab yang menimbulkan permasalahan persoalan nasional. Maka menjadi tuntutan yang adil untuk saya mewajibkan diri menunjukkan jalan penyelesaian. Atau sekurang-kurangnya merintis dan memecah ruyung untuk mencari jalan keluar.

Adalah lucah dan jahat jika saya menimbulkan persoalan tapi tidak memberi jalan keluar. Ini samalah seperti bergomol-gomol tapi tak sampai ke kemuncak.

Dalam siri akhir ini saya wajib sekali lagi memberi ingatan bahawa dakwaan projek Inggeris melalui Malaysia pada tahun 1963 pada hemat saya telah jelas gagal. Pada tahun 2017 ini saya amat yakin jika persoalan nasional ini tidak ditemui jalan penyelesaian maka rupa bentuk Malaysia yang kita kenali ini akan terbarai runtuh.

Ini saya cukup yakin akan terjadi. Riak dan rintik rintik semakin jelas. Pola dan ciri-ciri untuk Malaysia terbarai cukup menjanjikan.

Dari pemerhatian saya dalam masa tiga bulan ini kita sedang menyaksikan manifestasi persoalan nasional yang belum selesai.

Kita melihat bagaimana Ketua Menteri Lim Guan Eng ditibai kerana berbuka puasa bersama penganut Islam. Kita terbaca berita YB Sivarasa diserang kerana dikatakan memberi ceramah dalam masjid. Kita membaca bagaimana buku YB Hannah Yeoh ditafsir sebagai cuba mendakwah dan mengajak Bani Melayu untuk menganut agama Kristian.

Dalam bulan puasa ini harga barang semakin mendadak naik. Tapi bantahan Bani Melayu bukan tentang kenaikan harga barang yang menjerut hidup tetapi tentang YB Sivarasa naik masjid.

Tetiba heboh heboh tentang sebuah gereja di Melaka mengadakan sambutan Jurusalem’s Jubilee.

Apa maknanya semua ini?

Semua ini adalah manifestasi persoalan nasional yang belum selesai. Tapi kali ini keresahan dan ketidakpuasan hati Bani Melayu telah dan sedang dibaluti dengan jubah hijau buatan Arab Saudi.

Kalau pada tahun 1969 Bani Melayu hanya memakai kain sarung dan songkok. Kali ini semuanya sudah berubah. Kini berjubah dan berserban.

Parti pembawa kegelapan

Ini bermakna bahaya ledakan yang akan dibawa oleh kegagalan penyelesaian persoalan nasional ini adalah halilintar membelah bumi.

Bani Melayu yang selama ini dipinggir, yang selama ini ditolak dan yang dinyahkan dari proses pembudayaan kota, bandar dan pekan sedang mengumpul awan untuk membawa ribut taufan untuk membersihkan Bumi Melayu.

Justeru pada hemat saya, berpandukan babak-babak yang sedang dipentaskan oleh Bani Melayu ini menjadikan kita semua tidak ada pilihan. Kita sedang berhadapan dengan pintu gua yang wajib kita buka.

Wajib kita semua sedari bahawa tugas kita bukan menyelesaikan manifestasi, tugas kita bukan menepis atau memadam manifestasi tetapi mentalkinkan induk yang melahirkan manifestasi ini.

Bani Melayu, Bani China dan Bani India wajib terus digoncang untuk disedarkan bahawa mereka tidak ada pilihan. Kegagalan menyelesaikan persoalan nasional ini tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada sesiapa pun.

Kegagalan mencari penyelesaian bererti malapetaka yang sedang menunggu di kaki tangga akan meledak masuk.

Bagaimana pula dengan Najib dan United Malays National Organisation. Apakah peranan parti yang mengakui diri sebagai parti ketuanan Melayu?

Awas! Jalan penyelesaian yang saya cadangkan ini wajib mengenepikan semua parti-parti politik.

United Malays National Organsiation adalah anak didik Inggeris. Malaysian Chinese Association parti cukong yang berasal usul dari parti Kuomintang. Malaysia Indian Congress berasal dari India Congress Party. DAP - Democratik Action Parti pecahan dari parti PAP, parti Lee Kuan Yew Singapura. Manakala Parti PAS adalah United Malays National Organisation yang memakai ketayap.

Jangan silap faham, bukan asal usul parti-parti ini yang menjengkelkan dan meloyakan kita semua. Tapi selama ini, parti-parti politik inilah yang menjadi punca yang menimbulkan masalah persoalan nasional.

Parti-parti politik ingin mendapat undi. Pemimpin politik mahu menang dalam pilihan raya. Mereka berkempen ke hulu ke hilir. Cakap, suara dan dakyah parti politik inilah yang terus mengusutkan persoalan nasional.

Parti politik tidak membawa pencerahan. Di Malaysia ini parti politik membawa kegelapan.

Dalam usaha mencari sokongan semua parti politik mencari sokongan dari bani masing-masing. Semua mencari kabilah untuk memastikan mereka menang dalam pilihan raya.

Hasilnya parti politik menjadi jambatan yang meneruskan kegagalan persoalan nasional. Parti politik sebenarnya tidak mahu persoalan nasional ini dibincang untuk diselesaikan.

Tutsi dan Hutu

Najib mahu terus menggodam DAP. Ini maknanya Najib menggodam Bani Cina. DAP juga melakukan perbuatan yang sama. DAP menyerang Najib. Sebenarnya serangan DAP pada Najib membantu memperkuatkan Najib dan parti United Malays National Organisation.

DAP menyerang Najib dibaca oleh Bani Melayu sebagai menyerang Melayu. Ini terjadi kerana Bani Melayu telah hilang kompas moralnya. Psikik Bani Melayu kurang yakin dengan Bani Cina.

