Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebelum ini penulis berkongsi mengenai pertemuan bersama Ketua Penerangan Pakatan Harapan Tony Pua yang mengupas cara pakatan pembangkang menjana semua pendapatan negara yang 'hilang' apabila menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika berkuasa.

Kata Pua, antara yang bakal dilakukan HARAPAN ialah melelongkan lesen bagi perkhidmatan seperti 4G, digital dan beberapa sistem komunikasi lain yang diberikan kerajaan secara percuma kepada syarikat dalam industri.

Di samping itu, HARAPAN akan melipat gandakan pendapatan walaupun bertindak menghapuskan GST dengan melaksanakan jualan aset secara tender terbuka selain menggiatkan perbelanjaan menerusi tender.

Tidak 'berpuas hati' dengan penjelasan tersebut, penulis cuba meninjau lagi rancangan HARAPAN untuk menampung pendapatan sekitar RM40 bilion jika negara 'kehilangan' GST.

Ini penting kerana pengundi yang ternanti-nanti perubahan kerajaan mahu tahu apa rancangan yang lebih terperinci untuk memakmurkan ekonomi rakyat jika HARAPAN berjaya pada PRU14.

Menerusi wawancara bersama portal pembangkang, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli diberitakan menyifatkan cara untuk menampung 'kehilangan' pendapatan tersebut mudah dilaksanakan.

Kembalikan SST

Menurut Rafizi, HARAPAN akan mengembalikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) setelah menghapuskan GST.

Dengan mengembalikan SST yang hanya dikenakan kepada pengilang untuk barangan atau perkhidmatan tertentu sahaja tidak akan membebankan pembeli akhir.

HARAPAN juga dapat mengumpulkan semula sekitar RM22 bilion, kata anggota parlimen Pandan itu.

Negara sememangnya mengenakan SST sebelum melaksanakan GST bermula 1 April 2015 dengan harga barang masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak terlalu membebankan pembeli akhir.

Ketika era SST, kerajaan menjana pendapatan sekitar RM22 bilion setahun tetapi kemudian mengumpul perolehan RM40 bilion setahun menerusi GST.

Penjimatan belanja

Baki RM18 bilion daripada keseluruhan RM40 bilion itu lagi, kata Rafizi, akan dapat dikutip menerusi penjimatan 20 peratus perbelanjaan kerajaan serta bayaran kadar faedah yang lebih rendah dalam hutang kerajaan Malaysia yang berkisar RM680 bilion.

"Jika kita dapat mencapai penjimatan 10 peratus dalam perbelanjaan kerajaan untuk tempoh setahun pertama pemerintahan berbanding sasaran 20 peratus itu, jumlah penjimatan yang dapat dijana ialah RM12 bilion.

"Baki RM6 bilion lagi adalah pengurangan faedah hutang kerajaan Malaysia yang dibayar pada kadar empat peratus pada masa ini.

"Dahulu kita cuma bayar sekitar dua peratus sahaja dan dengan adanya kerajaan yang amanah, bersih dan membasmi rasuah, kadar faedah tersebut akan turun, jika satu peratus turun itu sudah RM6 bilion," kata Rafizi lagi.

Nampaknya, belum pun tahu nasib HARAPAN menjelang PRU14, pakatan pembangkang sudah tahu cara untuk menguruskan ekonomi tanpa memilih untuk membebankan rakyat jelata yang 90 peratus daripadanya adalah golongan pekerja makan gaji semata-mata.

Boleh disimpulkan, 'kesengsaraan' rakyat akan dapat dikurangkan jika HARAPAN memerintah negara ini kerana dasar-dasar yang bukan sahaja tidak 'mendahulukan' rakyat dari segi beban kewangan malah imej negara di mata dunia akan kembali pulih.

Lonjakan saham FGV

Ini boleh dibuktikan dengan kenaikan harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) sebanyak enam peratus atau 10sen susulan penahanan bekas pengerusi FGV, Tan Sri Isa Abdul Samad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Maknanya, pelabur tempatan dan luar negara 'menyambut baik' perkembangan tersebut kerana semua pihak percaya bahawa dasar yang telus, bersih serta adil mampu menjana perkembangan ekonomi sesebuah negara.

Dalam kes FGV, lonjakan harga saham tersebut menandakan bermulanya proses pemulihan syarikat tersebut yang melalui fasa 'kegelapan' apabila diuruskan oleh pihak berkepentingan tertentu terutama ahli politik.

Ekonomi Malaysia juga boleh menerima manfaat yang sama jika mahu membangun menuju ke status negara maju berpendapatan tinggi untuk rakyatnya jika kerajaan hari ini melaksanakan dasar-dasar yang bersih, telus lagi mementingkan rakyatnya.

Walaupun negara berdepan dengan politik berwarna-warni hari ini, mana-mana kerajaan yang menguasai Malaysia untuk tempoh lima tahun lagi selepas PRU14 diharap 'belajar' daripada akibat pelaksanaan GST yang tidak melalui tempoh 'idahya'.
 

AMRAN AHMAD NOR, anggota DAP yang merangkul ijazah MBA daripada sebuah universiti di United Kingdom (UK) selain bekas wartawan meja ekonomi akhbar arus perdana. Pernah menjadi pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas naib pengerusi DAP.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.


Berkaitan: Ini cara hapuskan GST

Lihat Komen
ADS