Contoh terbaik tentang peranan jahat parti-parti politik ialah sahaja perbalahan yang tidak kunjung selesai dalam hal sekolah satu bumbung.

Kenapa projek baik ini ditolak. Saya yakin yang menolak ini memiliki niat busuk tidak mahu hidup bersama walau pun mereka ini sebenarnya dari segi pensejarahan adalah pendatang yang dibawa oleh Inggeris.

Kerana Bani Cina memiliki kuasa ekonomi maka mereka berdegil tidak mahu belajar dalam satu bumbung. Walhal untuk jangka panjang, untuk mendirikan negara bangsa adalah indah dan baik lagi molek jika dari seawal tadika anak kecil semua bani mengenal satu sama lain.

Tapi projek yang amat baik ini tidak dapat ditunaikan. Ada sahaja kepala tahi yang menghalang dengan pelbagai alasan. Alasan-alasan ini timbul kerana kekuasaan ekonomi dan kerana mencari sokongan undi.

Manakala pemimpin politik Bani Melayu pula telah berjaya diberi dedak dan lendir lalu mereka lupa niat baik kenapa mereka dipilih untuk memimpin.

Di Jerman, di Brunei atau di Belgium, anak-anak kepala tahi ini akan mati kering tidak belajar. Tidak ada siapa yang akan ambil pot. Bahasa, ilmu, sekolah dan budaya penakrif di negara-negara ini adalah Jerman, Perancis, Melayu dan Belanda.

Hakikatnya pemimpin parti politik dari semua parti sebenarnya mahu Tutsi dan Hutu terus wujud. Projek Hutu dan Tutsi ini akan memastikan mereka terus memiliki pengaruh. Mereka terus relevan. Mereka terus diperlukan.

Ada juga parti politik yang mahu Tanah Melayu ini terus dipimpin oleh pemimpin Melayu yang bodoh bangang atau seperti Najib, terlibat dalam banyak skandal. Pemimpin Bani Melayu seperti Najib ini memudahkan mereka merembat harta kekayaan Bumi Melayu.

Jika kita tolak parti politik maka bagaimana kita hendak menyelesaikan persoalan nasional ini?

Awal wahid, sebelum apa apa dapat dilakukan maka semua bani – Melayu, China dan India – wajib menyedari bahawa kita memiliki persoalan nasional yang belum tuntas.

Kita semua wajib mengakui bahawa negara bangsa di Malaysia ini belum wujud. Nyanyian-nyanyian di rancangan akhir TV RTM semuanya hampeh tak ada makna.

Bani Melayu hakikatnya tidak menerima sepenuh hati kehadiran Bani Cina dan Bani India di alam Melayu mereka. Perkara ini wajib disedari oleh Bani Cina dan Bani India.

Justeru setelah menerima hakikat bahawa negara kita ini sakit maka ini adalah permulaan tepat. Seperti seorang pemadat candu atau ketagih alkohol, jika mahu diubati perkara pertama yang wajib dilakukan ialah mengakui dirinya sakit dan memerlukan rawatan.

Kita yang terpisah-pisah

Sesudah kita tahu yang kita memerlukan rawatan langkah seterusnya ialah ulangi baca tulisan yang telah saya garap ini. Baca dan fikirkan. Tidak semua yang saya tulis ini betul. Tidak semua yang saya tulis ini tepat.

Apa yang saya harapkan ialah tulisan ini akan memulakan satu perbincangan terbuka. Perbincangan jujur bukan untuk mendapat undi, atau untuk menang pilihan raya. Perbincangan ini untuk masa depan anak cucu cicit kita.

Tutsi dan Hutu telah terlambat. Sebelum kita semua menjadi Tutsi dan Hutu sila baca tulisan Hishamuddin Rais ini.

Individu, sosok-sosok perseorangan wajib memulakan perbincangan. Jangan takut dituduh rasis. Jangan takut untuk mengatakan bahawa Bani Cina dan Bani India itu pendatang ke alam Melayu.

Saya menolak konsep rasis yang sering digunakan. Untuk saya Bani Cina, Bani India dan Bani Melayu tidak rasis. Rasis adalah kepercayaan yang mengakui bahawa baninya, kulitnya, agamanya lebih tinggi martabatnya dari yang lain.

Fahaman rasis percaya bahawa bani mereka telah dipilih oleh Allah, Yahweh atau Dewata Mulia Raya sebagai bani pilihan. Bani-bani yang lain adalah bani sampingan untuk dijadikan hamba abdi.

Pada hemat saya yang wujud antara kita hari ini ialah prasangka. Yang wujud dalam hati sanubari kita ialah prejudis. Yang wujud dalam jiwa kita ialah kesangsian antara satu sama lain. Bukan rasis. Kita semua bukan rasis.

Prasangka dan prejudis ini wujud kerana kita terpisah-pisah. Kerana kita terpencar-pencar. Kita semakin dijarakkan. Kita dipisah-pisahkan. Kita tidak mengenali satu sama lain.

Parti politik dari semua warna mencorakkan perbezaan. Memisah-misahkan kita. Kita tidak diberi peluang untuk merayakan persamaan.

Akhirnya yang paling penting dalam usaha mencari jalan keluar dari persoalan nasional ini sila menanya diri. Jika aku Bani Melayu, jika aku Bani India dan jika aku Bani Cina, adakah harapan dan cita-cita dan mimpi aku ini untuk mendirikan satu negara bangsa di Bumi Melayu ini.

Beri jawapan yang jujur kerana jika salah jawab kita semua ini adalah Hutu dan Tutsi. Hanya satu perbezaan kali ini Tutsi akan memakai jubah hijau. END


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS